Inspirasi

Ini Cara Rasulullah Menyedarkan Pemuda Daripada Bermaksiat

Oleh Fizah Lee  •  7 Aug 2020  •  4 min baca

Manusia itu sifatnya adalah tidak sempurna. Mereka adalah makhluk yang pelupa dan tidak lari dari melakukan kesilapan sama ada yang kecil atau besar.

Namun, dalam ketidaksempurnaan manusia yang dicipta, Sang Pencipta itu sifatnya Maha Sempurna dan Memahami setiap hambaNya. Disebabkan itu, di sebalik kesilapan yang dilakukan, kita diberi peluang dan ruang untuk bertaubat.

Jalan di dunia ini banyak cabang. Semuanya bersimpang siur. Mungkin ada jalan yang lurus, namun sekejap sahaja. Yang banyaknya ialah yang berliku-liku kerana kehidupan di dunia ini adalah ujian untuk kita semua. Masakan ujian itu mudah?

Walaupun tidak mudah, tetapi ujian itu adalah yang boleh diharungi oleh setiap jiwa yang merasainya kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik dan termampu oleh jiwa-jiwa hambaNya.

Dalam kita melalui liku-liku kehidupan, pastinya kita tidak lari dari melakukan dosa. Tetapi disebabkan boleh bertaubat, kita akan mengambil peluang itu untuk bertaubat.

Namun, desakan nafsu dan hasutan syaitan tidak berhenti di situ sahaja. Ia akan berterusan sehingga bila-bila. Disebabkan itu kita tidak boleh berputus asa untuk kembali ke jalanNya. Yang paling penting ialah kita telah berusaha untuk bertaubat.

Tetapi untuk berhenti daripada melakukan dosa itu bukanlah mudah terutamanya jika ia sudah sering dilakukan dan sebati dalam diri.

Disebabkan itu, manusia sentiasa memerlukan motivasi dari dalam dan luaran bagi membantu mengekalkan semangat berbuat baik.

Kisah Baginda Memberi Kesedaran Kepada Pemuda

Sebagaimana ada sebuah kisah pada zaman Nabi Muhammad SAW yang menasihati seorang pemuda daripada melakukan dosa dengan memberi kesedaran dan motivasi kepadanya.

Apa yang Baginda lakukan sehingga pemuda tersebut takut untuk melakukan maksiat? Kisah ini ada diceritakan melalui sebuah hadis sahih, iaitu;

Sahabat Abu ‘Umamah RA mengisahkan: “Ada seorang pemuda yang telah datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku untuk berzina.”

Semua yang ada di situ kemudian terkejut apabila mendengarkan permintaan pemuda tersebut. Lantas, Baginda SAW bersabda: “Duduklah dekat di sini.”

Pemuda tersebut kemudian mendekati Rasulullah lalu duduk. Baginda SAW bersabda: “Apakah engkau suka jika ada orang yang berzina dengan ibumu?”

Pemuda itu kemudian menjawab tidak. Kemudian, Baginda SAW bersabda lagi: “Apakah engkau suka jika ada orang yang berzina dengan anak perempuanmu?”

Pemuda itu kemudian menjawab tidak. Kemudian Rasulullah SAW menjawab: “Sama juga dengan orang lain. Mereka tidak suka jika kerabat mereka ditimpa zina.”

Rasulullah kemudian mengajukan lagi soalan jika zina itu berlaku kepada saudara perempuannya atau ibu saudaranya, adakah disukai oleh pemuda itu. Kemudian, jawapan yang sama yang dijawab oleh pemuda itu, iaitu tidak suka.

Baginda kemudian menjawab: “Begitulah, orang lain juga tidak suka jika ia berlaku kepada saudara perempuan mereka atau ibu saudara mahupun kenalan perempuan mereka.” Kemudian, Baginda meletakkan tangan di dada pemuda itu seraya berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ

Maksud: “Ya Allah, ampunilah dosanya, sucikanlah hatinya dan lindungilah kemaluannya.”

Sejak dari itu, pemuda tersebut tidak pernah menoleh kepada perkara yang serong (tidak pernah memiliki keinginan untuk berbuat zina lagi.” (Hadis Riwayat Ahmad, 5:236. Ia dinukilkan sahih oleh Syeikh Syu’aib Al-Arnauth)

Pengajaran

Berdasarkan kisah di atas, dapat kita lihat bahawa salah satu kesedaran yang boleh diletakkan dalam diri kita setiap kali ingin melakukan maksiat adalah dengan mengingati tentang keburukan atau kesan yang boleh berlaku kepada diri kita sendiri atau orang sekeliling.

“Macam mana kalau benda ini akan jadi dekat aku balik suatu hari nanti?” Atau “Bagaimana kalau nanti adik aku pun akan kena benda yang sama?”

Tanya soalan-soalan ini kepada diri anda setiap kali terbit perasaan untuk melakukan maksiat. Memang bukan mudah untuk menepis keinginan itu, tetapi dengan beristighfar dan memikirkan kesan yang ada, ia adalah salah satu cara yang boleh dipraktikkan.

Kerana, yang paling utama ialah kesedaran yang datang dari dalam diri anda. Jika datang seribu nasihat pun, namun jika anda sendiri yang tidak ingin untuk menerimanya kerana kesedaran yang belum hadir, maka ia juga tidak berguna.

Kesedaran dan nasihat itu saling berkait. Jadi, jangan berputus asa untuk melawan diri daripada melakukan dosa kerana semuanya dinilai mulia di sisi Allah.

Wallahu a’alam.

Rujukan hadis:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami