Hukum, Ibadah

Hukum Menghentikan Solat Dalam Situasi Berbahaya

Oleh Natirah Azira  •  16 Jul 2019  •  4 min baca

Pernah dulu beberapa kali tular di media sosial rakaman orang yang terus menunaikan solat ketika ditimpa bencana. Jika di kawasan Asia Tenggara ini, bencana yang biasa terjadi pastilah gempa bumi, tsunami atau banjir besar. Rakaman yang tular tersebut menunjukkan gegaran sudah mengkucar-kacirkan barisan jemaah yang bersolat namun ada yang masih meneruskan solat.

Terbit di fikiran, bagaimana pula Rasulullah SAW dan para sahabat menguruskan keadaan seumpama itu terutama ketika perang dan juga diancam musuh. Adakah boleh memberhentikan solat dan apa pula hukumnya?

Hukum Membatalkan Solat

Pada asasnya, seseorang yang sedang bersolat tidak dibenarkan untuk memberhentikan solat tanpa sebab yang kukuh di sisi syarak. Perkara ini berdasarkan dalil dari firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!” – (Surah Muhammad 47:33)

Namun dalam solat sunat, hukumnya tidak seberat solat wajib. Secara asasnya, lebih utama untuk tidak memberhentikan solat tanpa sebarang sebab. Namun di dalam Mazhab Syafie, keringanan diberikan untuk menghentikan solat sunat walaupun tanpa sebab dan keperluan.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis daripada Ummu Hani’ R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat itu merupakan pemegang amanah buat dirinya sendiri. Sekiranya dia mahu, dia boleh meneruskan puasa dan sekiranya dia mahu, dia boleh untuk berbuka.

Daripada dalil di atas, diqiyaskan pula kepada ibadah puasa solat sunat dan kebenaran untuk menghentikan solat walaupun tidak ada sebarang sebab.

Ancaman Bahaya Dalam Solat Seperti Ular Dan Kala Jengking

Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW berbunyi:

اقْتُلُوا الأَسْوَدَيْنِ فِي الصَّلاَةِ الْحَيَّةَ وَالْعَقْرَبَ

Maksudnya: “Bunuhlah kamu dua yang hitam di dalam solat iaitu ular dan kala jengking” – (Riwayat Abu Daud – no.921)

Imam Syams al-Haq Al-Azhim al-Abaadi Rahimahullah telah mensyarahkan hadis ini dan memetik kata-kata Imam Al-Khattabi Rahimahullah iaitu:

“Pada hadis ini terdapatnya dilalah (petunjuk) ke atas keharusan melakukan perbuatan yang sedikit di dalam solat. Dan muwalat (melakukan perbuatan berturut-turut sebanyak dua kali dalam keadaan yang satu tidaklah merosakkan solat” – Rujuk ‘Aun al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, Al-Azhim Abaadi.

Bermakna, jika binatang berbahaya itu boleh dibunuh tanpa perlu bergerak banyak, maka ia tidak membatalkan solat. Menurut Pihak Mufti Wilayah Persekutuan pula, hadis di atas juga memberi makna bahawa dibolehkan untuk memberhentikan solat untuk membunuh binatang berbahaya tersebut. Kemudian, bolehlah memulakan semula solat seperti biasa.

Berhenti Solat Untuk Menyelamatkan Diri Sendiri Dan Orang Lain Daripada Bahaya

Di dalam kitab Al Iqna’ dan Syarhnya pula ada disebutkan bahawa jika ada bahaya yang sedang menimpa seorang Muslim atau kafir contohnya lemas atau terbakar, maka orang yang solat tersebut perlu memberhentikan solat sama ada sunat atau wajib untuk menyelamatkan mereka daripada bahaya.

Berdasarkan kaedah fiqh, kita perlu untuk menimbang tara antara kebaikan (maslahah) dan keburukan (mafsadah). Suatu maslahah lebih perlu diutamakan berbanding keburukan. Untuk situasi ini, Imam Izzuddin al-Izz Ibn Abd Al-Salam ada menyebutkan berkenaan isu membatalkan solat.

Kata beliau: Didahulukan proses menyelamatkan manusia yang tenggelam berbanding melaksanakan solat. Ini kerana, menyelamatkan manusia yang terpelihara nyawa dan hartanya adalah lebih afdhal di sisi Allah berbanding mendirikan solat. Dan menghimpunkan antara dua maslahah itu boleh terjadi iaitu dengan cara dia menyelamatkan mangsa yang tenggelam terlebih dahulu kemudian dia menggantikan (qadha) semula solatnya – (Lihat Qawaid Al-Ihkam, Izzuddin Ibn Abd Al-Salam (1/95).

Tambahan pula, solat wajib termasuk dalam solat Wajib Muwassa’ (waktu yang longgar) yang boleh dilakukan dalam tempoh yang agak panjang – contohnya solat Isyak dan Zohor yang waktunya lebih panjang. Maka seseorang yang bersolat boleh menilai secara bijak antara keperluan yang lebih mendesak.

Memilih Untuk Meneruskan Solat Walau Dalam Keadaan Bahaya

Sekalipun ada kelonggaran yang diberikan dalam isu menghentikan solat, namun ada juga perbahasan lain iaitu dengan memilih ‘azimah, iaitu hukum asal bagi ibadah tersebut.

Dr. Abd al-Karim Zaidan Rahimahullah menyebutkan: Boleh jadi berpegang dengan ‘azimah adalah lebih utama meskipun bersamanya keharusan untuk mengambil rukhsah (keringanan yang dibenarkan).

Contohnya jika seseorang diancam untuk dicederakan atau dibunuh, maka dia dibolehkan untuk mengungkapkan lafaz kufur tetapi hatinya masih beriman. Tetapi berpegang dengan ‘azimah (iaitu tidak mengucapkan lafaz kufur) adalah lebih utama kerana perbuatan tersebut boleh menzahirkan kemegahan kepada agama, dalam masa yang sama dapat menimbulkan rasa gerun dalam hati musuh, dapat melemahkan jiwa mereka dan menguatkan keimanan seseorang.

Maka dalam hal berkaitan solat, dapatlah disimpulkan bahawa adanya pilihan sama ada untuk memberhentikan solat atau meneruskan solat dalam keadaan bahaya. Hukumnya dapat diringkaskan seperti di bawah:

1. Membatalkan solat fardhu tanpa sebarang sebab adalah haram.

2. Membatalkan solat fardhu sekiranya ada kemudharatan dan keuzuran yang diambil kira oleh syarak adalah dibolehkan.

3. Membatalkan solat sunat tanpa sebarang sebab adalah dibolehkan, namun yang lebih utama adalah meneruskannya.

Kesimpulan

Solat adalah ritual agama yang mudah namun punyai aturan dan adab yang perlu dipelihara – bermula dari saat mengambil wuduk hinggalah ke salam yang terakhir. Namun hatta dalam urusan solat, Islam masih memberikan kelonggaran untuk memilih dan mengutamakan nyawa dan keselamatan diri. Islam tidak memberatkan kita melebihi apa yang kita tidak mampu.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami