Gaya Hidup

Bijaklah Dalam Berkawan

Oleh Zulfikar Egar  •  3 Feb 2020  •  3 min baca

Betapa Islam itu meliputi seluruh aspek kehidupan, hatta dalam bab berkawan pun ada ditekankan soal ini. Di mana kita dinasihati oleh agama agar mengelak daripada berkawan dengan kawan yang melekakan kita. Rasulullah SAW bersabda:

“Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap”. Riwayat Bukhari

Bukan sekadar itu sahaja, sahabat dan kawan yang melekakan kita juga perlu cuba dielakkan dari berkawan.

Bukan putus sahabat, itu tidak boleh, berdosa. Tetapi cuba renggangkan sedikit hubungan kita dengan mereka yang bersifat demikian. Kata Ustaz Dr. Kamilin Jamilin yang boleh kita jadikan nasihat dan pedoman dalam berkawan ini;

Carilah sahabat-sahabat dan kawan-kawan soleh yang boleh membuatkan kita berdampingan dengan ilmu. Jangan cari kawan-kawan yang melekakan kita.

Jangan cari dan duduk dengan sahabat-sahabat yang menyebabkan kita jauh daripada ilmu. Sebab itu al-Iman as-Syafie Rahimahullah ada menyebutkan dalam bait syairnya;

“Kalaulah aku tidak menjumpai, tidak memiliki sahabat yang membawa aku ke jalan yang yang baik, maka aku bersendirian lebih aku sukai”.

Iman Syafie berkata, beliau lebih suka hidup berseorangan daripada beliau duduk bersama dengan orang yang akan menarik dirinya ke lembah kebinasaan.

Tetapi ini berlainan pula dengan kita pada hari ini. Kita banyak bersama dengan kawan-kawan yang melekakan kita. Apabila bersama dengan mereka, kita tidak bersembang tentang ilmu.

Kita tidak bersembang tentang perkara yang mendekatkan kita dengan ilmu atau yang mendekatkan kita dengan Allah Azza wa Jalla. Kita lebih suka berbicara soal-soal dunia – bola sepak misalnya.

“Semalam MU menang ke kalah? Liverpool menang ke kalah?”

Kita siap berdebat pasukan manakah yang lebih bagus. Berborak sakan mengenai bola sepak dengan begitu lama misalnya. Tiada langsung berbincang tentang ilmu.

Menyebabkan akhirnya kita jauh daripada ilmu. Para ulama’ dahulu, apa yang menguatkan mereka sentiasa ingin belajar adalah mereka sentiasa ada sahabat-sahabat yang mempunyai tujuan yang sama.

Seperti kita mempunyai rakan pergi ke gim misalnya. Kalau bersukan, adakah kita akan bersukan secara bersendirian? Kita akan bosan. Cuba kita main bola seorang sahaja. Kita main bola, kita jaringkan gol sendiri. Tidakkah akan bosan?

Tetapi Allah jadikan kita ini mempunyai kecenderungan mahu berteman. Sebab itu, carilah teman yang mampu membantu untuk dekat dengan ilmu.

Lihat ulama’ zaman dahulu. Al-Imam Ahmad bin Hambal contohnya. Beliau sentiasa bersahabat dengan Yahya bin Muin, seorang ulama’ besar dalam bidang hadis.

Kita lihat pula Abu Hatim. Beliau selalu bersama dengan Abu Zuhrah ar-Razi, sahabat yang bersama dalam menuntut ilmu.

Dan ramai lagi para ulama’ seperti Abu Rani al-Maqdisi, beliau selalu bersama dengan Ibnu Qudamah Al-Hambali, yang mana sahabat yang soleh akan mampu untuk membawa kita lebih dekat dengan ilmu.

Apabila kita bersama dengan sahabat yang soleh – kita akan selalu dapat berbincang serta bertukar pendapat dengannya. Selain itu, kita juga akan mudah mencari kekuatan saat lemah dan tidak bersemangat. Jika sebaliknya, memang kita akan hanyut dan terus leka.

Wallahualam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Zulfikar Egar

Zulfikar Egar

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pembangunan Keusahawanan di Kuala Lumpur Metropolitan University College. Pernah bertugas sebagai Penolong Eksekutif di Pusat Pengajian Islam Yayasan Ta’lim TTDI KL. Kini bertugas di SmartStuday & Consultant Sdn. Bhd. sebagai Eksekutif Jualan SmartStudy.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami