Inspirasi

Israk Dan Mikraj Sebuah Perjalanan; Jemputan Istimewa Buat Rasulullah S.A.W

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  22 Apr 2017  •  5 min baca

Israk Mikraj adalah satu keajaiban Allah s.w.t yang diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

‘Israk’ bererti Allah s.w.t membawa atau memperjalankan Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Palestin dengan menaiki Buraq. Sementara ‘Mikraj’ pula perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dari bumi ke langit.

Dengan itu, Israk dan Mikraj bermaksud perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada waktu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa.

Kemudian Baginda dibawa naik ke langit oleh Jibril sehingga ke Sidratul Muntaha dan menjelajahi tujuh lapis langit sebelum kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Terdapat banyak kenyataan tentang tarikh tepat berlakunya peristiwa besar ini, namun kebanyakannya menyatakan kejadian tersebut berlaku pada pada 27 Rejab, tahun ke-10 kenabian Rasulullah s.a.w.

Sebelum peristiwa itu, Rasulullah s.a.w telah kehilangan isteri kesayangan Baginda, Siti Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudaranya yang juga penyokong setia Baginda, Abu Talib.

Jadi, peristiwa ini adalah hadiah dari Allah s.w.t untuk menghiburkan hati Rasulullah dengan membawa Baginda bertemu dengan-Nya.

Dalam perjalanan yang hanya semalam ini, Nabi s.a.w melalui beberapa peristiwa penting, dan istimewa, antaranya;

#1 – Sebelum Peristiwa Israk Dan Mikraj

Rasulullah s.a.w dibedah dada dan perut oleh malaikat Jibrail dan Mikail. Hati Baginda dicuci dengan air zam-zam dan dibuang ketulan hitam atau alaqah (tempat syaitan membisikkan was-was).

Lalu diisikan hikmah, ilmu dan iman. Dada Baginda juga dijahit dengan ‘khatimin nubuwwah’. Selepas itu datanglah Buraq, tunggangan istimewa Baginda dalam peristiwa Israk ini.

#2 – Semasa Israk

Malaikat Jibrail mengarahkan Rasulullah s.a.w berhenti dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat di tempat bersejarah iaitu;

1- Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah akan berhijrah.
2- Bukit Tursina, tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu daripada Allah.
3- Baitul-Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).

Rasulullah s.a.w menyaksikan beberapa peristiwa. Antaranya;

1- Kaum Yang Bertanam Dan Terus Menuai Hasil Tanaman
Selepas itu hasil baru keluar seolah-olah belum dituai. Mereka inilah golongan berjihad fi sabillillah, diberikan pahala sehingga 700 kali ganda dan lebih lagi.

2- Melalui Kubur Masyitah (Tukang Sisir Rambut Anak Firaun), Suami Dan Anak-Anaknya Yang Berbau Harum
Mereka telah dibunuh kerana tidak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan.

3- Sekumpulan Orang Memecahkan Kepala
Mereka dan selepas itu kepala yang pecah tumbuh semula dan dipecahkan lagi. Kejadian ini berulang-ulang. Inilah orang yang enggan bersolat.

4- Sekumpulan Orang Yang Kemaluan Mereka Hanya Ditutup Dengan Secebis Kain, Dihalau Seperti Binatang Ternakan
Makanannya, bara api dan batu neraka Jahanam. Mereka adalah golongan yang enggan mengeluarkan zakat.

5- Lelaki Dan Perempuan Memakan Daging Mentah Yang Busuk
Walhal daging masak disebelah mereka. Mereka adalah golongan yang berzina walaupun masing-masing mempunyai isteri atau suami.

6- Lelaki Berenang Dalam Sungai Darah Dan Dilemparkan Batu
Inilah golongan yang makan riba.

7- Seberkas Kayu Dihimpun Oleh Seorang Lelaki Yang Tidak Terdaya Membawa Kayu Itu Tetapi Ditambahnya Lagi
Kumpulan ini tidak dapat menunaikan amanah sedia ada tetapi masih menerima amanah yang lain.

8- Kaum Yang Menggunting Lidah Dan Bibir Dengan Gunting Besi
Tetapi bibir dan lidah mereka kembali seperti biasa. Mereka ini gemar memfitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9- Orang Yang Mencakar Muka Dan Dada Dengan Kuku Tembaga
Golongan adalah orang yang mengumpat dan menghina orang lain.

10- Seekor Lembu Jantan Yang Besar Keluar Dari Lubang Sempit Namun Tidak Dapat Memasuki Lubang Itu Semula.
Golongan ini bercakap takbur dan menyesali perbuatannya tetapi sudah terlewat.

11- Seorang Perempuan Membawa Dulang Penuh Perhiasan
Tetapi tidak dihiraukan Rasulullah s.a.w. Ertinya inilah dunia.

12- Rasulullah S.A.W Diminta Untuk Berhenti Oleh Seorang Perempuan Tua
Perempuan itu yang duduk di tengah jalan tetapi tidak dihiraukan oleh Baginda. Inilah orang yang mensia-siakan umurnya sehingga tua.

Tiba di Masjidil Aqsa, Baginda s.a.w mengimamkan solat dua rakaat dengan makmumnya adalah para nabi.

Rasulullah s.a.w berasa dahaga dan diberikan pilihan air arak atau susu. Lalu Baginda memilih air susu dan pilihan Baginda tepat kerana jika memilih arak maka ramai umat Baginda akan tersesat.

#3 – Semasa Mikraj

Terdapat Mikraj (tangga) dari syurga lalu Rasulullah s.a.w dan Jibrail naik anak tangga pertama dan terangkat ke pintu langit dunia.

1- Langit Pertama – Nabi Adam a.s
2- Langit Kedua – Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s
3- Langit Ketiga – Nabi Yusuf a.s
4- Langit Keempat – Nabi Idris a.s
5- Langit Kelima – Nabi Harun a.s
6- Langit Keenam – Nabi Musa a.s
7- Langit Ketujuh – Nabi Ibrahim a.s

Rasulullah s.a.w bertemu Allah s.w.t di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab untuk menerima perintah solat sebanyak 50 waktu.

Tetapi dikurangkan kepada lima setelah Nabi s.a.w dinasihatkan oleh Nabi Musa untuk meminta Allah mengurangkan jumlahnya. Lalu jadilah perintah solat itu kepada lima waktu seperti hari ini.

#4 – Selepas Mikraj

Baginda turun ke langit dunia dan menunggang buraq untuk kembali ke Mekah pada malam yang sama.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami