Tokoh

Ibn Al-Mubarak: Tinggi Adab Dan Budi Pekerti

Oleh Asyiqin Rosmahadir  •  15 Oct 2018  •  5 min baca

Suara Salah Satu Elemen Adab

Adab merupakan penentu kepada akhlak seseorang. Jika kita memiliki ilmu setinggi langit, sayang sekali sekiranya diri kosong dengan etika dan adab. Ulama-ulama salaf iaitu ulama yang terdahulu memberikan sebuah kaedah yang berbunyi;

Al adabu fauqo al ilmi” (Adab ‘etika’ berada di atas ilmu)

Maksud daripada kaedah itu ialah adab lebih didahulukan daripada ilmu. Daripada Syeikh Abdul Aziz bin Fathi, Ibn Mubarak berkata;

Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu. Kitab: Mausuah al-Adab al-Islamiyyah

Abdullah bin al-Mubarak, ulama yang mempunyai pelbagai kelebihan. Beliau banyak ilmu agama di samping mujahid yang berani di medan perang. Lebih-lebih lagi, Ibn al-Mubarak sangat terkenal dengan ketinggian adabnya.

Pada suatu hari, Ibn al-Mubarak pergi ke majlis ilmu Imam Malik di Madinah. Beliau meminta izin untuk masuk ke dalam majlis tersebut.

Kemudian, Imam Malik mengizinkannya dengan segera. Melalui cerita yang disampaikan oleh Yahya bin Yahya al-Andalusi;

Kami melihat Malik tergopoh-gopoh bangkit dari tempat duduknya. Beliau mempersilakan Ibn al-Mubarak duduk di sebelah tempat duduknya. Aku tidak pernah melihat beliau bersikap seperti itu kepada orang lain.”

Dalam masa yang sama, seorang murid sedang membaca hadis di hadapan Malik. Apabila berlalu sebuah hadis, Malik menoleh ke arah Ibn al-Mubarak lalu bertanya:

Bagaimana mazhab anda berkenaan dengan hadis ini? Apa pandangan anda tentang hadis ini?”

Ibn al-Mubarak menjawab soalan itu dengan nada suara perlahan. Suaranya itu tidak didengari orang lain selain Imam Malik. Betapa beliau sangat menjaga adabnya di majlis Imam Malik sehingga beliau tidak mahu berceramah di hadapan Imam Malik.

Selepas berjam-jam berlalu, Ibn al-Mubarak meminta izin untuk keluar dari majlis tersebut. Imam Malik memandang kepergian Ibn al-Mubarak dengan perasaan kagum.

Adab yang ditonjolkan beliau telah memikat hatinya. Setelah itu, Imam Malik berkata kepada murid-muridnya;

Beliau ialah Ibn al-Mubarak, ahli fiqah dari negeri Khurasan.” Nukilan dalam Siyar A’lam al-Nubala karya al-Zahabi

Adab Setinggi Ilmu

Setelah mengikuti kisah Imam Malik yang mengagumi sikap Ibn al-Mubarak, sesungguhnya sikap beliau itu perlu dicontohi. Walaupun beliau seorang ulama besar yang diiktiraf keilmuannya dalam kalangan para ulama, dia tetap menjaga perlakuannya dengan baik sekali.

Tambahan pula, beliau tidak berceramah dan menunjukkan keilmuannya sewaktu Imam Malik bertanya akan pandangannya.

Antara kisah lain pula, Ibn al-Mubarak sedang duduk bersama dengan Sufyan bin Uyainah. Ada seseorang yang bertanya kepada Ibn al-Mubarak tentang satu masalah. Namun, Ibn al-Mubarak enggan menjawab soalan itu. Lalu dia bersuara;

Kami tidak dibenarkan untuk berbicara di hadapan para tokoh-tokoh besar kami.”

Maka, lihatlah betapa tingginya adab para ulama yang besar. Adabnya setinggi ilmu yang dimiliki.

Menjaga Tutur Kata

Secara kontranya pada zaman ini, adab semakin luntur apabila ilmu berkurangan. Kini, orang ramai mudah menyatakan pendapat masing-masing mengenai isu-isu yang hangat. Sesungguhnya dalam Islam, kita dituntut untuk menjaga lidah ataupun tutur kata.

Di samping itu, kita mestilah memelihara diri daripada perbuatan yang boleh menyakiti orang lain. Hal ini kerana, perkara ini dapat menjaga hubungan silaturahim. Melalui sabda Rasulullah S.A.W;

“Seorang Muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka.”Riwayat an-Nasaie

Mari kita ambil contoh isu ‘LGBT’ yang bangkit dalam masa sekarang. Kita dapat lihat bahawa terlalu ramai yang berbicara sebelum tokoh-tokoh ilmu yang bersuara.

Orang yang jahil dalam agama juga gigih bersuara. Secara jelas, kita dapat melihat pandangan yang diutarakan tidak berasaskan ilmu yang cukup.

Kita sepatutnya mencerminkan akhlak Islam iaitu tidak memberikan pandangan yang mengandungi ugutan mahupun fitnah. Walaupun kita memiliki pandangan peribadi dan mempunyai hak untuk bersuara, adalah lebih baik kita serahkan kepada pakarnya.

Sesungguhnya, pendapat yang tidak berasaskan ilmu hanya akan mencalarkan imej Islam. Satu dunia akan memandang serong terhadap umat Islam.

Umat Islam akan dianggap emosional dan ketinggalan zaman. Bukan sahaja orang bukan Islam yang akan memandang negatif pada agama Allah, bahkan umat Islam sendiri boleh berfikiran sebegitu.

Beradab Itu Sunnah Nabi S.A.W

Ketahuilah Rasulullah S.A.W selalu mendahulukan orang yang lebih tua untuk tampil ke hadapan. Hal ini kerana, mereka ini kebiasaanya lebih matang dan berpengalaman berbanding dengan anak-anak muda.

Berdasarkan kes pembunuhan Abdullah bin Sahl iaitu sahabat Nabi, dia telah dibunuh oleh bangsa Yahudi semasa dia berada di Khaibar. Pada waktu itu, keluarga Abdullah segera mendatangi Rasulullah untuk menuntut bela kematiannya.

Mereka ini diwakili oleh Muhayyisah, Huwaisah dan Abdurahman bin Sahl. Apabila berjumpa Nabi, Abdurahman bersegera berbicara di hadapan Nabi S.A.W. Padahal ia paling muda di antara ketiga-tiga orang itu. Rasulullah bersabda;

Yang lebih tua, yang lebih tua.”

Abdurahman lalu membatalkan niatnya. Kemudian berbicaralah Muhayyisah dan Huwaisah di hadapan Nabi S.A.W Riwayat al-Bukhari

Konklusinya, adab amat penting dalam kehidupan. Adab sememangnya bagaikan inti dalam diri masing-masing. Dalam pada itu, adab memiliki keberkatan tidak kira sama ada adab menuntut ilmu, adab dalam pekerjaan dan sebagainya.

Islam juga menjadi lebih indah dengan adab baik yang ditonjolkan. Oleh itu, mari kita sama-sama mencontohi Ibn al-Mubarak yang tinggi adabnya.

Walau sesiapapun kita, orang tua mahupun muda, kita perlulah beradab. Sesungguhnya, kita tidak akan rugi sedikit pun jika kita memiliki akhlak yang baik.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Asyiqin Rosmahadir

Asyiqin Rosmahadir

Seorang pelakon di pentas dunia. Acap kali menyandang watak gadis yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri. Kadangkala, lakonannya begitu indah di alam fantasi. Beliau gemar bersuara melalui tulisan dan sedang gigih berperang dalam dunia seni bina.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami