Ibadah

Hukum Menyaksikan Penyembelihan Binatang Korban Bagi Wanita

Oleh Natirah Azira  •  8 Aug 2019  •  3 min baca

Musim Haji sangat sinonim dengan ibadah korban. Ia akan mula dilakukan pada hari Raya Aidiladha iaitu setelah selesai melakukan solat sunat pada sebelah paginya.

Menurut pandangan jumhur ulama’, hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkadah bagi individu yang berkemampuan. Manakala bagi pandangan ulama Mazhab Shafi’i adalah sunat ‘ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup.

Bagi Mazhab Maliki pula, makruh hukumnya meninggalkan ibadah korban bagi yang mampu. Sedangkan orang yang berniat untuk melakukan korban nazar maka hukumnya menjadi wajib.

Tempoh Melakukan Ibadah Korban

Ibadah korban hanya dilakukan pada tarikh 10 Zulhijjah (bermula dari selesai menunaikan solat sunat Aidiladha) hingga 13 Zulhijjah.

Jika waktu solat bermula pada 8.30 dan selesai pada jam 9.30, maka ibadah korban bermula pada jam 9.30. Ia tidak sah dilakukan pada malam 10 Zulhijjah dan juga pada malam 14 Zulhijjah.

Bolehkah Golongan Wanita Menyaksikan Penyembelihan Korban

Sewaktu kecil, jika pulang ke kampung untuk meraikan hari raya Aidiladha, pasti kita tidak akan melepaskan peluang untuk mengikut orang dewasa menyaksikan upacara penyembelihan ibadah korban. Orang kampung akan berkumpul beramai-ramai untuk sama-sama melapah dan memotong daging korban.

Namun, apabila meningkat dewasa, rata-rata yang menyertai adalah golongan lelaki. sudah jarang dilihat wanita turut serta menyaksikan proses penyembelihan ibadah korban.

Mari kita lihat apa kata Rasulullah SAW berkenaan amalan menyaksikan penyembelihan binatang korban.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” يَا فَاطِمَةُ قُومِي إِلَى أُضْحِيَّتِكِ فَاشْهَدِيهَا فَإِنَّ لَكِ بِأَوَّلِ قَطْرَةٍ تَقْطُرُ مِنْ دَمِهَا أَنْ يُغْفَرَ لَكِ مَا سَلَفَ مِنْ ذُنُوبِكِ ”

Daripada Abi Said al-Khudri RA, telah bersabda Rasulullah SAW (kepada Fatimah): “Wahai Fatimah, pergi dan saksikanlah korbanmu kerana keampunan diberikan kepadamu pada saat titisan darahnya yang pertama untuk setiap dosa yang telah engkau lakukan” (Sunan Kubra lil Baihaqi, No. 18580, Statusnya Sahih Isnad)

Rasulullah sendiri menyuruh Fatimah pergi menyaksikan penyembelihan binatang korbannya. Maka golongan wanita juga dibenarkan untuk hadir menyaksikan urusan penyembelihan haiwan korban di samping boleh berdoa agar diampunkan dosa sebaik sahaja titisan darah menitis ke bumi.

Sebaik-baiknya, orang yang mengambil bahagian dalam ibadah korban tetapi mewakilkan orang lain untuk menyembelih, sunat untuk turut hadir menyaksikan urusan penyembelihan tersebut.

Doa Orang Yang Berkorban Semasa Melihat Korban Dilaksanakan

Selain doa memohon ampun daripada Allah atas segala dosa yang telah dilakukan, doa di bawah juga boleh dibaca oleh orang yang berkorban.

اللهم تقبل منِّى

(Ya Allah terimalah ibadah korban daripadaku ini)

Kesimpulan

Amalan berkorban adalah tanda ketaatan daripada seorang hamba. Ia dapat dilaksanakan hanya setahun sekali. Daging yang diagih-agihkan pula bukan seperti daging yang biasa kita beli di pasar. Padanya ada keberkatan dan kebaikan yang akan bersambung hingga ke hari akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada satu amalan anak Adam pada hari Nahar (Hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binatang korban), kerana ia (binatang korban) itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, kuku dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu perelokkan olehmu niat serta binatang yang dikurbankan.”

(Riwayat al-Hakim).


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami