Gaya Hidup

Hukum Menyembelih Haiwan Menggunakan Mesin Mekanikal

Oleh Natirah Azira  •  16 Jan 2020  •  4 min baca

Islam sangat mementingkan aspek halal, bersih dan baik dalam penyediaan makanan. Bagi proses penyembelihan dalam Islam, ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi agar daging dikira halal dan boleh dimakan. Seiring pertumbuhan industri makanan, ia juga menyebabkan permintaan yang tinggi kepada daging dan ayam untuk bekalan restoran-restoran yang ada di seluruh Malaysia.

Justeru keadaan ini membawa kepada alternatif serta kaedah penyembelihan yang telah diinovasikan iaitu penyembelihan menggunakan mesin atau dipanggil penyembelihan mekanikal. Penyediaan bekalan makanan menjadi lebih laju dan efisen.

Apabila muncul kaedah baru dalam pelaksanaan, maka sudah tentu ia menimbulkan persoalan baru pula tentang hukum. Adakah ia dibolehkan dalam Islam? Adakah haiwan sembelihan tersebut dikira halal?

Pertama sekali, kita perlu mengetahui perkara asas dalam urusan penyembelihan. Rukun sembelihan ada empat iaitu penyembelih, binatang yang disembelih, alatan untuk menyembelih dan perbuatan menyembelih.

Khilaf yang berlaku berkenaan isu penyembelihan adalah kerana dua perkara. Pertama tentang bacaan tasmiyyah (menyebut nama Allah).

Menurut pendapat Mazhab Syafie, ia adalah sunat.
Mazhab Hanbali menetapkan tidak mengapa sekiranya terlupa.

Manakala dalam Mazhab Hanafi dan Maliki pula, tasmiyyah adalah syarat sah – ia tidak boleh ditinggalkan dengan sengaja tetapi tidak mengapa sekiranya terlupa dan tidak sengaja. Selain itu, bacaannya memadai menyebut Allah atau nama-nama Allah yang lain.

Kedua, siapakah yang dikira penyembelih.

Sebahagian berpendapat bahawa pengelola mesin operator yang menekan suis penyembelihan yang dikira sebagai penyembelih. Namun ada pula pihak yang menyanggah bahawa sembelihan mekanikal tidak sah kerana tidak melibatkan usaha manusia sendiri iaitu perbuatan menyembelih.

Di sini sumber utama yang dirujuk dalam memahami isu ini adalah kertas kajian oleh Tuan Sidek dan Ridzwan Ahmad yang telah diterbitkan di bawah Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa.

Antara pendapat fiqh yang telah dikemukakan dalam kertas kajian tersebut adalah seperti di bawah:

1. Dar al-Ifta Misriyyah

Sekiranya binatang itu disembelih oleh pisau mekanikal dalam keadaan masih hidup selepas dilakukan stunning, sembelihan itu sah kerana sembelihan boleh dilakukan dengan menggunakan apa-apa alat yang tajam selain daripada kuku dan gigi.

Stunning adalah satu kaedah yang dikenakan ke atas haiwan sebelum disembelih. Kaedah ini menggunakan arus elektrik perlahan (kejutan elektrik) yang menyebabkan haiwan menjadi lali dan pengsan seketika supaya mudah disembelih. Hukum stunning ini dibenarkan dalam Islam dengan syarat ia tidak menyebabkan kematian haiwan.

2. Majlis Ulama’ Halal Food Authority (HFA 2013)

Ditetapkan bahawa sembelihan mekanikal adalah halal. Walaupun ada isu yang berkait dengan tasmiyyah (menyebut nama Allah), namun mereka memilih pendapat Imam Al-Syafie yang tidak mewajibkan bacaan tasmiyyah ketika sembelihan.

Pisau mekanikal dianggap sebagai ganti kepada pisau biasa yang digunakan sewaktu sembelihan yang biasa. Namun begitu beberapa syarat turut diletakkan dalam penyembelihan kaedah ini.

1. Penyembelih ialah seorang Islam
2. Niat hendaklah kerana Allah dan dengan nama Allah
3. Nama Allah hendaklah disebut secara berterusan ketika sembelihan dilakukan.
4. Hendaklah pisau yang digunakan itu tajam dan memotong keempat-empat urat iaitu halkum, mari’, vena jugular dan arteri karotid (wadajain).
5. Binatang yang disembelih hendaklah dibiarkan darahnya mengalir keluar sebanyak mungkin.
6. Voltan dan elektrik yang dilakukan hendaklah tidak menyebabkan kematian.

Namun, dari sudut pelaksanaan, difahamkan bahawa sejak 2014, HFA telah mengeluarkannya daripada standard halal mereka dan tidak lagi membuat akreditasi halal ke atas rumah sembelihan yang menggunakan sembelihan mekanikal. Hal ini kerana kesukaran dalam melakukan kawalan dan pemantauan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-48 yang bersidang pada 3 April 2000 pula telah memutuskan beberapa syarat dalam penyembelihan menggunakan mesin (pisau mekanikal).

1. Pengendali pisau mekanikal hendaklah seorang Muslim. Pengendali tersebut hendaklah membaca bismillah sebelum memetik suis pisau mekanikal dan hendaklah memerhati kepada binatang yang disembelih.

2. Penyembelih Muslim yang memetik suis pisau mekanikal tidak boleh meninggalkan tempat sembelihan semasa penyembelihan sedang dijalankan dan tidak boleh membuat kerja-kerja lain yang mengganggu tumpuan.

Garis panduan sembelihan mekanikal telah dimuatkan di dalam Malaysian Standard 1500:2004, tetapi telah dikeluarkan daripada Malaysian Standard 1500:2009.

Ada beberapa lagi pendapat lain yang dikemukakan antaranya perlu menyebutkan kalimah tasmiyyah kepada setiap haiwan yang ingin disembelih. Jika tidak mampu atau menyukarkan, cukup dengan membaca ke atas satu kumpulan haiwan yang ingin disembelih seperti yang telah difatwakan oleh Majma’ al-Fiqh al-Islami.

Secara kesimpulannya, penggunaan mesin atau pisau mekanikal adalah harus tetapi dari sudut pelaksanaan – ia memerlukan prosedur yang sangat rapi dan teliti khususnya tentang ketepatan pemotongan pada leher haiwan.

Perlu ada pekerja terlatih yang bertugas untuk memeriksa hasil penyembelihan sama ada menepati syarat pemotongan atau tidak. Wallahu’alam.

Rujukan:
1. Jurnal bertajuk “Penggunaan Pisau Mekanikal Dalam Industri Sembelihan Ayam Halal: Analisis Menurut Perspektif Maqasid Al-Shariah” oleh Tuan Sidek dan Ridzwan Ahmad
2. Teknik Penyembelihan Untuk Industri Halal Di Malaysia


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami