Tokoh

Ibn Al-Haytham: Pakar Optik Muslim

Oleh Anas  •  22 Jun 2017  •  3 min baca

Ibn al-Haitham dilahirkan di Basrah pada tahun 965 C.E. Beliau mendapat pendidikan di Basrah dan Baghdad.

Nama sebenar al-Haitham ialah Abu Ali Hasan Ibn al-Haitham. Namun, Barat mengenali beliau dengan nama Alhacen dan kemudiannya Alhazen.

Ibn al Haytham dilahirkan semasa era kegemilangan Islam. Pada masa itu, berlaku perkembangan pesat dalam bidang sains, teknologi dan perubatan.

Ibn al-Haytham telah menggunakan karya-karya hebat cendekiawan sebelum itu yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Karya-karya ini diterjemahkan oleh para pemikir hebat yang berada di bawah pemerintahan pelbagai pemerintah Muslim dan orang-orang kaya suatu masa dahulu.

Ibn al-Haytham turut mendapat manfaat daripada pelbagai kemudahan pendidikan seperti perpustakaan dan sekolah tinggi semasa era itu.

Al-Haitham amat dikenali sebagai seorang ahli sains yang menyumbang kepada bidang optik, penglihatan, dan cahaya. Selain itu, beliau turut cemerlang dalam bidang matematik dan astronomi.

Ibn al-Haytham menggunakan eksperimen bagi mengesahkan sesuatu teori. Malah, beliau pernah menyebut;

“Jika mempelajari kebenaran itu tujuan kepada ahli sains, maka dia mestilah menjadikan dirinya musuh kepada semua yang dibacanya.”

Apa yang dimaksudkan beliau di sini adalah eksperimen merupakan sesuatu yang penting untuk menguji apa yang ditulis dan bukannya sekadar menerima sesuatu perkara sebagai kebenaran secara bulat-bulat.

Oleh itu, kerja-kerja Ibn al-Haytham dalam bidang optik dikenali kerana penekanannya terhadap eksperimen yang dilakukan secara berhati-hati bagi menguji teori dan hipotesis.

Ibn al-Haytham pernah dijemput ke Mesir untuk membantu membina empangan Sungai Nil. Namun, selepas melawat kawasan itu, beliau enggan meneruskan projeknya sehingga menyebabkan beliau dikenakan tahanan di rumah selama 10 tahun. Hikmahnya beliau menemui sesuatu yang menjadi perkara berharga dalam bidang optik.

Al-Haytham menggunakan bilik gelap yang dipanggil Albeit Almuzlim atau ‘kamera obskura’ di dalam bahasa Latinnya untuk mengkaji tentang sifat cahaya dan pandangan. Inilah yang menjadi asas kepada bidang fotografi.

Beliau merupakan yang pertama menggambarkan dengan tepat pelbagai bahagian pada mata dan memberikan penjelasan saintifik ke atas proses penglihatan.

Beliaulah yang memberi nama kepada bahagian mata seperti kanta, retina dan kornea. Penemuan penting al-Haytham juga ialah manusia melihat sesuatu objek menerusi sesuatu yang masuk ke dalam matanya dan bukan menerusi sesuatu yang keluar dari matanya.

Kitab al-Manadhir merupakan karya beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin semasa Zaman Pertengahan. Dengan adanya terjemahan itu, karya beliau memberi kesan yang cukup hebat kepada sains di Barat. Antara yang terpengaruh dengan penulisannya ialah Roger Bacon, Rene Descartes dan Christian Huygens.

Malah, sekitar tahun 1275, sebuah buku mengenai optik ditulis oleh Erazmus Witelo yang kemudiannya didapati bahawa Witelo telah meniru kebanyakan isinya dari buku milik al-Haytham.

Perbincangan dalam buku beliau adalah termasuk teori pelbagai fenomena seperti bayang-bayang, gerhana, pelangi dan spekulasi ke atas bentuk semulajadi cahaya.

Daripada 96 buah buku yang direkodkan pernah ditulis oleh beliau, hanya 55 buah sahaja yang berjaya diselamatkan. Semuanya adalah buku-buku berkaitan dengan cahaya seperti cahaya bulan, cahaya bintang, pelangi, pembentukan bayang, dan gerhana.

Sumbangan Ibn al-Haytham diperakui antarabangsa sehingga kawah yang terletak di bulan dan asteroid 59239 mendapat nama Alhazen sebagai tanda penghargaan kepada Ibn al-Haytham.

Al-Haytham meninggal dunia pada tahun 1040 pada usia 74 tahun di Kaherah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami