Gaya Hidup

Inilah 10 Sifat Mahmudah Penghias Diri (Siri 1)

Oleh Fazli Abdullah  •  9 Sep 2019  •  5 min baca

Sifat mahmudah ialah sifat yang terpuji. Sifat yang baik untuk diikuti dan dicontohi. Sifat mahmudah adalah sifat yang disukai oleh Allah S.W.T. Daripada Sahl bin Saad R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah Azzawajalla adalah mulia. Ia menyukai kemuliaan. Ia juga menyukai akhlak yang tinggi dan membenci akhlak yang rendah.”Riwayat al-Hakim dan al-Tabrani

Pada hadis yang lain, Daripada Abu Hurairah R.A., Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”Riwayat Ahmad

Menurut Hujjatul Islam iaitu Imam al-Ghazali, terdapat 10 sifat mahmudah. Insha Allah, artikel kali ini akan mengupas 10 sifat mahmudah yang patut dicontohi dan alangkah baiknya ada pada diri kita semua.

#1- Taubat

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan bertaubatlah kamu kepada Allah wahai sekalian orang mukminin, semoga kamu mendapat kemenangan.”Surah al-Nur 24:31

Bertaubat adalah satu perbuatan terpuji. Bertaubat daripada terus melakukan dosa dan meninggalkan perbuatan dosa. Berazam untuk tidak mengulangi dosa-dosa yang telah dilakukan.

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang bertaubat. Kenapa beruntung? Mari kita ikuti beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menceritakan tentang kelebihan dan kebaikan orang yang bertaubat. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Pohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”Surah Nuh 71:10-12

Pada surah dan ayat al-Quran yang lain, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”Surah al-Zumar 39:53

Di dalam hadis turut diceritakan tentang kebaikan orang yang bertaubat, Daripada Anas bin Malik R.A., beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Allah sangat menyukai taubat seorang hamba-Nya daripada (kesukaan) seseorang daripada kalangan kalian yang menemukan kembali untanya (dengan tidak disangka-sangka) setelah dia kehilangannya di sebuah kawasan yang lapang.”Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim

#2- Takut Kepada Allah S.W.T

Sifat mahmudah yang kedua adalah takut kepada Allah S.W.T. Takut kepada Allah S.W.T ini boleh diertikan sebagai takut untuk melakukan dosa.

Orang yang paling takut kepada Allah S.W.T adalah orang berilmu seperti yang disebut di dalam al-Quran. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah ialah hamba-hambaNya yang berilmu (ulama).”Surah Fatir 35:28

Takut kepada Allah S.W.T bukan bermakna kita harus menjauhi Allah S.W.T. Tetapi takut kepada Allah S.W.T adalah dengan mengikuti segala perintah dan suruhanNya serta meninggalkan dan menjauhi laranganNya.

Takut kepada Allah S.W.T adalah antara sifat terpuji yang perlu ada dalam diri setiap insan. Caranya dengan menimba ilmu. Ilmu yang benar membawa kita jalan ke syurga.

#3- Zuhud

Orang yang zuhud merasa cukup dengan apa yang ada. Tidak terlalu terpesona dengan keindahan dunia hingga melupakan tujuan kehidupan sebenar.

Mereka tidak merasa terlalu sedih apabila kehilangan sesuatu perkara. Dan mereka tidak berasa terlalu kecewa jika tidak mendapat apa yang mereka mahu dan inginkan.
Orang yang zuhud, jiwanya tenang.

Orang yang zuhud bersyukur dengan apa yang ada. Orang zuhud hanya mengambil dunia sekadar keperluannya. Selebihnya digunakannya di jalan Allah.

Orang zuhud bukan benci kekayaan tetapi mereka berpada-pada. Jika kehilangan harta, mereka tidak bersedih hati. Mereka sabar dan berlapang dada.

Orang zuhud juga ada pada mereka yang berstatus orang kaya. Bahkan ada daripada mereka yang lebih zuhud daripada sebahagian orang miskin.

#4- Sabar

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan Kami (Allah) akan memberikan balasan kepada orang yang bersabar itu pahala, menurut apa yang telah mereka kerjakan dengan sebaik-baiknya.”Surah an-Nahl 16:96

Sabar adalah sifat terpuji yang memerlukan mujahadah. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi dan menempuhi pelbagai badai dan cabaran.

Sabar dalam ketaatan misalannya, ia memerlukan satu sifat sabar yang tinggi untuk kekal konsisten untuk bersolat fardu lima waktu walau dalam kesusahan dan kesakitan.

Selain itu, sabar untuk tidak melakukan maksiat juga adalan satu pengorbanan yang kuat untuk tidak terjebak dalam kancah dosa dan perbuatan yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Orang yang bersabar adalah orang yang dicintai Allah S.W.T. Hal ini kerana mereka cukup kuat menghadapi segala rintangan yang berlaku dengan hati yang terbuka. Sungguh beruntungnya orang yang mempunyai sifat sabar ini.

Untuk 6 sifat mahmudah yang lain akan disambung ke artikel bahagian yang kedua. Semoga artikel yang pertama ini dapat memberi sedikit sebanyak penjelasan mengenai 4 sifat mahmudah ini. Bertemu lagi kita dalam bahagian kedua nanti. Insha Allah.

*Bersambung…

Rujukan:

1. Indahnya Hidup Bersyariat (Penulis: Dato’ Ismail Kamus dan Ustaz Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid)
2. Penawar Hati (Karangan Syeikh Abdul Kadir Al-Mandili)
3. Majalah Gen-Q Isu Perdana
4. Al-Quran dan Terjemahan
5. Amalan Penghapus Dosa (Karangan: Imam Ibn Al-Dayba’)
6. Ringkasan Riyadhus Sholihin


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami