Keluarga

Ibu Bapa Menggunakan Simpanan Duit Anak Sewaktu Musibah Covid-19 – Apa Hukumnya?

Oleh Natirah Azira  •  9 Jun 2020  •  3 min baca

Ramai yang bergelut dengan masalah kewangan apabila pandemik Covid-19 melanda negara. Masakan tidak, ramai yang tidak dapat bekerja mahupun menjalankan operasi perniagaan masing-masing kerana sektor ekonomi ditutup.

Sumber pendapatan yang semakin sedikit ditambah pula dengan beban hutang dan ketiadaan simpanan kecemasan yang boleh digunakan, menyukarkan lagi keadaaan, umpama jatuh ditimpa tangga.

Jika sebelum ini, simpanan untuk anak-anak ada diperuntukkan, mungkin pada masa ini hal itu terpaksa dilupakan sebentar malah tidak mustahil ada yang mula ‘mengorek’ tabung anak-anak untuk memastikan bil bulanan berbayar dan perut terisi.

Ia suatu pemandangan yang menyedihkan jika dilihat, namun demi kelangsungan hidup ia terpaksa dilakukan. Bercakap daripada aspek agama, apa pula hukum bagi keadaan ini – bolehkah ibu bapa menggunakan duit milik anak-anak yang telah disimpan khusus buat mereka?

Jumhur Fuqaha’ Dalam Mazhab As-Syafie, Hanafi dan Maliki

Ketiga-tiga mazhab di atas memutuskan pendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan memerlukan sahaja. Dalil yang menjadi hujah adalah larangan Nabi SAW sendiri daripada mengambil harta seseorang sewenang-wenangnya.

فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” (Riwayat at-Tirmizi, no. 2159)

Maksud haram di sini bermaksud haram untuk mengambil hak tersebut antara satu sama lain pada hari Arafah (pendapat lain mengatakan hari raya korban).

Mazhab Hanbali

Ahli fuqaha’ dalam Mazhab Hanbali pula memegang pendapat bahawa seorang ayah berhak untuk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat iaitu:

1. Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil suatu perkara yang menjadi keperluannya.
2. Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.

Mereka berhujah dengan hadis Nabi SAW:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ

Maksudnya: “Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” (Riwayat Ibn Majah, no. 2291)

Sungguhpun dalam zahir hadis menyebut perkataan ‘ayah’ sahaja namun para ulama juga ada yang berpendapat bahawa ia juga terpakai buat ibu.

Berbalik kepada situasi yang disebutkan pada permulaan artikel tadi tentang boleh atau tidak ibu bapa menggunakan duit milik anak-anak untuk biaya kehidupan seharian pada musim Covid-19, maka ianya dibolehkan. Dengan syarat, duit tersebut tidak diambil sewenang-wenangnya, dan dibenarkan dalam keadaan memerlukan sahaja.

Jika wang tersebut telah digunakan dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami