Remaja

Ini Caranya Lepak Yang Produktif!

Oleh Rasyidah Rahmat  •  5 Jan 2019  •  4 min baca

“Nak ke tak nak lepak mamak?”

Selalu dengar lagu ni di corong radio? Saya tersenyum apabila mendengar bait-bait lirik lagu ini. Sinonim dengan perkataan lepak dan mamak.

Lepak memang dekat kedai mamak ke? Remaja dengan hobi ‘lepak’ ni bukan perkara asing lagi. Lepak, borak-borak dengan rakan sebaya yang lain bukankah sesuatu yang menyeronokkan.

Kepala yang serabut dengan kerja yang tidak pernah habis, pastinya dengan melepak mampu mengurangkan rasa tekanan dalam diri. Lepak itu membuang masa dan langsung tidak produktif!

Tidak kira remaja yang masih bertenaga atau ‘retua’ yang sudah pencen. Kalau kita memahami harga masa itu, pasti kita akan gunakan dengan betul.

Berhati-hatilah semasa duduk-duduk di kedai kopi, pinggir jalan dan di mana sahaja yang tanpa tujuan. Takut-takut kita tertipu dengan lepak yang langsung tidak produktif.

Saranan Rasulullah S.A.W

Rasulullah S.A.W bersabda dalam hadis di bawah;

Para sahabat bertanya :
“Wahai Rasulullah, bagi kami sesuatu yang tidak dapat kami tinggalkan. Dalam berkumpul itu kami berbincang-bincang.”

Nabi S.A.W menjawab:
“Kalau memang suatu keharusan, maka berilah jalan itu haknya.”

Mereka bertanya lagi:
“Apa yang dimaksudkan dengan haknya itu, wahai Rasulullah?”

Nabi S.A.W menjelaskan:
“Palingkan pandanganmu dan jangan menimbulkan gangguan. Jawablah tiap ucapan salam serta suruh kepada kebaikan dan cegah kemungkaran.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Subhanallah! Hebatnya cara Rasulullah S.A.W mendidik kita agar jangan sesekali mensia-siakan waktu lapang dengan perkara yang tidak berfaedah dan tidak sampai menganggu orang lain.

Kagum juga dengan keperibadian para sahabat yang sangat menjaga diri mereka daripada melakukan perkara yang sia-sia.

Sebelum Terlambat, Ayuh Bertaubat!

Saya terkesan dengan pengajaran yang boleh diambil daripada Surah Al-Sajadah. Dalam surah ini diceritakan bahawa manusia yang berdosa di akhirat nanti akan melutut di hadapan Allah dan meminta agar dikembalikan ke dunia.

Hanya untuk sebentar sahaja. Menurut ulama, cukup sekadar untuk menyebut satu kalimah iaitu “Subhanallah” (Maha Suci Allah).

Pahala menyebut sekali Subhanallah itu pun sudah cukup besar di akhirat nanti. Itulah harga masa yang selalu kita sia-siakan di dunia. Allahu.

Jom selalu zikir kepada Allah! Subhanallah wa Alhamdulillah wa La ila ha illallah wa Allahu akbar!

Alhamdulillah. Sahabat sekalian, marilah kita saling berpesan untuk diri kita. Di akhirat nanti, bukan sahaja orang yang mengisi masa dengan dosa yang akan menyesal.

Malah, orang yang tidak mengisi masa lapang dengan apa-apa pun turut menyesal. Maksudnya buat dosa tidak, buat pahala pun tidak. Rugi betul.

Ibarat Kotak Hadiah

Saya yakin kita semua sangat gembira apabila menerima hadiah. Tidak kisahlah sebesar manapun hadiah itu. Sudah pasti hati kita terusik senang dengan pemberian itu.

Namun begitu, sudah pasti juga kita ingin menerima hadiah yang besar, hadiah yang cantik dan berharga di dalamnya bukan? Maka, nak diibaratkan orang yang mengisi masa dengan perbuatan dosa semestinya akan menyesal di akhirat nanti.

Keadaan ini diibaratkan oleh Imam Al-Ghazali seolah-olah kita menerima kotak hadiah. Ada yang menerima kotak hadiah yang mengandungi benda bernilai dan ada yang menerima kotak berisi benda busuk. Bahkan ada yang menerima kotak hadiah yang kosong.

Jadi, yang mana satu kategori lepak kita? Kotak yang berharga, kotak kosong atau kotak yang busuk?

Lepak Yang Produktif!

Saya ingin berkongsikan tips yang boleh diamalkan supaya lepak kita menjadi produktif!

#1- Tahan Mata, Jaga Pandangan!

Jangan meliar. Jangan melihat perkara-perkara yang berdosa seperti melihat pendedahan aurat atau memandang orang lain dengan pandangan yang hina.

#2- Tahan Mulut, Jaga Percakapan
Jangan mengata atau mengejek orang lain. Jangan bercerita mengenai orang lain. Hal ini sangat memburukkan imej sebagai seorang Muslim. #JanganMembawang

#3- Ringan Tulang
Hulurkan pertolongan kepada yang memerlukan. Jika ada orang yang meminta pertolongan seperti minta tunjukkan jalan, kita bantu. Jika ada yang mengadu masalah yang dihadapi untuk tujuan mendapatkan pandangan atau solusi. Disinilah peranan kita.

#4- Cegah Perbuatan Buruk
Jika kita melihat perbuatan yang tidak baik berlaku depan mata. Di sinilah kita kena cuba cegah sekiranya mampu. Laksanakan amar makruf nahi mungkar. Jangan ketika ini kita buat tidak tahu pula.

#5- Jangan Menghalang Jalan
Jangan membuatkan orang lain ditimpa kesusahan akibat daripada perbuatan kita.

#6- Hindari Topik Yang Sia-Sia

Berbincanglah perkara yang mampu meningkatkan motivasi dalam diri kita dan semakin ingat kepada Allah S.W.T.

Jadikan lepak salah satu ruang muhasabah. Barulah jadi remaja lepak yang produktif!

Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sama-sama kita tingkatkan motivasi dan perbaiki diri.

Rujukan:
Buku RNR Hati, karya Ustaz Pahrol Mohd Juoi.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami