Keluarga

Hati-Hati Dengan Perkataan Yang Dilontarkan Kepada Anak Anda

Oleh Fizah Lee  •  29 Sep 2019  •  3 min baca

“Kamu kena belajar rajin-rajin, bila besar nanti tak jadi macam pengemis itu.”

Tersentak apabila mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh seorang ibu kepada anaknya yang berumur lebih kurang lima ke enam tahun.

Tanpa sedar, sebenarnya ramai di kalangan kita yang silap aturan mendidik anak-anak dengan perkataan yang keluar daripada mulut sendiri.

Banyak lagi perkataan negatif atau tidak sesuai diujarkan oleh ibu bapa kepada anak-anak, terutamanya mereka yang baru memasuki alam kanak-kanak.

Otak mereka adalah seperti span, mampu menyerap apa sahaja perbuatan atau perkataan yang berada di sekeliling.

Pakar kesihatan dan perkembangan kanak-kanak juga banyak menyebut bahawa, pada usia ini sesuai diajarkan ilmu atau kemahiran kerana ia merupakan peringkat mereka boleh menyerap apa sahaja.

Menulis, membaca, mengenal alam dan sains serta banyak lagi boleh diajar kepada mereka bagi membantu tumbesaran otak dan minda agar sel-sel mereka mampu berhubung dengan baik.

Bukan setakat pemikiran, malah dari sudut kesihatan dan pemakanan juga perlu dimulakan pada peringkat ini untuk membentuk tumbesaran yang baik.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah ibu bapa yang mengabaikan peringkat ini dan membiarkan anak-anak mereka sendiri tanpa pantauan dan jagaan yang rapi.

Malah, tanpa sedar ibu bapa turut melakukan kesilapan yang mungkin dianggap kecil, namun besar impaknya kepada mereka. Mungkin tidak dilihat sekarang namun suatu hari nanti ia akan menunjukkan kesan yang mendalam.

Berkata-Kata Yang Positif

Siapa sahaja yang tidak suka akan kata-kata yang positif dan penuh dengan kasih-sayang. Setiap orang, walaupun melakukan kesalahan, namun pasti mengharapkan teguran dalam bentuk kata-kata yang baik, bukannya makian.

Begitu juga anak kecil yang masih belajar dan tidak tahu apa-apa, hanya mengharapkan belas ihsan dan tunjuk ajar daripada sekeliling.

Jika apa yang diajar oleh ibu bapa dan orang sekelilingnya baik, maka ia akan membesar menjadi seperti apa yang dididik.

Didiklah anak-anak sesuai dengan peringkat umur dan pembelajaran mereka. Zaman kanak-kanak ialah zaman yang sesuai untuk belajar benda baru, oleh itu jadilah guru yang baik kepada mereka.

Zaman remaja pula zaman yang penuh dengan sifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang lain. Oleh itu, cuba jadi kawan yang terbaik untuk mereka.

Setiap peringkat pembesaran anak-anak merupakan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Walau mereka sudah meningkat dewasa, namun selagi ibu bapa perlu mendidik, maka ia adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kerana tugas mendidik ini tidak akan pernah selesai.

“Kalau kamu belajar rajin-rajin, nanti apabila besar kamu boleh tolong pak cik pengemis itu.”

“Tak apa goreng ikan hangus. Rasa dah sedap sikit, nanti kita goreng lagi elok.”

Banyak lagi teguran yang boleh diberikan dalam bentuk kata-kata yang membina untuk membantu pemikiran anak-anak anda sebagai seorang yang positif.

Yang paling penting, berhati-hati dalam berkata-kata, bimbang ia akan menjadikan anak anda seorang yang cepat lemah semangat atau banyak berfikir positif.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami