Ibadah

Hukum Memegang Dan Membaca Al-Quran Daripada Mushaf Atau Telefon Pintar Ketika Solat

Oleh Natirah Azira  •  29 Apr 2020  •  3 min baca

Situasi imam membaca ayat Al-Quran daripada mushaf yang dilihat ketika solat bukan suatu pemandangan yang asing di masjid-masjid. Biasanya Al-Quran akan diletakkan di hadapan imam dengan menggunakan ‘stand’ yang tingginya separas dengan imam ketika berdiri. Ada pula yang memaparkan ayat Al-Quran pada skrin besar supaya lebih mudah dilihat.

Suasana ini biasa dapat kita lihat di masjid-masjid di musim Ramadan kerana Solat Terawih akan dilakukan setiap malam.

Apabila solat berjemaah didirikan, akan ada keperluan untuk para imam membaca surah-surah-surah tambahan dalam solat. Justeru, cara ini dibuat bagi mengelakkan imam daripada terlupa bacaan serta membantu imam mengetuai solat dengan lebih lancar.

Adakah hal ini mempunyai dasarnya?

Solat Dengan Melihat Dan Membaca Daripada Mushaf Al-Quran

Keadaan ini sebenarnya pernah dilalui oleh Saidatina Aisyah pada suatu ketika. Saat itu beliau bersolat diimami seorang hamba miliknya bernama Zakwan yang telah dimerdekakan dan Zakwan ketika itu telah membaca ayat Al-Quran dalam keadaan melihat mushaf ketika solat pada bulan Ramadan.

Imam Nawawi menyebutkan dalam Kitab Majmu’ Syarah Al-Muhazzab di bawah tajuk khusus berkenaan solat dalam keadaan membaca dan melihat Mushaf. Ringkasan keterangan beliau adalah seperti berikut.

“Seseorang yang membaca dan melihat Mushaf ketika dalam solat – maka solatnya tidak terbatal. Bahkan jika dia tidak menghafal Surah Al-Fatihah, maka dia wajib melihat Mushaf. Dia juga boleh membalik-balikkan muka surat yang dibaca dengan syarat tidak melakukan pergerakan yang besar tiga kali berturut-turut.”

Kata beliau lagi: “Dan perkara melihat Al-Quran pada mushaf tidak membatalkan solat ia adalah mazhab kami dan begitu juga mazhab Imam Malik, Imam Abi Yusuf, Imam Muhammad dan Imam Ahmad.”

Imam az-Zuhri Rahimahullah pernah ditanya mengenai lelaki yang membaca al-Quran dengan melihat mushaf di dalam solat, lalu beliau menjawab: “Mereka yang terpilih dan terbaik dari kalangan kami membaca al-Quran dengan melihat mushaf ketika dalam solat di bulan Ramadan” [Rujuk Mathalib Uli an-Nuha Syarh Ghayat al-Muntaha (1/484)]

Walau bagaimanapun, ada juga pendapat daripada mazhab lain yang mengatakan hal tersebut boleh membatalkan solat (pendapat dalam Mazhab Abu Hanifah). Manakala bagi Mazhab Imam Malik pula membezakan hukum: Makruh bagi solat fardhu dan harus bagi solat sunat.

Bagaimana Pula Jika Membaca Ayat Al-Quran Pada Mushaf Quran/Telefon Pintar Yang Dipegang Ketika Solat

Kita sedia maklum bahawa pada Ramadan kali ini, Solat Terawih dilakukan di rumah sahaja. Jadi sudah pasti ada yang menjadi imam bagi seisi keluarga. Masalah yang mungkin timbul adalah imam tidak menghafal ayat-ayat Al-Quran untuk dibaca pada setiap rakaat.

Justeru dalam keadaan ini, imam boleh membaca ayat Al-Quran daripada Mushaf Quran atau telefon pintar yang dipegang ketika solat. Hal ini dibenarkan kerana adanya keperluan iaitu bagi memudahkan dia mengetuai solat dengan lebih baik. Jika tidak ada keperluan maka hukumnya makruh.

Sama halnya bagi makmum, adalah lebih baik untuk memberi fokus mendengar bacaan imam berbanding membaca sendiri daripada mushaf atau telefon pintar.

Hal ini disandarkan kepada pendapat oleh Pihak Mufti Wilayah Persekutuan yang mengatakan bahawa harus hukumnya melihat dan membaca Al-Quran daripada mushaf atau telefon pintar dalam solat fardhu mahupun solat sunat jika ada keperluan. Jika tidak ada keperluan maka hukumnya makruh.

Walau bagaimanapun jika dilihat daripada sisi lain, inilah masa yang paling baik untuk kita mula mendalami Al-Quran serta menghafal serba sedikit surah-surah pendek yang boleh juga dibaca saat solat sendirian. Sungguhpun membaca surah selain Al-Fatihah adalah sunat namun ia dapat menjadikan solat berjemaah itu lebih baik.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami