Hukum

Hukum Bermain ‘Filter Keranda’ – Ini Jawapan PU Azman

Oleh Fizah Lee  •  22 Apr 2020  •  4 min baca

Sekarang, tular di media sosial mengenai kumpulan ‘The Dance Coffin’ yang menunjukkan sekumpulan lelaki menari sambil mengusung keranda dengan pemakaian sut lengkap. Kumpulan ini dikatakan berasal daripada Ghana.

Kumpulan yang terdiri daripada enam orang lelaki berkulit hitam itu sebenarnya merupakan penari yang dibayar oleh ahli waris ketika berlakunya kematian.

Pengasas kumpulan ini, Benjamin Aidoo berkata tarian kematian itu telah diwujudkan sejak 10 tahun yang lalu dan tujuannya adalah untuk menghiburkan ahli waris yang ditinggalkan agar tidak meratapi kematian.

Ia bukanlah tradisi atau adat di sana, namun lebih kepada trend baru yang dicipta dalam kalangan masyarakat untuk menghilangkan ketakutan dan kesedihan masyarakat terhadap kematian.

Dikatakan bahawa Benjamin Aidoo telah memiliki seramai 100 orang pekerja yang menjadi ahli kumpulan ‘The Dancing Coffin’ secara professional. Rata-rata pelanggannya ialah dari kalangan penganut Kristian.

Selain daripada tujuan utama untuk menghiburkan masyarakat, beliau juga turut memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat bagi membantu golongan yang tidak mempunyai pekerjaan.

Bolehkah Bermain Filter Tersebut

Nama ‘The Dancing Coffin’ tidak asing lagi di seluruh dunia termasuklah di negara kita sendiri. Apabila ditatal di media-media sosial, terdapat banyak meme berkenaan kumpulan ini yang dikatakan boleh menjadi bahan lawak kepada pengguna media sosial.

Baru-baru ini juga, ‘The Dance Coffin’ telah dijadikan filter di Instagram dan yang lebih mengejutkan ialah ramai dalam kalangan orang Islam yang menggunakan filter tersebut kerana ia dianggap sesuatu yang menghiburkan.

Namun, adakah perkara sebegini boleh dianggap sebagai bahan lawak kerana wujud beberapa kemusykilan seperti terdapat lambang salib, iaitu lambang agama Kristian dan juga perbuatan menjadikan kematian dan keranda itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.

Menurut seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [En. 1/2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor menyebut:

“Orang Islam adalah diharamkan menggunakan barangan yang mempunyai lambang agama lain seperti salib atau bintang 6 (lambang Yahudi) sekiranya lambang-lambang tersebut dinyatakan secara zahir dan jelas.”

PU Azman, seorang pendakwah bebas telah mengulas berkenaan isu menggunakan filter tersebut dengan menegaskan bahawa hukumnya boleh jatuh haram kerana jelas terdapat lambang salib di atas keranda tersebut. Hal ini juga termasuk dengan akidah umat Islam sendiri.

Seolah-olah kita telah mengagungkan akidah selain daripada Islam. Akidah ialah perkara yang paling penting dan perlu dijaga kerana ia adalah sesuatu yang halus dalam gerakan hati kita.

Ia merupakan perkara asas dalam Islam. Jika terpesong akidah, maka runtuhlah pegangan seseorang itu. Sepanjang penurunan wahyu kepada Baginda SAW, ia difokuskan secara serius terhadap akidah supaya umat Islam selamat dengan pegangan yang diambil untuk dunia dan juga akhirat.

Jika lemah akidahnya, maka umat Islam akan mudah terpesong dengan pengaruh anasir-anasir negatif yang boleh merosakkan gaya hidup seseorang.

Disebabkan itu, perkara akidah ini ialah sesuatu yang perlu diambil berat dan tidak boleh dijadikan bahan senda gurau.

Apabila berbicara soal gurauan, Baginda SAW juga pernah bergurau. Hidup Baginda tidak suram dengan hanya berfokuskan kepada dakwah atau peperangan semata-mata, namun Baginda juga tahu ketawa dan mengusik sahabat-sahabat baginda. Namun, ia dilakukan dengan cara yang betul tanpa melibatkan unsur yang haram dan syubhah serta yang boleh merosakkan akidah.

Maksud: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah dari kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4031)

Sheikh Al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan Al-Munawi dalan ‘Alqami – “Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah berpakaian dengan pakaian mereka, juga menyerupai cara mereka serta menyerupai perlakuan dan perbuatan mereka.” (‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, 9/54)

Al-Imam Al-San’ani juga menyebut – “Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru perbuatan orang fasiq, orang kafir atau bidaah, maka dia adalah dari kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)

Kesimpulan

Justeru, dalam bergurau dan menghiburkan diri sendiri serta orang sekeliling, kita perlu menimbang tara apa yang halal dan haram.

Jangan terlalu mengikut trend sehingga mengabaikan ajaran Islam. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada imej diri sendiri, bahkan imej Islam di mata dunia.

Mengangkat keranda sambil menari itu adalah trend yang diamalkan oleh agama lain. Dalam Islam, kita diajar untuk takutkan kematian dan memikirkan bekalan amalan yang akan dibawa ke alam sana, sama ada sudah mencukupi atau sebaliknya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
BBC News – The Dancing Coffin
PU Azman – Hukum Bermain Filter Keranda


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami