Gaya Hidup, Hukum

Hutang Kad Kredit Juga Boleh Menyebabkan Roh Anda Tergantung

Oleh Natirah Azira  •  15 Jul 2019  •  4 min baca

Ramai yang sensitif apabila disebut tentang hutang lebih-lebih lagi jika pernah menjadi orang yang meminjamkan wang atau memberi hutang kepada rakan atau saudara terdekat. Pasti banyak kerenah yang perlu dihadap. Jika tidak diberi, kasihan. Sudah diberi, liat pula membayar.

Pendek kata, hutang boleh buat orang berdendam. Mereka yang berhati ‘malaikat’ pula, akhirnya bertindak menghalalkan sahaja. Malas mahu fikir panjang, dalam masa yang sama ingin memudahkan si peminjam – bimbang jika dia mati, mati pula dalam keadaan berhutang.

Rasulullah SAW juga sering kali berdoa agar dijauhkan daripada hutang, kerana orang yang suka berhutang juga akan terjerumus dalam tindakan menipu dan tidak menunaikan janji. Akhirnya, orang hilang percaya dan rasa hormat kepada mereka.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dinukilkan,

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَ سَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَلَاةِ : اللهمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَاْثَمِ وَ المَغْرَمِ. فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ. فَقَالَ: إِنَّ الرَجُلُ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berdoa selepas daripada menunaikan solat, “Ya Allah SWT, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang. Lalu ada yang bertanya kepada Rasulullah SAW, “Kenapakah engkau selalu meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jika orang yang berhutang berkata-kata, dia akan selalu berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 832)

Hutang Kad Kredit Juga Termasuk Dalam Makna Hadis

Selain daripada hutang secara langsung antara dua orang, ada satu lagi jenis hutang yang ramai sekali buat-buat lupa iaitu hutang kad kredit. Ramai yang bermudah-mudah dengan hutang kad kredit kerana menganggap bahawa ia adalah hutang dengan pihak bank dan bukan orang perseorangan.

Rasa bersalah jadi lebih berkurang kerana mereka tidak perlu berurusan dengan orang yang bertanya tentang hutang setiap bulan. Cuma masalahnya, apabila silap cara dan tidak faham bagaimana sistem bayaran balik kad kredit berfungsi, ramai yang akan terjerumus dalam hutang yang semakin bertompok dan akhirnya nama disenarai hitam.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian – (Surah al-Maidah 5:1)

Selain itu, terdapat hadis lain yang menerangkan tentang ancaman terhadap golongan yang sengaja enggan membayar hutang, berlengah-lengah dan lebih teruk lagi langsung tidak berusaha untuk melunaskan hutangnya tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya” – (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2387)

Bererti, Allah akan mempermudahkan jalan buatnya untuk membayar hutang yang telah dipinjam.

Orang Yang Berhutang Akan Bertemu Allah Sebagai Seorang Pencuri

Rasulullah SAW juga bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا

Maksudnya: Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri” – (Hadis riwayat Ibn Majah, no. 1969)

Orang Yang Mati Dalam Keadaan Berhutang Jiwanya Tergantung

Kita sering mendengar ancaman daripada hadis berkenaan roh orang yang berhutang akan tergantung apabila meninggal dunia. Ia selari dengan hadis sahih daripada Rasulullah SAW berbunyi:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya” – (Hadis riwayat Tarmidzi, no. 1079)

Daripada keterangan di atas, dapat disimpulkan bahawa hutang kad kredit, dan apa jenis hutang sekalipun adalah termasuk dalam hutang yang wajib dibayar dan diancam dengan ancaman yang berat seperti yang terdapat dalam hadis.

Hutang tetap hutang tanpa mengira kecil atau besar nilainya ataupun dengan siapakah kita berhutang. Hukum asal berhutang adalah harus namun membayarnya wajib kerana kita telah mengambil hak dari pihak yang memberikan hutang. Nilailah kemampuan diri sebelum berhutang. Sungguh tidak berbaloi jika hanya bersenang dan bergembira dalam hutang tetapi apabila meninggal dunia – belum sempat sampai ke hari hisab, roh telah terseksa.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” – (Hadis riwayat Abu Daud, 4/353)

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami