Gaya Hidup

Ini 9 Penyakit Budi Menurut Muhyiddin Ibnu Arabi

Oleh Fizah Lee  •  19 Mar 2020  •  4 min baca

Muhammad bin Ali bin Muhammad Muyiddin bin ‘Arabi al-Hatimi Tha’i al-Andalusi merupakan seorang ulama sufi yang sangat terkenal dalam dunia tasawuf dan falsafah.

Beliau telah digelar sebagai ‘Syaikh al-Akbar’ yang bermaksud sang Mahaguru dan ‘Muhyiddin’ sebagai sang penghidup agama. Sumbangannya kepada bidang ini sangat meluas sehingga ramai yang berguru dengannya.

Beliau dilahirkan pada 17 Ramadan 560 Hijrah di Kota Marsia, iaitu ibu kota Andalusia Timur (sekarang dikenali sebagai Sepanyol). Dicatatkan bahawa, beliau telah meninggal dunia ketika berusia 78 tahun pada 28 Rabiul Akhir 638 Hijrah.

Namun, karya-karya beliau tidak dilupakan begitu sahaja. Ramai golongan ilmuwan yang mengkajinya. Sebuah tema yang sering diungkapkan beliau ialah ‘Tasawuf dan ilmu relung hati (ilm al-asrar) yang sering menjadi bahan rujukan ilmuwan.

Beliau juga telah mengkaji mengenai penyakit hati yang boleh mempengaruhi budi. Antara yang disebutkan beliau ialah:

#1 – Fujur

Ia bermaksud tenggelam di dalam syahwat hawa nafsu dan menuruti kehendak nafsu yang keji. Tidak cukup dengan itu, manusia memperlakukannya secara terang-terangan tanpa segan-silu. Hal inilah yang menyebabkan jatuhnya nilai diri, kurang disenangi oleh orang lain dan hilangnya kepercayaan manusia kepadanya.

#2 – Syarah

Ia merupakan penyakit kepada tamaknya harta-benda. Seseorang yang dibutakan dengan penyakit ini sudah tidak mempedulikan lagi jalan yang diambilnya sama ada halal atau haram demi menggapai cita-citanya terhadap harta.

#3 – Tabazzul

Muhyiddin Ibnu Arabi menyebut ia sebagai sebuah penyakit yang tidak mempunyai harga diri, berkawan dengan orang yang sama nilainya dengan dirinya, gemar berada dalam kelompok yang tidak menjaga nilai percakapannya dan melakukan perkara yang sia-sia.

Mereka suka merendahkan kehormatan orang lain, namun dalam masa yang sama tidak menyedari bahawa mereka sedang merendahkan diri sendiri.

#4 – Safah

Ia adalah sikap seseorang yang mudah tersinggung, sukar menerima nasihat dan cepat marah jika keadaan tidak memihak kepadanya. Apabila dirinya memarahi atau menegur orang lain, itu adalah dibolehkan. Namun, apabila dirinya ditegur, dia cepat melenting dan menganggap ia adalah perkara yang tidak sepatutnya terjadi.

#5 – Kharq

Suka berbicara mengenai kepentingan dirinya sendiri sahaja tanpa memikirkan perihal insan lain. Perbuatannya itu mesti didengari orang, namun apabila tiba giliran orang lain, dia tidak ingin mendengarnya bahkan menghasut orang lain daripada turut menghiraukannya.

#6 – Qasawah

Hatinya dipenuhi dengan dendam dan kebencian. Hal ini sehinggakan dia merasa gembira apabila melihat orang yang dibencinya itu ditimpa kesusahan. Baginya, ia adalah balasan di atas perbuatan-perbuatan yang dilakukan, jadi orang yang dibencinya itu layak mendapat kesusahan tersebut.

#7 – Khadar

Semua orang tidak senang jika ada orang yang memungkiri janji. Perbuatan ini dianggap sebagai salah satu daripada ciri orang munafik. Janji yang ditaburinya tidak ditepati bahkan memberikan seribu satu alasan untuk menyelamatkan dirinya.

Sampai suatu tahap, manusia sudah bosan dan tidak mempercayai kata-katanya lagi.

#8 – Khianat

Apabila orang memberi amanah, dia khianat. Ia juga merupakan salah satu sifat orang yang munafik dan sangat dibenci Allah apatah lagi manusia. Walaupun amanah itu tampak kecil, namun besar di sisi Allah dan juga orang-orang yang terlibat.

#9 – Takbur

Mendabik dada, memuji diri sendiri dan selalu menyatakan jasanya lebih daripada orang lain sehingga merasakan dirinya lebih daripada orang lain adalah sifat membangga diri secara keterlaluan.

Jika diceritakan untuk tujuan teladan kepada seseorang, ia perlu dilakukan secara sederhana. Namun, jika tujuannya memang untuk riak dan menunjuk-nunjuk, sifat inilah yang dibenci.

Kesimpulan

Jiwa manusia itu boleh menjadi kekuatan kepadanya dan boleh juga menjadi punca kelemahannya. Ia berhubung kait dengan ikatannya kepada Ilahi, bukan dari segi jasmani tetapi rohani.

Namun, perlu diingat – apabila lemahnya rohani, maka jasmani juga turut lemah. Mungkin sukar untuk dilihat, namun lama-kelamaan ia akan menyusul kerana rohani dan jasmani, kedua-duanya adalah milik tubuh badan kita yang dipinjamkan oleh Allah untuk dijaga mengikut aturanNya.

Kita dapat melihat, mereka yang sakit badannya, lama-kelamaan akan sakit pula akalnya. Perlahan-lahan sehingga mengganggu fikirannya, khayalannya dan juga nyawanya. Justeru, jagalah rohani daripada sifat-sifat buruk untuk menghindari penyakit budi ini daripada melanda.

Rujukan:
Buku Lembaga Budi oleh Hamka


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami