Kehidupan ini merupakan sebuah perjalanan menuju penamatnya, perjalanan yang di dalamnya penuh dengan warna-warni kehidupan. Dan warna-warni itu ditentukan oleh diri kita sendiri.
Ada dikalangan kita lakaran kehidupannya hambar bahkan hodoh jika dihamparkan dan ada dikalangan kita lakaran kehidupannya bersinar bagaikan bulan yang purnama. Sesungguhnya hakikat itu Allah S.W.T menyatakan;
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalanya; dan Ia Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun” Surah Al-Mulk : 2
Hidup kita di dunia ini bukanlah tempat untuk kita bersenang-senang. Dan bukan juga tempat untuk kita menghimpunkan kehendak nafsu kita.
Bahkan tempat yang kita tinggal ini adalah untuk kita bersusah payah bagi mendapat keredaan Tuhan. Ia merupakan tempat ujian.
Maka bergembiralah jika kita mengetahui hakikat ini kerana ia adalah pintu untuk kita merangka kehidupan yang sekali ini.
Dalam kitab Hadis 40 karangan Imam Nawawi menakalkan hadis daripada Ibn Umar R.A, beliau berkata; “Rasulullah S.A.W telah memegang bahuku lantas berkata;
“Jadilah kamu di dunia ini seperti anak dagang atau pelintas jalan. Ibn Umar ra berkata: Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa hidupmu sebelum waktu matimu”Riwayat Bukhari
Hidup ini umpama pengembara yang tidak tahu bila penamatnya tiba. Tetapi penamat itu pasti akan berlaku.
Penamat yang merupakan matlamat asal penciptaan kita. Di dalam pengembaraan itu apa yang kita bawa hanya untuk hidup sahaja.
Tidak lebih dan tidak kurang. Berjalan sebagai pengembaraan mengajar kita sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Apa yang ada pada diri kita adalah bekalan kita.
Moga-moga dengan bekalan dan perancangan dalam perjalanan membawa kita kepada destinasi yang dituju. Bilamana matlamat yang sebenarnya telah dicapai, itulah kemenangan.
Setiap detik pengembaraan itu kita gunakan sebaik mungkin untuk bekalan kita di akhirat kelak. Kerana sesungguhnya apa yang kita ada hari ini adalah harapan kita.
Kita kaya, harapan kita dengan kekayaan kita dapat membantu manusia lain, Kita miskin tetapi dengan kemiskinan itu dapat mengajar manusia lain sifat sabar dan ketenangan yang sebenar.
Kita hidup biasa sahaja tetapi apa yang kita itu adalah harapan untuk kita meneruskan hidup mencari reda Allah yang sebenar.
Sesungguhnya setiap daripada kita akan mati juga kelak, tidak kira siapa kita. Sepertimana kata Buya Hamka dalam karyanya Tuan Direktur;
“Di dunia ini wujudnya hanya mati. Terlalu sakit mati. Terlalu riang mati. Terlalu gelak, mati. Terlalu menangis dan sedih, mati. Tarlalu dapat laba, mati juga!”
Itulah kita semua. Kita semua akan mati. Tetapi bagaimana penamat kehidupan kita itu adalah penting.
Ketimamana Abu Tsa’labah Al Kgusani R.A duduk bersama sahabat-sahabatnya lalu beliau berkata;
“Aku melihat manusia mati dalam keadaan biasa-biasa, aku berlindung daripada Allah S.W.T mati dalam keadaan biasa-biasa seperti kamu”
Ketika mana kebanyakan daripada kita menyibukan serta memperindahkan urusan dunia. Tetapi mereka pada sahabat menanam cita-cita matinya dalam keadaan luar biasa dengan mencantikkan urusan akhirat mereka. Itulah matlamat mereka, cita-cita mereka.
Mereka akan bersedih jika matinya di atas tempat pembaringan. Keazaman mereka itu menyebabkan kematian mereka mulia seperti mana Abu Tsa’labah Al Kgusani ra yang mati di saat sujud kepada Allah S.W.T.
Teringat akan kisah ketika mana Itali mendabik dada kerana berjaya mengalahkan tentera Turki Othmaniah dan menjajah Libya. Pada tahun 1910an munculnya satu tokoh yang hebat iaitu Omar Mukhtar dengan gelaran Singa Padang Pasir.
Beliau merupakan guru Al-Quran yang telah membuatkan tentera Itali malu kerana hampir kesemua pertempuran yang berlaku diantara mereka, tentera Itali mengalami kekalahan.
Walaupun pada akhirnya beliau berjaya ditangkap dan dihukum mati. Tetapi antara ucapan hari-hari terakhir beliau:
“Saya pasti akan hidup lebih lama selepas digantung”
Pada hari kematiannya, bukan sahaja penduduk Libya menagisi kematiannya tetapi seluruh dunia Islam. Sesungguhnya mereka antara insan-insan yang bersungguh-sungguh mengejar kemuliaan itu.
Manusia nyawanya hanyalah satu. tetapi dengan kebaikan yang ada adalah nyawa kedua bagi kita dan ia adalah sebuah kegembiraan yang agung.
Kejarlah kemuliaan itu dan jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi. Kata Dr. Aidh Qarni dalam bukunya La Tahzan;
“Di antara perkara yang dapat membahagiakan seorang muslim adalah ketika dia mempunyai umur kedua, iaitu mampu menjadikan dirinya sebagai kenangan manis (setelah meninggalnya). Sungguh menghairankan orang yang ingin dikenang sebagai orang yang baik, tetapi tidak pernah mengusahakannya, baik dengan hartanya, kedudukannya, mahupun amalannya”.
Benarlah kata sebuah syair;
“Detak jantung seseorang mengatakan pada dirinya: Sesungguhnya kehidupan hanyalah beberapa minit dan detik sahaja.”
“Oleh sebab itu, gunakanlah umurmu sebelum kematian datang menjemput dan ingatlah akan kematian itu kerana ingat mati bagi seseorang merupakan umur kedua baginya.”
Ada orang yang mati ditimbus tanah. Tetapi namanya masih hidup didunia. Ada yang setahun, puluhan tahun, ratusan tahun dan ada ribuan tahun sepertimana Nabi kita Muhammad S.A.W yang namanya menjadi sebutan kita siang dan malam.
Bahkan kita menyebutnya dengan kerinduan yang dalam. Kata Syauqi Bey, seorang pensyair arab Mesir yang terkenal;
“Peliharalah untuk dirimu sendiri,
Sebutan yang baik,
Sebab sebutan yang baik itu,
Adalah umur yang kedua bagi manusia.”
Hidup kita mungkin hanya puluhan tahun sahaja. tetapi bercita-citalah pada hari kematian kita itu adalah permulaan baru kehidupan.
Kehidupan yang lebih panjang dari usia kita didunia. Syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T apabila kita memprolehinya.
Alakulihal, saya sebagai hamba yang mempunyai banyak kekurangan ini hanya menulis sahaja tetapi kemuliaan itu milik Allah S.W.T yang Maha Kaya.
Sesungguhnya kita semua adalah hambaNya. Yang bernafas atas belas ihsan serta Rahmat daripadaNya. Apabila masanya telah tiba kita akan meninggalkan dunia bersama-sama kita adalah amal yang telah kita kerjakan ketika hidup.
Sikit atau banyak itulah yang kita bawa dihadapan neracaNya. Jika amalan yang kita lakukan ikhlas, maka kita orang yang berjaya.
Jika sebaliknya, itu adalah musibah. Musibah yang ditimpa kerana kelalaian kita sendiri. Ketika itu pasti kita akan berkata:
“Alangkah besarnya penyesalan kami, terhadap kelalaian kami tentang kiamat itu”Surah al-An’am, 31
Hidup ini perlu menegakkan kebaikan dan sebaliknya meruntuhkan kejahatan. Melihat manusia lain sebagai peluang untuk kita melakukan kebaikan dan membantu mereka keluar dari tempat yang gelap. Itu perjuangan kita, itu tugas kita.
Hidup ini hanya satu yang kita harapkan iaitu reda Allah S.W.T. Ayuh kita berusaha mengumpul kekuatan serta masa yang berbaki ini untuk menjadi antara bintang-bintang diakhirat kelak.
Walaupun kita tahu itu sukar dan memenatkan tetapi langkah yang berbaki di dunia ini akan mengejar matlamat itu. Amin!
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.