Gaya Hidup

Hodohnya Muka Dia

Oleh Abdullah Bukhari  •  28 Mar 2019  •  4 min baca

“Saya rasa tak guna awak berdandan kerana rupa awak yang hodoh tetap tak akan berubah.”

“Wajah perempuan itu memang pelik! Hidungnya kemek, kulitnya hitam. Semoga anak saya tidak dilahirkan dengan wajah seperti itu.”

Itu antara ‘dialog biadab’ sesetengah manusia yang lupa akan Tuhan. Mereka lupa bahawa tubuh kasar manusia hanyalah sebuah sangkar yang ditumpangi roh sementara hidup di dunia.

Apabila sampai tarikh luputnya, roh tidak lagi dibenarkan menempati tubuh itu, lalu kakulah si tubuh di liang lahad. Wajah cantik pujaan manusia juga akan menjadi makanan sang ulat di dalam tanah.

Tubuh badan hanya barang pinjaman daripada Allah yang menjadi ujian hidup di dunia. Jangan terpesona atau mabuk dipuja puji kerana memiliki sebuah barang pinjaman Allah.

Jika Allah mahu, wajah itu boleh berubah sifat menjadi hodoh ditimpa bencana. Lagak manusia sebegini seumpama seseorang yang tidak sedar diri menggayakan sebuah kereta atau pakaian pinjam. Apabila tuan asalnya mahu, bila-bila masa sahaja ia boleh diambil semula.

Jangan diejek susuk tubuh orang lain kerana cemuhan itu sebenarnya suatu ejekan kepada ciptaan Allah. Lebih tepat lagi, ia adalah celaan kepada Sang Pencipta. Sanggup anda mencela atau menyakiti Allah? Sanggup berhadapan amaran ini?

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا
Sesungguhnya orang yang menyakiti (melakukan perkara yang tidak diredai) Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina Surah al-Ahzab 33:57

Kepelbagaian rupa, bangsa dan fizikal manusia adalah bukti kehebatan Allah:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ
Dan di antara tanda membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berpengetahuan. Surah al-Rum 30:22

Selain itu, perlu ditanam kemas dalam minda bahawa rupa paras manusia seperti sebuah kanvas yang dihasilkan Allah dengan hikmah tertentu. Jika kita ejek rupa seseorang bererti kita mengejek pelukis atau Pencipta-Nya:

هُوَ اللَّهُ الْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Dia lah Allah, Yang Mencipta sekalian makhluk; Yang Mengadakan (daripada tiada kepada ada); *Yang Membentuk rupa (makhluk-Nya menurut kehendak-Nya)*; hanya milik-Nya semua nama yang terbaik dan termulia; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada banding-Nya, lagi Maha Bijaksana. Surah al-Hasyr 59:24

Perkara sama diulang Allah dalam ayat lain:

خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ
Dia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat dan *dia menentukan bentuk rupa kamu* serta memperelokkan rupa kamu; dan kepada-Nyalah tempat kembali. Surah al-Taghabun 64:3

Juga firman-Nya:

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ قَرَارًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَتَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; *dan Dia membentuk (rupa dan fizikal) kamu lalu memperelokkan rupa kamu,* serta dikurniakan kepada kamu daripada benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaan dan kemurahan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam Surah Ghafir 40:64

Apa guna memiliki rupa cantik pujaan manusia jika isi jiwanya hodoh dan busuk bak bangkai. Paras rupa yang tidak menawan akan terserlah cantik jika pemiliknya punyai jiwa yang bersih dan mulia.

Layanlah semua manusia selayaknya tanpa mengira rupa paras atau darjat mereka. Rasulullah S.A.W adalah ikutan terbaik dalam isu ini, ketika orang ramai memandang remeh seorang sahabat miskin tidak berupa yang bernama Julaybib R.A, baginda memuliakannya dengan penuh hormat.

Julaybib memang tidak dikenali atau tidak dipedulikan sesiapa lantaran kemiskinan dan rupanya yang tidak enak dipandang mata. Hadirnya tidak disedari dan perginya tidak dicari.

Dalam sebuah perang, ketika orang ramai gawat mencari tentera yang hilang, tiada siapa pun ingatkan Julaybib. Pun begitu, Rasulullah S.A.W tercari-cari di manakah gerangannya Julaybib.

Akhirnya beliau ditemui gugur syahid bersama 7 orang musuh. Beliau bertempur dengan berani sehingga menumbangkan 7 musuh seorang diri. Melihat keadaannya, Rasulullah S.A.W menampung tubuh Julaybib R.A seraya berkata:

هَذَا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ هَذَا مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ قَالَ فَوَضَعَهُ عَلَى سَاعِدَيْهِ لَيْسَ لَهُ إِلَّا سَاعِدَا النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَحُفِرَ لَهُ وَوُضِعَ فِي قَبْرِهِ وَلَمْ يَذْكُرْ غَسْلًا
“Dia ini (Julaybib) sebahagian daripadaku dan aku juga sebahagian daripadanya (Nabi mengulanginya berkali-kali).” Nabi berterusan memangkunya sehingga beliau dikebumikan tanpa dimandikan (kerana mati syahid)Sahih Muslim dan Musnad Ahmad

Berhati-hatilah wahai manusia cantik dan tampan dalam bicara anda. Boleh jadi insan yang anda pandang lekeh itu memiliki kemuliaan luar biasa di sisi Allah sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رُبَّ أَشْعَثَ مَدْفُوعٍ بِالْأَبْوَابِ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ
(Berhati-hatilah dalam menilai seseorang kerana boleh jadi) seseorang yang kelihatan kusut masai, dihalau di pintu rumah manusia (kerana kekurangan fizikalnya) itu sangat istimewa darjatnya di sisi Allah, yang mana jika dia berdoa kepada Allah akan segera dimakbulkanSahih Muslim

Hidup ini bak roda yang sentiasa berputar. Hari ini anda mungkin mencemuh atau memperlekeh orang lain yang kurang fizikal, pangkat atau hartanya, namun begitu anda tidak tahu Allah mungkin menguji anda dengan ujian yang sama suatu hari nanti.

Oleh itu bersyukurlah dengan nikmat kecantikan kurniaan Allah kerana anda tak akan bertambah cantik pun setelah mengejek orang lain, sebaliknya kecantikan zahir anda akan terpalit lumpur dengan akhlak buruk anda itu.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami