Hukum

Hukum Pergaulan Antara Lelaki Dan Wanita

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  25 Apr 2019  •  5 min baca

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami menjadikan kamu dari seorang laki laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa bangsa dan bersuku suku supaya kamu saling kenal mengenal”Surah Al Hujurat : 13

Allah S.W.T telah menciptakan manusia dengan mempunyai pelbagai perbezaan latar belakang, jantina, suku kaum dan bangsa. Dengan segala perbezaan dan keunikan inilah manusia boleh saling mengenal dan saling berinteraksi antara satu sama lain.

Interaksi antara manusia mestilah melalui pergaulan sama ada pergaulan tersebut di antara sesama jantina ataupun dengan berlainan jantina dan apabila pergaulan tersebut melibatkan jantina yang berlainan.

Maka adanya batas-batas pergaulan yang seharusnya diikuti. Allah S.W.T telah pun memberikan garis panduan di dalam menjaga batas-batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Pergaulan antara lelaki dan perempuan sama ada sebagai kawan mahupun rakan sekerja sudah tidak asing lagi pada masa kini. Islam tidak pernah melarang perhubungan tersebut asalkan ianya tidak melanggar aturan syariat yang telah ditetapkan.

Oleh itu, apakah garis panduan dan batas yang harus kita ikuti ketika bergaul di antara lelaki dan perempuan?

#1- Tidak Duduk Secara Berdua-Duaan

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya”Riwayat Muslim

Abdullah Ibnu umar R.A juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duaan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan”

Berdua-duaan antara lelaki dan perempuan adalah suatu perbuatan yang diharamkan di dalam Islam.

Oleh itu, sekiranya mempunyai sebarang hajat dan keperluan yang harus diselesaikan, maka perjumpaan tersebut boleh dilakukan tetapi hendaklah dilakukan secara berkumpulan ataupun secara beramai-ramai. Elakkan daripada berjumpa secara berdua-duaan.

Namun sekiranya terpaksa dan urusan tersebut sememangnya melibatkan hanya dua pihak, maka perjumpaan secara berdua-duaan boleh juga dilakukan tetapi perjumpaan itu haruslah dilakukan di tempat yang umum iaitu di tempat yang mempunyai ramai orang serta tidak sunyi yang tidak akan mengundang fitnah kepada kedua-duanya.

#2- Menjaga Dan Menutup Aurat Dengan Sempurna

Di dalam Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan ingatlah Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”Surah al Ahzab : 59

Allah juga berfirman tentang pensyariatan menutup aurat iaitu:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..”Surah an Nur : 31

Aurat adalah antara perkara penting yang seharusnya dititkberatkan apabila adanya pergaulan di antara lelaki dan perempuan.

Islam menyuruh umatnya untuk menutup aurat dengan sempurna bukanlah untuk mengongkong apatah menyekat kebebasan individu melainkan untuk menjaga dan memelihara maruah seseorang sekaligus meninggikan martabatnya sendiri.

Maka apabila adanya perjumpaan di antara lelaki dan perempuan, perhatikanlah pemakaian yang dipakai, pastikan pakaian yang dipakai itu patuh dan memenuhi kehendak syariat.

#3- Tidak Melembutkan Suara Dan Gaya Percakapan

Percakapan di antara kedua-dua belah pihak haruslah bukan di dalam nada suara yang menggoda dan dengan melembutkan kata-kata dan butir bicara.

Tetapi percakapan sebaliknya haruslah dituturkan dengan nada yang biasa seperti percakapan yang biasa digunakan seharian namun percakapan tersebut harus tetap menjaga tutur sopannya.

Nada dan gaya percakapan yang terlalu lemah lembut atau manja boleh menarik minat dan perhatian di antara berlainan jantina. Allah berfirman yang bermaksud:

“Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkata-katalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”Surah al Ahzab : 32

#4- Tidak Berlebih Di Dalam Berhias Ketika Bertemu

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu serta janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, serta tunaikanlah zakat dan taat lah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semua itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu, Wahai “ahlul bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada perkara yang keji)”Surah al Ahzab : 33

Apabila adanya pertemuan, maka berhati-hatilah di dalam berhias. Elakkan daripada berdandan dengan berlebihan agar dapat menunjukkan dan mempamerkan kecantikan kepada lelaki atau wanita yang bukan mahram.

Sebaliknya berhiaslah seperti yang telah digariskan oleh syarak supaya dapat mengelakkan diri daripada mengundang nafsu dan syahwat.

Kurangkan memakai wangi-wangian bagi wanita kerana wangi-wangian juga turut dapat menarik perhatian lelaki yang menciumnya. Wanita yang tinggi perisai iman dan malunya, maka semakin sederhanalah pula penampilannya.

#5- Menjaga Dan Menundukkan Pandangan

“Katakanlah wahai Muhammad kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram dan memelihara kehormatan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan Nya tentang apa yang mereka kerjakan”Surah an Nur : 31

Allah S.W.T memerintahkan kepada kita agar menjaga dan menundukkan pandangan daripada memandang sesuatu yang diharamkanNya.

Menundukkan pandangan adalah salah satu cara menjaga hati kerana pandangan mata adalah langkah pertama untuk membuka pintu ke arah perbuatan zina.

Oleh yang demikian, tundukkanlah pandangan ketika berurusan dengan lelaki ataupun wanita yang bukan mahram.

#6- Sekadar Menyelesaikan Sesuatu Urusan Atau Keperluan

Perjumpaan dan pertemuan yang diadakan haruslah sekadar memenuhi keperluan dan bagi menyelesaikan sesuatu urusan tidak kiralah sama ada urusan jual beli, urusan kerja ataupun perbincangan mengenai pembelajaran.

Namun pertemuan yang diadakan hendaklah tidak mengambil masa yang terlalu lama dan terlalu kerap yang boleh menyebabkan pertemuan tersebut mengandungi unsur-unsur yang sia-sia dan sekadar suka-suka serta menghilangkan matlamat sebenar perbincangan.

Kesimpulannya, Pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah diharuskan di dalam Islam. Malah di dalam arus dunia pada hari ini, boleh dikatakan hampir mustahil untuk melakukan sebarang urusan tanpa melibatkan adanya lelaki dan perempuan.

Oleh yang demikian, tidak ada salahnya untuk kita menjalankan urusan dengan berlainan jantina asalkan kita menjaga batas-batas dan adab di dalam pergaulan tersebut.

Segala batas-batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T tidak lain tidak bukan adalah untuk menjaga dan memelihara diri kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Merupakan anak kelahiran Kelantan Darul Naim. Telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Berminat di dalam pembacaan buku pelbagai genre dan turut aktif di dalam bidang penulisan dan kini sedang bergelar sebagai seorang pendidik di Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kuala Krai Kelantan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami