Keluarga

Sedekah Kepada Ahli Keluarga Itu Lebih Diutamakan Dalam Islam

Oleh Fieyzah Lee  •  22 Jan 2020  •  3 min baca

Penulis tertarik untuk berkongsi satu kata-kata daripada seorang penulis terkenal mengenai sedekah;

“Jika Tuhan memberimu rezeki lebih, sesungguhnya Dia tidak memintamu untuk berbelanja lebih, tetapi Dia memberi kesempatan kepadamu untuk berbagi lebih.”(Fehdi Pehdepie)

Berkongsi rezeki atau dalam bahasa mudahnya memberi sedekah merupakan salah satu di antara tiga amalan yang tidak akan pernah terputus selepas kematian anak Adam dan telah disebutkan dalam hadis sahih. Ia akan menjadi pahala yang akan sentiasa mengalir terutamanya apabila ia memberi manfaat buat sekeliling.

Sedekah, walau sedikit namun diberi dengan hati yang ikhlas, Allah tetap akan mengganjarkannya dengan ganjaran yang besar. Sebesar mana nilai yang disedekahkan, ia tidak akan memberi kesan kepada nilai ganjaran yang diberikan Allah kerana apa yang dilihat ialah keikhlasan sendiri.

Sebenarnya, sedekah bukan sahaja melalui wang ringgit atau harta yang banyak, namun konsepnya adalah lebih luas berbanding itu. Mengajarkan ilmu yang baik, menyediakan masjid untuk kegunaan umum, meninggalkan anak soleh yang boleh membantu Islam dan banyak lagi merupakan sedekah yang ditinggalkan dan pahalanya akan sentiasa mengalir.

Bersedekahlah kepada sesiapa sahaja sama ada si peminta sedekah yang anda jumpa di kaki lima atau anak kucing yang sedang kelaparan di jalanan, namun jangan pernah mengabaikan ahli keluarga. Merekalah yang sepatutnya diberi keutamaan.

Imam Al-Nawawi RA juga ada menyebutkan bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdal berbanding memberi kepada orang asing. Hal ini kerana ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturahim.

Antara Sedekah Dan Nafkah

Nafkah dan sedekah merupakan dua perkara yang berbeza. Nafkah wajib disempurnakan oleh ketua keluarga (suami) kepada keluarganya dan jika si suami itu mengabaikan nafkahnya, maka dia dianggap berdosa. Manakala, sedekah itu adalah sunat dan tidak berdosa jika tidak melakukannya.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksud: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka, yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 9855)

Walau bagaimanapun, ia bukanlah bermaksud anda tidak perlu menyedekahkan wang atau memberikan makanan anda kepada orang lain, namun hadis ini menekankan agar seseorang itu lebih mengutamakan ahli keluarga berbanding dengan orang asing.

Kesimpulan

Tuntasnya, bersedekah dan memberilah berdasarkan kemampuan dan keikhlasan anda, bukan untuk dipandang tinggi oleh penduduk bumi tetapi untuk diangkat dan disebut oleh penduduk langit. Jangan Abaikan hak silaturahim dengan ahli keluarga anda.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami