Hukum, Ibadah

Hukum Mengangkat Jari Telunjuk Ketika Solat

Oleh Fizah Lee  •  10 Jun 2020  •  3 min baca

Dalam solat, terdapat satu rukun yang wajib dilaksanakan sebelum selesai solat, iaitu membaca tahiyyat akhir. Ia dibaca dengan bacaan yang telah dikhususkan berserta selawat ke atas Baginda SAW.

Dalam bacaan tahiyyat akhir ini, terdapat satu sunat yang boleh dilakukan menurut pendapat mazhab Syafi’e, iaitu mengangkat jari telunjuk.

Jumhur ulama berbeza pendapat berkenan amalan ini dan bila waktu yang tepat untuk mengangkat jari telunjuk.

#1 – Mazhab Syafi’e

Jari telunjuk hendaklah diangkat ketika melafazkan ‘illallah’ tanpa menggerakkannya.

#2 – Mazhab Hanafi

Mengangkat jari telunjuk ketika melafazkan penafian, iaitu pada perkataan ‘laa’ dan menurunkannya kembali ketika melafazkan ‘illallah’

#3 – Mazhab Maliki

Menggerakkannya ke kiri dan kanan sehingga selesai solat. Dalam sebuah hadis oleh An-Nasai ada menyebut bahawa, Baginda SAW pernah mengangkat jari dan menggerak-gerakkannya ketika melafazkan lafaz-lafaz doa dalam tahiyyat akhir.

#4 – Mazhab Hanbali

Mengangkatnya ketika menyebut ismu jalalah (nama Allah).

Bila Waktu Yang Tepat Untuk Mengangkat Jari Telunjuk

Apabila kita melihat kepada pendapat empat mazhab di atas, dapat kita faham bahawa perbuatan mengangkat jari telunjuk dalam tahiyyat adalah sunat hukumnya.

Namun, menjadi persoalan utama ialah, pada kalimat mana yang sesuai untuk mengangkatnya? Menurut beberapa dalil, ada disebut tentang perlakuan Baginda berkenaan ini. Antaranya ialah melalui Abdullah bin Umar RA;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَعَدَ يَدْعُو وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ وَوَضَعَ إِبْهَامَهُ عَلَى إِصْبَعِهِ الْوُسْطَى وَيُلْقِمُ كَفَّهُ الْيُسْرَى رُكْبَتَهُ

Maksud: “Sesungguhnya, Baginda apabila duduk tasyahud, Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan dan tapak tangan kiri di atas peha kiri sambil mengangkat jari telunjuk dalam keadaan ibu jari diletakkan di atas jari tengah, manakala tapak tangan kiri Baginda pula menutup bahagian lutut.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 597)

Menurut Mazhab Syafi’e, ia hendaklah diangkat ketika mengucapkan lafaz إلا الله sewaktu tasyahhud. Sebahagian daripada mazhab Syafi’e lagi menyebut bahawa, ia perlu diangkat ketika sampai kepada lafaz ‘asyhadu an laa ilaaha illallah’. Ini adalah berdasarkan dalil daripada riwayat Ibnu Majah.

Berkenaan bila ia perlu diturunkan atau adakah perlu kekal dalam keadaan diangkat, terdapat juga beberapa pandangan daripada ulama.

Imam Sulaiman al-Jamal dan Imam al-Bujairimi berpendapat, kedudukan jari tersebut perlulah kekal sehinggalah ia bangun dari tahiyyat awal atau memberi salam tahiyyat akhir.

Dalam pendapat lain menyebut bahawa ia perlu diturunkan ketika selesai menyebut ‘illallah’.

Sebenarnya, tujuan mengangkat jari telunjuk ini adalah untuk membuktikan ketauhidan kepada Allah dengan sepenuh hati.

Ia diangkat apabila sampai kepada lafaz syahadah yang menunjukkan bukti penyembahan hamba kepadaNya.

Kesimpulan

Apabila melihat kepada pendapat-pendapat yang dikeluarkan oleh jumhur ulama, sunat hukumnya untuk mengangkat jari telunjuk apabila sampai kepada lafaz syahadah yang dimulai dengan ‘asyahadu’.

Jari tersebut disunatkan juga untuk terus kekal sehingga selesai membaca tasyahud awal atau tasyahud akhir.

Terdapat satu lagi perkara sunat yang ditekankan, iaitu pandangan mata perlulah ke arah jari telunjuk tadi semasa mengungkapkan lafaz syahadah tersebut dan kembali kepada pandangan sejadah apabila selesai syahadah.

Hukum perbuatan ini adalah sunat. Maka, tidak menjadi permasalahan jika anda terlupa melakukannya atau wujud kekangan lain yang menghalang seperti tiada jari telunjuk atau keadaan jari yang sakit.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami