Ibadah

Hidupkan Ramadhan Anda Dengan Mengejar Pahala Menunaikan Solat Tarawih

Oleh Anas  •  27 May 2017  •  2 min baca

Solat tarawih adalah solat yang akan membantu kita memperbanyakkan pahala kita di bulan Ramadhan.

Satu-satunya solat sunat yang wujud pada bulan Ramadhan sahaja ialah solat Tarawih. Tarawih bermaksud ‘rehat’. Ini kerana kita akan berehat seketika selepas setiap empat rakaat.

Apabila disebut sebagai solat sunat, ada yang meringankan usaha melakukannya. Maka, malam Ramadhan tidak dihidupkan. Selepas berbuka puasa sekenyang-kenyangnya, tidak larat pula hendak mengerjakan solat tarawih.

Sebenarnya ada dalil yang mensyariatkan solat tarawih iaitu;

“Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala maka diampunkan baginya dosanya yang lalu.”Riwayat Bukhari

Solat tarawih hukumnya sunat muakkad iaitu ibadah yang amat dituntut oleh Islam. Galakan menunaikan solat tarawih diceritakan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa (maksud):

“Rasulullah s.a.w menggalakkan qiam pada malam Ramadhan tetapi tidak mewajbkannya ke atas kami. Sabda Baginda, ‘Sesiapa yang berpuasa dan berqiamullail dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, dia diampunkan segala dosa yang terdahulu.’”Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim

Merujuk kepada hadis di atas, solat sunat tarawih amat digalakkan sebagai langkah menghidupkan malam Ramadhan walaupun ia tidak diwajibkan.

Dari hadis ini juga menunjukkan bahawa mereka yang menghidupkan Ramadhan akan diampunkan dosanya. Diampunkan dosa tentulah ganjaran terbesar bagi umat Islam. Sesiapa pun mahu dosa mereka diampunkan oleh Allah s.w.t.

Anda juga mungkin pernah ternampak atau terdengar mengenai fadilat solat tarawih yang berbeza pada setiap malam Ramadhan.

Siapa yang solat tarawih pada malam pertama akan diampunkan dosa seperti bayi baru lahir, malam kedua diampunkan dosanya dan kedua ibu bapanya, dan seterusnya sehinggalah pada malam terakhir Ramadhan.

Hadis ini diriwayatkan oleh Sayidina Ali bin Abu Talib r.a. Walaupun begitu, hadis ini sebenarnya tidaklah dapat dipastikan kesahihannya. Malah ia tidak ditemui dalam mana-mana Sahih Muslim, Sahih Bukhari, Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah dan kitab hadis muktabar yang lain.

Jadi, cukuplah kita berpegang kepada hadis sahih mengenai dosa yang diampunkan sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini di atas.

Apa yang penting ialah kita ikhlas melakukannya kerana Allah dengan sepenuh pengharapan. Keikhlasan ini jugalah yang akan membentuk jiwa dan memelihara diri kita daripada perbuatan-perbuatan yang berdosa.

Ada solat tarawih dilakukan sebanyak 8 rakaat dan di tempat lain pula sebanyak 20 rakaat. Maka, timbul pula perbalahan sedangkan semua bilangan itu dilakukan generasi awal Islam.

Tiada yang berdosa dan tiada pula yang menyalahi Sunnah apa lagi tuduh-menuduh di antara satu dengan yang lain. Janganlah kerana bilangan rakaat solat sunat, kita umat Islam pula berpecah-belah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami