Hukum

Hukuman Bunuh Kepada Orang Murtad Adakah Satu Kezaliman?

Oleh Fazli Abdullah  •  30 Aug 2019  •  4 min baca

Ada sebahagian yang bertanya dan meminta jawapan berkenaan dengan hukuman kepada mereka yang murtad daripada agama Islam. Jawapannya, hukumannya adalah bunuh. Soal mereka dengan terkejut;

“Tidakkah itu zalim?”

“Dimanakah kebebasan sebagai manusia?”

“Kalau macam tu ramailah yang takut nak terima Islam.”

Islam adalah agama yang sempurna dan memberi panduan yang lengkap berkaitan dengan kehidupan kita. Islam hadir membawa jalan kebenaran kepada kita dan juga memberitahu untuk menjauhi jalan yang boleh membawa kerosakan dan kejahatan.

Islam juga adalah agama yang diredhai Allah S.W.T seperti yang termaktub di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah S.W.T adalah Islam.” Surah Ali-Imran 3:19

Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang diiktiraf oleh Allah S.W.T. Agama yang benar bukan agama rekaan. Jadi untuk lebih memahami lagi berkenaan hukuman murtad ini marilah sama-sama kita meneruskan bacaan di bawah. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Murtad Adalah Satu Jenayah

Menurut Syeikh ‘Abdul Qadir ‘Awdah, murtad ialah perbuatan meninggalkan agama Islam dan keluar daripadanya sesudah Islam.

Murtad boleh berlaku melalui perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebut oleh seseorang Islam yang mukalaf, yang perbuatan dan perkataannya mengikut hukum syarak adalah merosakkan akidah Islam dan dapat memutuskan hubungan seseorang dengan agama Islam.

Perbuatan murtad ini berlaku dengan syarat iaitu disertai dengan niat, dengan secara sukarela dan dengan perbuatan serta tidak ada paksaan oleh sesiapa atau keadaan.
Antara perbuatan yang boleh menyebabkan murtad adalah:

#1- Menyembah pokok, berhala atau apa-apa benda yang dianggap sebagai tuhan dan mempunyai kuasa.

#2- Menganggap ada kuasa yang lebih hebat dan kuat daripada Allah S.W.T.

#3- Mempermain-mainkan dan menghina hukum dan peraturan Allah S.W.T.

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Tidak halal darah seseorang Muslim yang mempersaksikan bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan sesungguhnya aku ialah utusan Allah, melainkan salah satu daripada tiga orang: orang yang membunuh, orang muhsan(sudah berkahwin) yang berzina, dan orang yang meninggalkan agamanya serta meninggalkan jemaah (orang Islam).”Hadis Riwayat al-Bukhari

Murtad dianggap sebagai satu jenayah kerana ia adalah satu perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T dan timbul pelbagai keburukan di dunia dan di akhirat.

Segala perbuatan amal soleh yang dilakukan sebelum murtad terhapus dan tidak mendapat kebaikan dan pahala. Alangkah sia-sianya amalan mereka dan mereka termasuk di dalam golongan orang-orang yang rugi. Nauzubillah minzalik.

Oleh itu, hukuman bunuh menunjukkan bahawa murtad bukan sebarang perbuatan yang boleh dianggap kecil dan remeh. Ia melibatkan kehidupan di dunia dan kehidupan di akhirat.

Agama Islam adalah agama fitrah dan agama yang tinggi. Ia tidak sepatutnya keluar daripada Islam kerana Islam sudah terbukti cukup dengan segalanya daripada pelbagai aspek.

Selain itu, hukuman bunuh menunjukkan yang agama Islam bukan agama yang boleh dijadikan barang mainan. Ia melibatkan banyak pihak seperti ahli keluarga.

Pelbagai masalah yang akan berlaku jika terjadinya murtad seperti isu warisan harta pusaka, hubungan suami isteri, dan pelbagai keadaan yang boleh menimbulkan pancaroba.

Salah Faham Yang Perlu Dirungkai

Hukuman bunuh bukan dilaksanakan tanpa ada pertimbangan. Hukuman bunuh hanya dikenakan kepada golongan yang mengisytiharkan kemurtadannya, iaitu mereka menyeru dan mengajak pula orang lain untuk turut cenderung meninggalkan agama Islam sehingga boleh tercetus kerosakan, permusuhan dan perpecahan dalam masyarakat Islam.

Bagi mereka yang murtad tetapi menyembunyikannya dan tidak menghasut serta tidak menyeru orang lain untuk turut sama keluar Islam, dia tidak akan dikenakan hukuman bunuh. Jelas bukan?

Hukuman bunuh tidak akan dijalankan sebelum melalui proses-prosesnya iaitu orang yang murtad akan diberi tempoh masa untuk bertaubat.

Mereka juga akan diberi sesi kaunseling dan juga nasihat. Dalam tempoh masa yang diberikan beberapa usaha akan dilakukan untuk membetulkan kesilapan dan kekeliruan. Turut menjelaskan kefahaman yang betul dan sahih.

Sekiranya orang murtad itu kembali kepada Islam dan dia bertaubat atas kekhilafannya maka hukuman bunuh akan digugurkan dan tidak akan dilaksanakan.

Jelaslah hukuman bunuh bukan hukuman yang sewenang-wenangnya dijatuhkan kepada orang murtad. Ia dijatuhkan mengikut langkah-langkahnya. Bukan terus memberi hukuman bunuh tanpa diberi peluang.

Persoalannya zalimkah hukuman bunuh ini? Anda boleh menjawabnya bukan? Semestinya ia tidak zalim. Waallahu a’lam.

Rujukan:

1. Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian-Hujah Mencabar Keimanan (Penulis: Abu Sofeya)
2. Soal Jawab Hudud- Undang-undang Allah S.W.T yang Adil (Penulis: Dr. Mohd Azhar Abdullah dan Penulis-Penulis Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami