Tokoh

Ibn Zuhr: Bapa Pembedahan Dan Ujikaji

Oleh Anas  •  27 Jun 2017  •  3 min baca

Abu Marwan Abd al-Malik Ibn Zuhr dilahirkan di Seville (suatu daerah di Sepanyol) pada tahun 1091 Masihi. Keturunan Ibn Zuhr merupakan pakar perubatan dan tokoh dalam bidang ilmu fiqh selama beberapa generasi. Beliau amat dikenali sebagai Avenzoar di Barat.

Selepas tamat pengajian dengan pengkhususan dalam bidang perubatan, beliau berkhidmat di bawah Kerajaan Almoravids tetapi beralih kepada Abd al-Mu’min selepas Almoravids ditewaskan oleh Al-Mohades.

Ibn Zuhr tidak seperti ramai cendekiawan Islam lain yang menguasai pelbagai jenis bidang dalam satu-satu masa. Fokus Ibn Zuhr hanyalah dalam bidang perubatan sebagaimana ahli keluarganya yang lain. Beliau diiktiraf sebagai antara pakar perubatan dan klinisian semasa zaman kegemilangan Islam. Malah, namanya diangkat sebagai ahli sains terhebat.

Sumbangan Ibn Zuhr adalah menerusi penemuan-penemuannya dalam bidang perubatan. Semua penemuan ini direkodkan di dalam karyanya sendiri seperti Kitab al-Taysir fi al-Mudawat wa al-Tadbir, Kitab al-Iqtisad fi Islah al-Anfus wa al-Ajsad, dan Kitab al-Aghtiya.

Kitab al-Taysir fi al-Mudawat wa al-Tadbir adalah buku mengenai terapeutik dan diet dan dikatakan telah ditulis atas permintaan Ibn Rushd, iaitu sahabat baik kepada Ibn Zuhr dan juga merupakan penulis bersama beliau. Sebagai contoh, apabila Ibn Rushd menulis sesuatu topik yang luas, beliau meminta Ibn Zuhr untuk menulis topik yang lebih kecil tetapi terperinci.

Maka, gabungan karya kedua-dua mereka ini seolah-olah menjadi pelengkap di antara satu sama lain.

Kitab al-Taysir ini menjadi buku Ibn Zuhr yang paling dikenali ramai. Reputasi beliau meningkat di Eropah dan buku beliau ini diterjemahkan ke dalam bahasa Hebrew dan Latin. Malah, ia telah dicetak sebanyak lapan kali dalam bahasa Latin antara tahun 1490 dan 1554. Turut sama dicetak adalah karya Ibn Rushd bertajuk Kulliyyat.

Kitab al-Iqtisad fi Islah al-Anfas wa al-Ajsad secara ringkasnya berbicara mengenai penyakit, terapeutik, dan kebersihan diri. Ia adalah buku yang sesuai untuk bacaan umum atau amateur. Kitab al-Aghthiya pula menerangkan pelbagai jenis makanan dan ubatan atau dadah yang memberi kesan kepada kesihatan.

Sumbangan terbesar Ibn Zuhr adalah aplikasi kaedah eksperimennya dalam menilai prosedur pembedahan yang baru dan kontroversi. Salah satunya adalah kaedah trakeostomi iaitu prosedur terakhir yang dilakukan oleh pakar bedah sekiranya pesakit tersedak (prosedur bedah yang dilakukan dengan membuat lubang di saluran trakea/saluran udara).

Untuk membuktikan yang trakeostomi merupakan prosedur yang selamat, Ibn Zuhr telah melakukan pembedahan ke atas seekor kambing dalam eksperimennya.

Sumbangannya yang lain adalah penekanan beliau kepada pengetahuan praktikal mengenai anatomi(ilmu tentang tubuh badan) di kalangan pelatih bedah. Hal ini juga turut ditekankan oleh Al-Razi, Ibn Sina, dan al-Zahrawi. Ibn Rushd juga pernah menyatakan,

“Sesiapa yang mempelajari anatomi akan meningkatkan imannya kepada Allah.”

Ibn Zuhr juga tidak asing dengan peralatan pembedahan. Beliau pernah mengubah suai alatan untuk pembedahan saraf oftalmik (saraf berkaitan mata) supaya penggunaannya lebih bagus. Malah, beliau juga mencipta beberapa jenis tiub untuk tujuan perubatan seperti tiub untuk suapan rektal (bahagian usus).

Beliau merupakan seorang pakar bedah terkemuka di eranya. Ibn Zuhr bukan sahaja memberi sumbangan besar dalam bidang perubatan dalam dunia Islam, malah kepada dunia perubatan barat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami