Hukum

Ini Tanda Haji Mabrur Yang Perlu Anda Tahu

Oleh Natirah Azira  •  6 Aug 2019  •  4 min baca

Haji Yang Mabrur Menurut Para Ulama

Setiap orang yang pergi menunaikan haji pasti mendambakan haji yang mabrur. Hakikatnya, tanda haji seseorang itu mabrur bukan dirasai hanya setelah selesai menunaikan ibadah Haji, namun ia bermula sejak dari awal persediaan lagi. Menurut Ibnu Kholawaih, haji mabrur bermaksud haji yang maqbul iaitu haji yang diterima oleh Allah SWT.

Pendapat Para Ulama’ Tentang Haji Yang Diterima oleh Allah

1. Haji Yang Tidak Bercampur Dengan Dosa Dan Kemaksiatan

Ulama yang lainnya mengatakan, “Haji mabrur adalah haji yang tidak tercampur dengan dosa.” Pendapat ini dipilih oleh Imam n-Nawawi. (Kitab Fathul Bari – 3/382)

Ilmuwan fiqh mengatakan bahawa haji mabrur bermaksud haji yang tidak dikotori dengan kemaksiatan ketika menunaikan manasik haji.

2. Tidak Ada Keinginan Untuk Menunaikan Maksiat Apabila Pulang Daripada Menunaikan Haji

Al Qurthubi rahimahullah menyimpulkan, “Haji mabrur adalah haji yang tidak dikotori oleh maksiat saat melaksanakan manasik dan tidak lagi gemar bermaksiat setelah pulang haji.”

Al-Faro’ pula berpendapat bahawa haji yang mabrur adalah apabila jemaah pulang daripada menunaikan haji, tidak ada lagi keinginannya untuk melakukan maksiat. Dua pendapat ini juga ada disebutkan oleh Ibnul ‘Arabi.

3. Menjadi Zuhud Dengan Dunia Dan Rindu Kepada Akhirat

Sedangkan Al-Hasan Al Basri rahimahullah mengatakan, “Haji mabrur adalah jika sepulang haji, seseorang itu menjadi orang yang zuhud dengan dunia dan rindu kepada akhirat.”

Pendapat Yang Paling Kuat Tentang Haji Yang Mabrur

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata,

“Pendapat yang paling kuat dan yang paling terkenal, haji mabrur adalah haji yang tidak ternodai oleh dosa, diambil dari kata-kata birr yang bermakna ketaatan.

Ada juga yang berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang diterima. Di antara tanda diterimanya haji seseorang adalah adanya perubahan menuju yang lebih baik setelah pulang dari pergi haji dan tidak membiasakan diri melakukan berbagai maksiat.

Ada pula yang mengatakan bahwa haji mabrur adalah haji yang tidak bercampur dengan unsur riya’. Ulama yang lain berpendapat bahwa haji mabrur adalah jika sepulang haji tidak lagi bermaksiat. Dua pendapat yang terakhir telah terangkum dalam pendapat-pendapat sebelumnya.” (Syarh Sahih Muslim, no.1392)

Haji yang sah tidak semestinya haji yang mabrur. Ia barangkali sah dari sisi syariat namun seseorang itu mungkin masih melakukan perkara-perkara yang dilarang yang dapat mencacatkan pahala ibadah hajinya. Namun dari segi hukum, telah hilang kewajipan baginya kerana telah selesai menunaikan rukun Islam yang kelima.

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji…” (Surah Al-Baqarah 2:197)

Ganjaran Buat Mereka Yang Memperoleh Haji Yang Mabrur

وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

“…dan haji mabrur tidak ada balasan yang pantas baginya selain syurga.” (HR. Bukhari no. 1773 dan Muslim no. 1349).

Dicatatkan juga perbualan antara Rasulullah SAW dengan sahabat-sahabat yang bertanya baginda:

Dari Abu Hurairah R.anhu, ia berkata:

سُئِلَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – أَىُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ قَالَ « إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ » . قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ « جِهَادٌ فِى سَبِيلِ اللَّهِ » . قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ « حَجٌّ مَبْرُورٌ »

“Nabi SAW ditanya, “Amalan apa yang paling afdhol?” Beliau SAW menjawab, “Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Ada yang bertanya lagi, “Kemudian apa lagi?” Beliau SAW menjawab, “Jihad di jalan Allah.” Ada yang bertanya kembali, “Kemudian apa lagi?” “Haji mabrur”, jawab Nabi SAW.” (HR. Bukhari no. 1519 – Status Hadis Sahih)

Orang yang memperoleh haji yang mabrur mendapat ganjaran yang sangat besar daripada Allah iaitu syurga. Ia bukan suatu yang aneh kerana Allah Maha Melihat dan Maha Menilai segala amal ibadah hamba-hambanya hingga dia layak mendapat syurga.

Namun di akhirnya, tidak ada sesiapa tahu adakah dirinya mendapat haji yang mabrur atau tidak. Kita hanya mampu memelihara persediaan dan pelaksanaannya agar mendapat ibadah yang sempurna. Berdoalah agar Allah mempermudahkan niat untuk mendapat haji yang mabrur.

Kesimpulan

Pengalaman untuk menunaikan haji adalah pengalaman yang sangat berharga dalam hidup. Mereka yang mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji tahu bahawa mereka perlu menunggu sehingga berpuluh tahun sebelum mendapat giliran untuk menunaikan Haji. Maka peliharalah persediaan dan juga pelaksanaan ibadah haji dengan sebaiknya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami