Inspirasi

Hatib : Hijrahnya Kerana Apa?

Oleh Marina  •  24 Jul 2017  •  2 min baca

Di suatu penempatan sekitar Mekah terdapat seorang wanita rupawan bernama Ummi Qais. Dirinya menjadi rebutan para pemuda waktu itu, termasuklah Hatib. Cintanya terhadap gadis itu amat mendalam. Pelbagai cara dan usaha dilakukannya semata-mata untuk memenangi gadis idamannya itu. Jika boleh, dia mahu memiliki Ummi Qais dan tidak rela jika gadis itu terlepas ke tangan orang lain.

Lalu, suatu hari Hatib bersama beberapa orang rombongannya datang ke tempat Ummi Qais untuk meminangnya. Akan tetapi, pinangan Hatib terhadap Ummi Qais itu ditolak oleh wanita itu dan ternyata selama ini Hatib hanyalah bertepuk sebelah tangan sahaja.

Ketika itu, keadaan persekitaran Mekah sedikit menggusarkan. Ini kerana kaum Musyrikin Mekah tidak henti-henti menyeksa kaum Muslimin di situ, sehingga turunnya perintah Allah SWT untuk memindahkan mereka ke Madinah.

Perpindahan dari kota Mekah ke kota Madinah itu juga turut disertai oleh Ummi Qais. Hatib yang mendapat tahu khabar tersebut teramat sedih kerana wanita pujaannya itu semakin jauh dari dirinya. Walau bagaimanapun, cintanya masih tetap mekar terhadap Ummi Qais sekalipun pinangannya pernah ditolak oleh wanita itu.

Setelah berfikir panjang, Hatib pun memutuskan untuk ikut serta berhijrah ke Madinah. Tujuannya, agar dia dapat berada dekat dengan Ummi Qais. Hatib masih menaruh harapan yang cukup tinggi kepada Ummi Qais untuk menerima dirinya sebagai pemimpin keluarga.

Tidak lama setelah itu, khabar dan tujuan penghijrahan Hatib itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW. Lalu, Baginda pun bersabda yang bermaksud,

“Sesungguhnya, setiap amalan itu bergantung kepada niat dan setiap manusia itu akan menerima balasan yang setimpal dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya bersama-sama pahala hijrahnya. Dan, sesiapa yang berhijrah kerana mahu memiliki dunia atau wanita yang dicintainya, hijrahnya itu hanya akan sampai kepada dunia dan wanita itu.”

Kata-kata Baginda ini menjadi perkara pertama dalam susunan ‘Hadis 40’ karangan Imam Nawawi dalam tajuk, ‘Niat’ yang menjelaskan kepada kita bahawasanya setiap amalan mahupun pekerjaan yang hendak kita lakukan itu mestilah dimulakan dengan niat.

Jika niat itu baik, maka baiklah jadinya. Dan, apa-apa jua niat yang baik sekalipun belum dilaksanakan ia sudah dianggap ‘terlaksana’ serta beroleh kiraan di sisi Allah SWT. Oleh itu, niatkanlah yang baik-baik sebelum melaksanakan sesuatu pekerjaan. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami