Tokoh

Imam Ahmad Ibn Hanbal, Sosok Yang Tegas Berhadapan Dengan Pemerintah

Oleh Natirah Azira  •  27 Sep 2018  •  4 min baca

Imam Ahmad Ibn Hanbal dilahirkan di Baghdad pada tahun 778 Masihi. Beliau merupakan salah seorang Imam daripada ‘4 Imam’ yang sentiasa disebut-sebut iaitu Imam Syafi’e (Mazhab Syafi’e), Imam Malik (Mazhab Maliki), Imam Hanafi(Mazhab Hanafi) dan juga Imam Ahmad Ibn Hanbal sendiri daripada aliran Mazhab Hanbali.

Guru beliau adalah Imam Syafi’e sendiri, begitu juga dengan Qadhi Abu Yusof yang merupakan salah seorang daripada murid terbaik Imam Abu Hanifah. Imam Ahmad bin Hanbal adalah seorang yang faqih dalam ilmu Fiqh, Hadis serta Ilmu Adab. Diceritakan ketika berumur 10 tahun, beliau telah berjaya menghafal keseluruhan Al Quran dan mula belajar hadis.

Seperti Imam Syafi’e, beliau juga kematian ayah ketika kecil. Dengan bekerja sendiri, Imam Ahmad Ibn Hanbal mampu menyara dirinya serta pembelajarannya dengan ulama’-ulama’ terkenal di Baghdad termasuklah Qadhi Abu Yusuf.

Keazaman serta semangat Imam Ahmad Ibn Hanbal terlihat apabila beliau kerap kali menunggu di luar rumah gurunya sebaik sahaja selesai Solat Subuh untuk belajar. Selain di Baghdad, Imam Ahmad Ibn Hanbal juga berhijrah ke tempat lain untuk menuntut ilmu seperti Mekah, Madinah, Yaman dan Syria.

Beliau juga belajar daripada Imam Syafi’e bukan hanya dengan menghafal ilmu Fiqh dan hadis tetapi lebih daripada itu, iaitu memahami prinsip-prinsip yang terkandung di sebalik ilmu tersebut. Sehinggakan apabila Imam Syafi’e meninggalkan Baghdad beliau berkata;

“Aku meninggalkan Baghdad di mana tidak ada seorang pun yang lebih alim dan yang lebih faqih selain Ahmad bin Hanbal”

Setelah belajar daripada Imam Syafi’e, beliau mula mahir mengeluarkan pendapat sendiri berkaitan ilmu fiqh. Apabila Imam Ahmad berusia 40 tahun, gurunya Imam Syafi’e meninggal dunia.

Pada waktu ini, Imam Ahmad sudah dikenali di seluruh pelusuk Baghdad. Majlis ilmu nya sentiasa dipenuhi orang namun sebagai seorang yang beradab dan rendah hati, beliau sentiasa memuliakan orang yang susah dan miskin.

Walaupun hidup di tengah-tengah bandar Baghdad yang pesat membangun, beliau tidak terpesona dengan hidup mewah. Beliau terus hidup dalam keadaan sederhana dan menolak sekian banyak hadiah yang diberikan orang kepadanya.

Beliau juga menjarakkan diri dari golongan pemerintah yang berkepentingan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan serta kesan tidak baik kepada pengajarannya untuk orang ramai.

Peristiwa ‘Mihnah’

Imam Ahmad masih di Baghdad ketika pemerintahan Khalifah Al-Ma’mun (813-833M). Walaupun Khalifah Al-Ma’mun adalah sosok yang penting dalam perkembangan ilmu di Baghdad , namun beliau dipengaruhi fahaman Mu’tazilah. Fahaman ini menekankan tentang konsep rational dalam segenap aspek kehidupan termasuklah urusan keagamaan.

Daripada bergantung kepada Al-Quran dan Sunnah dalam memahami agama, golongan ini sebaliknya mengutamakan akal fikiran serta ilmu falsafah yang dicedok daripada Yunani. Khalifah Al-Ma’mun percaya dengan fahaman ini dan cuba untuk memasukkan kepercayaan tersebut kepada sesiapa jua yang berada di bawah pemerintahannya termasuklah para ilmuwan.

Khalifah Al-Ma’mun telah menubuhkan suatu gagasan bernama ‘Mihnah’ iaitu suatu ujian penyiasatan yang ditujukan kepada para ilmuwan berkenaan urusan keagamaan termasuklah isu penciptaan Al-Quran; Adakah ia makhluk atau tidak dan adakah ia bersifat baru atau qadim. Bagi mereka yang menentang fahaman Mu’tazilah ini, mereka bahkan dihukum dan disiksa.

Hal ini turut terjadi kepada Imam Ahmad Ibn Hanbal sendiri. Oleh kerana Imam Ahmad Ibn Hanbal masih tegas dengan pendirian asalnya bahawa Al-Quran itu bukan makhluk, beliau lantas disiksa dan dipenjarakan.

Walaupun ramai ilmuwan ketika itu yang berpura-pura menyokong dan mempercayai fahaman tersebut namun Imam Ahmad bin Hanbal tegas dengan pendiriannya sendiri. Akhirnya usaha ‘Mihnah’ ini berakhir setelah tiga generasi pemerintahan dan akhirnya Imam Ahmad bin Hanbal dibebaskan semula.

Imam Ahmad meninggal dunia di Baghdad pada tahun 855 Masihi. Nama Imam Ahmad Ibn Hanbal terus mekar dan dikenali bukan sahaja dengan aliran ilmu fiqhnya namun ketegasannya berhadapan dengan kuasa pemerintahan dalam menegakkan kebenaran Islam. Ramai para ulama’ terkemudian yang turut terkesan dengan ajaran Imam Ahmad Ibn Hanbal. antaranya ialah Abdul Qadir al-Gilani, Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Ibn Kathir dan Muhammad Ibn Abdul Wahhab.

Sumber:
http://lostislamichistory.com/imam-ahmad-ibn-hanbal/


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami