Inspirasi

Istikharah Dijawab Dengan Bermimpi Surah Al Fil

Oleh Abdullah Bukhari  •  14 Oct 2019  •  6 min baca

Jika saya mampu memutar masa, sudah pasti saya akan kembali 25 tahun ke belakang ketika mulai melangkah ke tingkatan 4 semasa belajar di Ma’ahad Muhammadi lelaki di Kota Bharu.

Saya akan mencari kelas yang memiliki aliran Sains Tulin. Mengapa? Tidak lain kerana ilmu sains tulin sangat membantu bagi menyerlahkan makna al-Quran.

Setelah lama mendalami Tafsir al-Quran, saya dapati Kalam Allah ini akan lebih difahami melalui berbagai dimensi ilmu.

Sesuai sekali dengan kehebatan Allah sebagai Tuhan Yang Maha Mengetahui. Ilmu Allah pula disifatkan sebagai 7 lautan yang tidak bertepi:

وَلَوْ أَنَّمَا فِي الْأَرْضِ مِنْ شَجَرَةٍ أَقْلَامٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِنْ بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya “tujuh” lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah (ilmu) Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Surah Luqman 31:27

Angka 7, 70 dan 700 dalam Bahasa Arab kadangkala bukan bermaksud hakiki 7, tetapi menjadi kiasan kepada “jumlah banyak yang tidak terhingga.” Ilmu Sains Tulin juga termasuk dalam lingkungan lautan ilmu Allah yang tidak bertepi.

Sebagai bapa, saya mahukan anak saya mendapat peluang mempelajari Sains Tulin agar ia menjadi sebab mereka lebih mengenali keajaiban ciptaan Allah.

Saya berdoa agar peluang itu dibuka Allah untuk anak sulung saya Ahmad Mujtaba yang sedang belajar di Ma’ahad Integrasi Tahfiz Selangor di Sabak Bernam.

Dengan keputusan Penilaian Tahap 3 (PT3), Mujtaba mendapat tawaran masuk ke aliran Sains Tulin di Ma’ahad Tahfiz Selangor, Alam Impian, Shah Alam, Selangor. Hanya 6 orang pelajar dari sekolahnya mendapat tawaran ini.

Beliau agak berbelah bahagi setelah mendapat tawaran itu. Hati kata mahu tapi sesetengah pihak pula menakutkannya dengan kesukaran yang bakal dilalui apabila mengambil aliran Sains Tulin.

Sifir saya mudah sahaja, tiada apa yang lebih berat dan sukar berbanding menghafaz al-Quran. Jika kita mampu menghafaz al-Quran pastinya perkara lain juga mampu dihadapi dengan mudah.

Untuk mendapat keputusan yang lebih tepat dari Allah selaku Pemilik takdir makhluk, saya meminta Ahmad Mujtaba beristikharah kerana Allah lebih mengetahui yang terbaik untuknya:

وَرَبُّكَ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ وَيَخْتَارُ مَا كَانَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ سُبْحَانَ اللَّهِ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ
Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dia lah juga yang memilih (dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya Surah al-Qasas 28:68

Dalam perbualan telefon antara kami, Mujtaba berkata:

“Saya mimpi aunty Wendy, jiran kita memeluk Islam. Setelah ditanya apa yang mendorongnya memeluk Islam, aunty Wendy menjawab “kerana surah al-Fil.” Apa maksud mimpi saya ni Walid?”

Tanpa lengah saya berkata kepada Mujtaba:

“Bukan ke dalam buku Walid yang ketiga ada Walid ulas mengenai surah al-Fil. Bagaimana tentera Abrahah dimusnahkan Allah dalam prinsip Fizik dan Graviti. Insya-Allah! Itu sudah menjadi jawapan istikharah awak. Walid nak awak masuk aliran Sains Tulin yang ditawarkan.”

Subhanallah! Nampaknya Allah menjawab istikharah Mujtaba dengan cara yang unik. Memang saya ulas kisah kemusnahan Abrahah dalam buku saya atas prinsip ilmu fizik dan graviti. Di sini saya lampirkan satu bab ringkas dari buku saya;

Kesilapan memahami al-Quran boleh berlaku kerana kekurangan “peralatan saintifik” dalam memahami sesetengah ayat al-Quran. Secara mudahnya tentera bergajah pimpinan Abrahah dimusnahkan Allah hasil gabungan keajaiban dan sains.

Keajaiban tersebut merujuk kepada serangan berbagai jenis burung yang melontar batu. Ia dikategorikan sebagai irhas iaitu petanda kenabian kerana pada tahun ajaib inilah lahirnya insan istimewa bernama Muhammad S.A.W.

Aspek sains pula merujuk kepada hukum fizik dan graviti pada kelajuan batu yang menghentam mereka. Firman Allah yang bermaksud:

Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasukan, – Yang melontar mereka dengan batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, – Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun kayu yang dimakan ulat. Surah al-Fil 105:1-5

Lazimnya sesetengah orang Melayu beranggapan tentera bergajah Abrahah yang biadab ingin memusnahkan Ka’abah musnah direjam batu dari neraka (سجيل).

Tanggapan itu kurang tepat dan berikutan analisis Bahasa Arab dan Fizik, saya mendapati mereka sebenarnya dimusnahkan batu biasa yang bukan berasal dari neraka. Perhatikan hasil analisis berikut:

#1- Perkataan Burung

Dalam surah ini disebut burung secara umum (طيرا) dan bukan spesifik (الطير). Dalam bahasa Arab, sebarang kata nama yang tidak disertakan dengan huruf Alif dan Lam membawa maksud yang umum iaitu “apa sahaja jenis burung (طيرا)”.

Manakala kata nama yang disertakan dengan Alif dan Lam membawa maksud khusus iaitu jenis burung tertentu sahaja (الطير).

Kesimpulannya burung yang merejam tentera Abrahah adalah berbagai jenis burung yang muncul dalam berbagai saiz. Kesemua burung ini mampu terbang pada ketinggian yang berbeza dan mampu membawa saiz batu yang berbeza.

#2- Perkataan (أبابيل) Ababil

Perkataan Ababil pula bukanlah nama jenis burung seperti helang atau pipit, tetapi bermaksud burung yang datang secara berkumpulan dari segenap penjuru (Tafsir al-Jalalayn).

#3- Perkataan Melontar

Perkataan (ترمي) pula bermaksud melontar atau merejam dan bukannya menjatuhkan. Lontaran selalunya disertakan dengan “daya rejaman.”

Oleh itu daya rejaman oleh kumpulan burung tersebut menjadi semakin kuat, laju dan berbahaya apabila ditambah dengan daya tarikan gravity. Menurut ilmu fizik kelajuan akan berubah mengikut perubahan ketinggian.

#4- Perkataan Neraka

Perkataan (سجيل) bukan bermaksud neraka sebagaimana yang biasa difahami oleh sesetengah orang, tetapi ia adalah batu bercampur tanah yang keras pejal kerana lama dibakar.

Batu yang merejam Abrahah pula sudah lama dibakar oleh terik matahari di padang pasir. Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan perkataan Sijjil menyatakan ia berasal dari gabungan 2 patah perkataan campuran dalam bahasa Farsi yang kemudiannya diarabkan (Tafsir Ibn Kathir).

Bandingkan pula dengan kisah pemusnahan kaum Lut dalam ayat ini:

فَجَعَلنا عٰلِيَها سافِلَها وَأَمطَرنا عَلَيهِم حِجارَةً مِن سِجّيلٍ
Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami hujani atasnya “dengan batu dari tanah yang dibakar” Surah al-Hijr 15:74

Kesimpulannya, tentera bergajah Abrahah dimusnahkan oleh rejaman berbagai saiz batu keras yang dilontar oleh berbagai jenis burung dari tahap ketinggian serta kelajuan berbeza.

Ia seumpama hujanan peluru dari langit yang digerakkan oleh hukum fizik dan graviti. Keadaan menjadi semakin teruk apabila gajah Abrahah yang kesakitan terkena hujanan batu mengamuk dan memijak semua tentera yang berada berhampirannya.

Kalau anda kurang yakin dengan penjelasan ini. Cubalah buat eksperimen sendiri dengan menjatuhkan sebiji batu sebesar penumbuk dari bangunan setinggi 10 tingkat ke atas kepala seorang kawan anda.

Namun begitu, pastikan sebelum eksperimen ini dijalankan, sediakan sebuah ambulan atau pasukan para-medik bagi bersiap merawat kawan anda itu. Selamat mencuba dan Hanya Allah yang Maha Mengetahui segala kebenaran!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami