Hukum

Hukum Mengecas Telefon Bimbit Di Masjid

Oleh Natirah Azira  •  9 Jul 2020  •  2 min baca

Masjid adalah tempat untuk beribadah bagi semua umat Islam. Ia bukan hanya dikunjungi oleh kariah masjid di tempat itu sahaja, malah menjadi tempat persinggahan untuk mereka yang musafir untuk singgah berehat dan menunaikan solat.

Namun, ada keadaan di mana kemudahan palam (plug) di masjid turut digunakan untuk mengecas gajet persendirian. Adakah perkara ini dibolehkan dan apakah hukumnya?

Umumnya, harta yang dimiliki oleh masjid adalah bersifat wakaf hasil daripada sumbangan umat Islam. Justeru, apa-apa harta milik masjid termasuk penggunaan elektrik hendaklah berdasarkan niat pewakaf.

Memetik pendapat bekas Mufti Mesir, Dr Ali Jum’ah seperti yang telah ditulis dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa; secara fiqahnya, setiap perkara yang diwakafkan di masjid seperti karpet, lampu, kipas, air dan lain-lain tidak harus digunakan kecuali untuk keperluan masjid.

Malah Rasulullah SAW turut menitikberatkan setiap perkara yang dikhususkan untuk masjid. Baginda SAW bersabda:

إِنَّ الْحَصَاةَ لَتُنَاشِدُ الَّذِي يُخْرِجُهَا مِنَ الْمَسْجِدِ

“Sesungguhnya anak-anak batu itu benar-benar berseru (agar tidak dikeluarkan) kepada orang yang mengeluarkannya dari masjid.” (Hadis riwayat Abu Daud, no. 460)

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan pula berpendapat bahawa mengecas gajet persendirian atau komputer riba di masjid hukumnya harus jika untuk tujuan yang baik dan berfaedah. Contohnya membaca Al-Quran, menonton pengajian agama atau terdesak menghubungi ahli keluarga.

Sebaliknya jika tujuan untuk perkara yang sia-sia dan melalaikan seperti menonton cerita dan melihat hiburan, ia tidak diharuskan kerana bertentangan dengan matlamat asal maslahah harta masjid.

Lebih baik lagi, apabila sudah menggunakan harta masjid, berilah sedikit sumbangan ke tabung masjid supaya manfaatnya dapat dipulangkan kembali kepada masjid untuk kegunaan masyarakat umum.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami