Inspirasi

Hidup Seorang Pemabuk Yang Berubah Hanya Kerana Sepotong Hadis

Oleh Natirah Azira  •  7 Feb 2019  •  2 min baca

Hidayah boleh menyentuh hati melalui banyak cara. Ada orang yang berubah kerana mendengar alunan suci ayat Al-Quran seperti Imam Fudhail bin Iyadh. Ada pula yang berubah kerana mendengar sepotong hadis seperti yang terjadi kepada pemuda yang suka minum arak yang bernama Abdullah bin Maslamah al-Qa’nabi.

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah pernah menulis di dalam kitabnya At-Tawwabin, mengenai kisah lelaki ini.

Pada suatu hari ketika Abdullah dan rakan-rakannya sedang minum arak di suatu jalan, ada segerombolan orang ramai yang lalu. Mereka mengerumuni seseorang yang sedang menaiki keldai. Abdullah tertanya-tanya siapakah yang sedang dikerumuni orang ramai. Dia lalu mendekati dan bertanya.

“Siapakah itu?”

“Ini Imam yang sangat terkenal”

“Siapakah nama Imam ini?”

“Ini Imam Syu’bah bin Hajjaj”

“Apa yang dia lakukan?”

Orang ramai menjawab bahawa dia adalah seorang muhaddith.

“Siapakah itu muhaddith?”

“Muhaddith ialah orang yang meriwayatkan hadis-hadis, menghafal dan mengajarkan hadis kepada orang ramai”

Lalu Abdullah mendekati Imam tersebut lalu berkata, “Jika kamu seorang muhaddith, maka beritahu aku satu hadis”

Apabila Imam Syu’bah melihatnya keadaan dirinya, beliau lalu meriwayatkan sepotong hadis yang berbunyi;

“Jika kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu mahu”

Sebaik sahaja Abdullah mendengar hadis tersebut, botol arak yang dipegang terlepas daripada genggamannya.

Beliau pulang ke rumah dan menangis selama beberapa hari mengenangkan hadis yang didengari dan hidup yang telah dia jalani.

Suatu ketika dia memberitahu ibunya bahawa dia ingin mempelajari hadis. Beliau ingin menjadi muhaddith seperti Imam Syu’bah.

Hasil nasihat orang ramai, beliau akhirnya berhijrah ke Madinah dan berguru daripada Imam Malik dan akhirnya menjadi salah seorang anak murid Imam Malik yang paling besar.

Hidayah akan mendatangi hati-hati yang cenderung kepada kebaikan. Dalam cerita ini, meskipun Abdullah seorang pemuda yang melakukan kesalahan dengan minum arak, namun hatinya cenderung kepada kebaikan.

Dia meminta daripada Imam Syu’bah agar dibacakan sepotong hadis untuknya. Hatinya tidak sombong daripada ingin mendengar pesanan dan nasihat. Hasilnya Allah semakin mendekatkan dirinya ke arah kebaikan – berhijrah menemui Imam Malik untuk mempelajari hadis.

Kita manusia biasa – tidak sempurna. Ada sahaja khilaf dan kesilapan yang kita lakukan setiap masa. Walau siapa pun kita, dan apa pun keadaan hidup yang kita jalani, semoga kita tidak menutup mata, telinga dan hati daripada mendengar peringatan-peringatan daripada Allah.

Sumber: TheProphetsPath


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami