Sejarah

Iktibar Dakwah Rasulullah Ke Thaif – Apa Yang Anda Lakukan Apabila Kecewa?

Oleh Fizah Lee  •  28 Oct 2020  •  4 min baca

Sebuah persoalan yang saya ingin ajukan kepada anda; apabila anda dirudung kekecewaan atau sakit hati, apa yang anda lakukan?

Sama ada kekecewaan itu berlaku dari kalangan ahli keluarga anda, atau rakan karib anda sendiri mahupun pasangan anda; ia bergantung kepada persekitaran yang sedang anda diami; apa yang anda akan lakukan?

Ada orang yang mungkin akan menjawab, perkara yang paling mudah adalah dengan mengadu kepada tuhan dan meminta agar kekecewaan itu segera dihilangkan.

Namun, pengaduan bagaimana yang anda ungkapkan kepadaNya? Adakah yang berbentuk kemaafan kepada mereka atau meminta semoga tuhan memberikan balasan yang setimpal di atas perbuatan yang mereka lakukan?

Jawapan yang tepat, hanya anda sendiri yang tahu. Namun, suka untuk saya bawakan kisah dakwah Rasulullah SAW kepada penduduk Thaif agar boleh membuka mata hati kita semua mengenai persoalan yang saya bawakan di atas.

Kisah Baginda SAW Dilempar Batu Dan Diusir

Apabila sebut sahaja mengenai kisah dakwah Thaif, pasti akan bermain di fikiran anda mengenai peristiwa Baginda SAW diusir dan dilempar batu kerana penduduknya menolak ajaran dakwah Baginda.

Ia berlaku apabila Baginda SAW telah membuat keputusan untuk menuju ke Thaif dengan mengembangkan ajaran Islam kepada penduduk di sana selepas wafatnya Abu Talib dan Siti khadijah. Ada riwayat yang menyebut bahawa ia berlaku pada tahun ke-6 kenabian.

Gangguan kaum Quraisy kepadanya yang semakin membesar membuatkan Baginda mengambil keputusan untuk keluar dari Mekah. Baginda amat berharap agar penduduk Thaif mahu menerimanya.

Walau bagaimanapun, harapan tersebut hanya tinggal harapan apabila bukan sahaja penduduknya, bahkan para pembesar Thaif juga menolak Baginda dan seruannya kepada Islam.

Ada riwayat yang menyebut sehingga Baginda telah dilempar batu dan diusir keluar oleh penduduk Thaif. Bayangkan kesedihan yang ada dalam diri Baginda pada waktu itu; baru sahaja kehilangan tulang belakangnya, iaitu Khadijah dan Abu Talib, kemudian kaum Quraisy menolak ajakan Baginda dengan sekeras-kerasnya dan ditambah pula dengan penolakan penduduk Thaif.

Peristiwa ini ada diceritakan kepada isterinya, Saidatina ‘Aisyah RA ketika ditanya:

Maksud: “Apakah pernah datang kepadamu suatu hari yang sangat berat dan lebih berat dibandingkan dengan ketika Perang Uhud?”

Baginda SAW menjawab: “Aku telah mengalami penderitaan dari kaummu. Penderitaan yang paling berat yang aku rasakan, iaitu ‘Aqabah. Ketika aku menawarkan diri kepada Ibnu ‘Abdi Yalil bin Abdi Kulal, tetapi ia tidak memenuhi permintaanku. Aku pun telah pergi dengan wajah yang bersedih. Aku tidak menyedari diri kecuali di Qarnust-Tsa’alin. Lalu aku angkat kepalaku. Tiba-tiba aku berada di bawah awan yang sedang menaungiku. Aku perhatikan awan itu, ternyata ada Malaikat Jibril, lalu ia berkata kepadaku:

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah mendengar perkataan kaummu kepadamu dan penolakan mereka terhadapmu. Dan Allah telah mengirimkan malaikat penjaga gunung untuk engkau perintahkan melakukan apa sahaja yang engkau mahu ke atas mereka.”

Malaikat (penjaga) gunung memanggilku, mengucapkan salam lalu berkata: “Wahai Muhammad, jika engkau mahu, aku boleh menimpakan Akhbasin (dua gunung besar di Mekah, iaitu Gunung Abu Qubais dan Gunung Qu’aiqi’ian. Ada riwayat lain yang menyebut ia adalah Gunung Qubais dan Gunung Al-Ahmar) kepada kota ini.”

Lalu, Baginda SAW menjawab: “(Tidak) Namun, aku berharap supaya Allah menjadikan dari keturunan mereka orang yang beribadah kepada Allah semata-mata, tidak mempersekutukanNya dalam apa jua keadaan.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, no. 6561)

Baginda memilih untuk mendoakan kebaikan kepada penduduknya walaupun telah diperlakukan demikian.

Kini, kota Thaif menjadi salah satu kota penting dalam pertanian kerana ia diberkahi dengan tanah yang subur dan penduduknya pula beriman kepada Allah dengan sepenuhnya.

Kesimpulan

Betapa hebatnya doa dan kesabaran Rasulullah SAW dalam usahanya untuk menyampaikan Islam. Walhal, jika dilihat pada waktu itu, Allah memberi izin kepada Baginda untuk mendoakan agar kota itu dihempap dengan gunung akibat daripada keingkarannya terhadap dakwah yang sampai.

Namun, Baginda memilih untuk bersabar, tidak mendoakan keburukan mereka bahkan memilih untuk mendoakan agar suatu masa kelak mereka berubah dan menerima dakwah dari Allah SWT.

Itulah maksud doa yang baik yang ingin disampaikan pada awal persoalan yang dibawa tadi.

Jika anda sedang berada dalam kekecewaan yang berat, tidak rugi untuk mendoakan kebaikan buatnya. Siapa tahu, mungkin suatu masa kelak, insan tersebut akan berubah dan anda juga boleh memperoleh manfaat darinya.

Allah tidak melarang untuk kita berdoa apabila dizalimi, namun doa yang bagaimana yang terungkap ke atas mereka?

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami