Tokoh

Imam Al-Jazari Lahir Setelah 40 Tahun Bapanya Menanti

Oleh Fieyzah Lee  •  13 Dec 2019  •  4 min baca

Imam Al-Jazari merupakan seorang ulama yang sangat berpengaruh dalam bidang Al-Quran dan qiraat. Beliau yang berasal dari Negeri Syam mempunyai kelebihan dalam ilmu tajwid. Ramai yang ingin berguru dengan beliau dek keilmuannya sehingga beliau digelar al-Mujawwid (ahli tajwid).

Nama penuh beliau ialah Abu Khayr Syams al-Din Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin ‘Ali bin Yusof al-‘Umri al-Dimasyqi al-Syirazi al-Syafi’i dan dikenali sebagai Ibn al-Jazari.

Beliau telah dilahirkan dalam bulan Ramadan pada 751 Hijrah di Kota Damsyik dan telah dibesarkan di sana. Terdapat sebuah kisah yang unik di sebalik kelahirannya yang sehingga kini menjadi bualan sejarawan.

Dikatakan bahawa beliau merupakan hasil daripada perkahwinan ibu bapanya selama 40 tahun. Bapanya merupakan seorang peniaga yang soleh dan saban hari berdoa kepada tuhan agar dikurniakan seorang cahaya mata yang soleh dan berilmu.

Ujian yang diberikan tuhan selama 40 tahun itu dihadapinya dengan sabar. Sehinggalah pada suatu hari, beliau telah berniat untuk mengerjakan ibadat umrah.

Dalam ibadatnya, beliau telah mengambil air zam-zam dengan diniatkan kepada apa yang dihajatinya, iaitu menginginkan seorang anak yang soleh. Beliau berpegang kepada berkat air zam-zam seperti yang diceritakan oleh Baginda SAW dalam hadisnya yang berbunyi:

عن ابن عباس t، قال رسول الله r ماء زمزم لما شرب له أن شربته تشتفى به شفاك الله، وان شربته لشعبك أشبعك الله به، وان شربته لقطع ظمنك قطعه، وهي هزمة جبريل رسقيا الله اسماعيل

Maksud: “Daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Air zam-zam itu mengikut hasrat peminumnya. Sesiapa yang minum kerana ingin sembuh, maka Allah akan menyembuhkannya. Sesiapa yang minum untuk merasa kenyang, maka Allah akan mengenyangkannya dan sesiapa yang minum untuk menghilangkan dahaga, maka Allah akan hilangkannya. Ia adalah pemberian (kemenangan) Jibril dan Allah memberi minum kepada Nabi Ismail.” (Hadis Riwayat Abdullah Ibn Abbas, no. 159 – Kitab Jami’ As-Saghir- Hadis Sahih)

Ekoran daripada peristiwa tersebut, Allah SWT telah mengabulkan permintaannya dan lahirlah Imam Al-Jazari, seorang yang sangat alim dalam ilmu agama dan Al-Quran.

Menjadi Penghafaz Ketika Berusia 13 Tahun

Menurut Ibn Hajar, Imam Al-Jazari merupakan seorang yang sangat alim dan cerdas pemikirannya. Beliau sangat bersungguh-sungguh dan tekun dalam mempelajari ilmu agama terutamanya Al-Quran.

Bahkan, ketika usianya mencecah 13 tahun, beliau telah berjaya menghafaz Al-Quran dengan baik dan lancar serta boleh dibaca dalam solat.

Selain daripada pengajian ilmu hadis, beliau sangat menonjol dalam bidang ilmu qiraat. Dikatakan bahawa beliau telah menjadi kadi di Damsyik dan Syiraz pada tahun 793 Hijrah.

Ayah beliau, Muhammad bin Muhammad tidak pernah jemu dalam memberikan semangat dan menanggung pengajian beliau dengan sentiasa menyuruhnya untuk menghafal Al-Quran, mempelajari ilmu tajwid, ilmu tafsir, fekah dan lain-lain.

Beliau dikatakan pernah berguru dengan Syeikh Abu Muhammad ‘Abd al-Wahab bin Yusof bin al-Sallar pada 698 – 782 Hijrah, Syeikh Ahmad bin Ibrahim bin al-Tahhan al-Manbaji pada tahun 702-782 Hijrah serta ramai lagi.

Beliau telah menuntut ilmu di beberapa tempat seperti Basrah, Kufah, Mesir, Yaman, Hijaz dan Syam. Berkat kesungguhannya, beliau telah berjaya menguasai qiraat yang berbeza daripada 14 orang imam.

Selain itu, beliau juga sangat aktif dalam bidang penulisan dan sering mengarang kitab. Karangan beliau merangkumi pelbagai bidang dan kitabnya telah berjaya diterbitkan sebanyak 78 buah.

Di antara kitabnya yang terkenal ialah Ithaf al-Maharah fi Tatimmah al-‘Asyrah, Usul al-Qiraat, Tahbir al-Taysir dan banyak lagi.

Ramai orang yang ingin berguru dengan beliau dan antara murid yang terkenal ialah ketiga-tiga orang anaknya, iaitu Syeikh Abu al-Fath Muhammad, Syeikh Abu Bakr Ahmad dan Syeikh Abu Al-Khayr Muhammad. Muridnya yang lain ialah Syeikh al-Khatib Mu’min bin ‘Ali al-Rumi, Syeikh ‘Abd al-Qadir bin Tallah al-Rumi dan Syeikh Jamal al-Din Muhammad bin Muhammad.

Disebabkan oleh kehebatan beliau dalam bidang agama, beliau telah diberi pengiktirafan dalam mengeluarkan fatwa oleh mufti Mesir yang terkemuka pada waktu itu, iaitu Al-Qadhi Abdul Fida’ (774 H), Al-Qadhi Diauddin (778 H) dan Syeikh Al-Islam Al-Baqilani (785 H) ketika beliau berusia 34 tahun.

Beliau telah berjaya menubuhkan sebuah pusat pengajian yang diberi nama Dar Al-Quran dan mengajarkan ilmu Al-Quran di sini.

Beliau telah meninggal dunia pada 9 Rabiul Awal pada tahun 833 Hijrah di rumahnya ketika berusia 82 tahun dan telah dikebumikan di Dar Al-Quran.

Sehingga kini, kitab-kitab beliau telah menjadi sumber utama dalam mempelajari ilmu Al-Quran dan qiraat dan antara pesanan Imam Al-Jazari yang menjadi pegangan para ulama sehingga kini ialah:

وليلزم الوقار والتأدب عند الشيوخ ان يرد أن ينجب

Maksud: “Lazimilah (wajiblah) tenang dan beradab ketika bersama dengan syeikh (guru) bagi sesiapa yang ingin berjaya.”

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Imam Al-Jazari


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami