Tokoh

Ini Kisah Umar Al Khattab R.A

Oleh Zulfikar Egar  •  22 May 2019  •  4 min baca

Umum mengetahui bahawa Saidina Umar bin al Khattab R.A mempunyai seorang adik perempuan bernama Fatimah binti al Khattab yang masuk Islam terlebih dahulu sebelum Umar.

Peristiwa yang masyhur di mana Saidina Umar bin al Khattab R.A telah dibacakan surah Thoha di rumah Fatimah binti al-Khattab adalah antara sebab Islamnya Umar.

Adanya Fatimah binti al-Khattab ini menunjukkan bukan semua kabilah Arab mengamalkan budaya bunuh bayi perempuan. Antara kabilah Arab Jahiliah yang mengamalkan budaya jahat ini adalah Bani Tamim dan Bani Asad.

Bukti paling mudah adalah adik perempuan Saidina Umar bin al Khattbb R.A itu sendiri iaitu Fatimah binti al-Khattab yang berasal dari kabilah Bani ‘Adi dan berbangsa Quraisy. Beliau dapat membesar dengan baik dan berkahwin dengan suaminya Sa’id bin Zayd.

Kalaulah budaya amalan membunuh anak perempuan menjadi amalan keluarga al Khattab, tentunya Fatimah dah jadi arwah dari kecil lagi kena tanam hidup-hidup oleh ayahnya al Khattab.

Lalu bagaimana pula kisah Saidina Umar bin al-Khattab R.A membunuh anak perempuannya ketika kecil boleh tersebar meluas? Sebab ianya berpunca dari riwayat ini:

“Umar R.A berkata: “Ada 2 perkara (yang aku lakukan) pada zaman jahiliah. Satunya menyebabkan aku menangis, manakala yang satu lagi menyebabkan aku ketawa. Adapun yang menyebabkan aku menangis adalah: Aku membawa anak perempuanku untuk menanamnya (hidup-hidup). Lalu aku menggali sebuah lubang untuknya sehingga habis berterabur tanah pada janggutku sedang dia tidak tahu hasratku (mahu membunuhnya). Apabila mengingatinya aku menangis. Manakala peristiwa yang menyebabkan aku ketawa adalah aku pernah membuat sebuah berhala dari buah kurma lalu aku letakkannya pada bahagian kepalaku agar ia mampu menjagaku pada waktu malam. Apabila Subuh tiba dengan selamat, aku makan berhala tersebut. Apabila mengingatinya aku ketawa sendiri.” [Kisah ini disebut dalam kitab Tafsir Adwa’ al-Bayan Fi Idah al-Quran bi al-Quran pada tafsiran ayat 8 dan 9 surah al-Takwir [81], karangan Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti (seorang tokoh tafsir moden) tanpa dibawa sanad sandaran kisahnya].

Oleh kerana kisah ini dinyatakan tanpa sandaran dalil, maka kita perlu hindarinya demi menjaga nama baik Saidina Umar bin al-Khattab R.A yang telah tercemar kerana dikaitkan pernah membunuh anak perempuannya hidup-hidup.

Imam Ibnu Kathir dalam kitabnya al-Bidayah Wa al-Nihayah ketika mengulas mengenai biodata Saidina Umar bin al Khattab R.A telah menyenaraikan semua isteri dan hamba wanita Umar bin al Khattab sama ada yang kekal sehingga mati atau yang dicerai. Mereka adalah;

(1)Zainab binti Maz’un (perkahwinan pertama Umar bin al Khattab R.A pada zaman jahiliah dan melahirkan tiga anak iaitu Abdullah, Abdul Rahman (yang tua) dan Hafsah yang menjadi salah seorang isteri Rasulullah S.A.W. Hafsah lahir lima tahun sebelum perlantikan Rasulullah S.A.W sebagai nabi di Mekah)
(2) Jamilah binti ‘Asim bin Thabirt bin al-Aqlah
(3) ‘Atikah binti Zaid bin ‘Amru
(4) Qaribah binti Abi Umayyah (kemudiannya dicerai oleh Umar)
(5) Malikah binti Jarwal (juga diceraikan)
(6) Ummu Hakim binti al-Harith
(7) Ummu Kalthum binti Ali bin Abi Talib R.A 
(8) Luhayyah (hamba wanita)
(9) Fukayhah (hamba wanita)

Manakala anak Saidina Umar bin al Khattab R.A adalah;

(1)Zaid yang besar
(2) Zaid yang kecil
(3)‘Asim
(4) Abdullah
(5) Abdul Rahman yang besar
(6) Abdul Rahman yang tengah
(7) Abdul Rahman yang kecil
(8) ‘Ubaydillah
(9) ‘Iyadh
(10) Hafsah
(11) Ruqayyah
(12) Zaynab
(13) Fatimah

Inilah kehebatan para ulama hadis seperti Imam Ibnu Kathir, di mana beliau dapat menyenaraikan semua anak lelaki dan anak perempuan Saidina Umar bin al-Khattab R.A. Jika benar ada anak perempuan beliau yang dibunuh ketika zaman jahiliah, sudah pasti ia turut disenarai sama.

Juga jika benar Saidina Umar bin al Khattab R.A pernah membunuh anaknya, sudah pasti Hafsah adalah mangsa pertama kerana beliau adalah anak perempuan pertama Saidina Umar bin al Khattab R.A.

Andai masih ada yang tegar mahu mengatakan;

“Benar Umar bin al Khattab pernah membunuh anak perempuannya semasa jahiliah”

Siapkanlah hujah anda ketika bertemu dengan manusia agung ini di akhirat kelak. Wallahualam.

Rujukan:
Zayd bin ‘Amr Dan Umar Bin Al-Khattab Tidak Membunuh Anak Perempuan Mereka (Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim).


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Zulfikar Egar

Zulfikar Egar

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pembangunan Keusahawanan di Kuala Lumpur Metropolitan University College. Pernah bertugas sebagai Penolong Eksekutif di Pusat Pengajian Islam Yayasan Ta’lim TTDI KL. Kini bertugas di SmartStuday & Consultant Sdn. Bhd. sebagai Eksekutif Jualan SmartStudy.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami