Gaya Hidup

Hasbunallahu Wa Ni’mal Wakil – Kalimah Penyelamat Disaat Genting

Oleh Natirah Azira  •  16 Oct 2019  •  4 min baca

“Hasbunallah wa ni’mal wakil”

Yang bermaksud: “Cukuplah Allah sebagai penolong kami, dan Allah lah sebaik-baik pelindung”

Inilah kata-kata terakhir yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim saat dicampakkan ke dalam api kerana kezaliman seorang pemerintah.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Nabi Ibrahim terselamat kerana kalimah ini.

Kalimah ini juga diucapkan oleh Rasulullah SAW ketika perang Hamra’ Asad, iaitu perang yang terjadi selepas selesainya perang Uhud. Umat Islam telah kalah dalam Perang Uhud, dan dilaporkan bahawa tidak ada satupun ahli pasukan muslimin termasuk Nabi SAW yang tidak terluka.

Perang Uhud selesai menjelang Asar. Setelah jenazah kaum Muslimin dikuburkan, kaum Muslimin pulang semula ke Madinah – ada yang dipikul, dipapah dan sebagainya.

Namun pada malam tersebut, saat Nabi SAW mengimamkan solat Isya’, terlalu sedikit yang datang kerana ramai yang cedera.

Selepas solat Subuh, Nabi SAW menerima wahyu yang baru daripada Allah SWT, agar memanggil semua kaum muslimin yang menyertai Uhud untuk keluar semula berperang keesokan harinya.

Pengumuman dibuat keesokan harinya, iaitu pada hari Ahad, 8 haribulan Syawal, tahun ketiga hijrah. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada yang akan menyertai kita pada hari ini kecuali mereka yang menyertai peperangan Uhud kelmarin”.

Bermaksud orang yang boleh menyertai Perang Hamra’ Al-Asad hanyalah yang telah menyertai Uhud.

Abdullah bin Ubai yang ingin mengikut serta bertanya,

“Boleh aku turut bersamamu Rasulullah”? Jawab baginda: “Tidak”.

Kesemua kaum muslimin menyahut seruan tersebut dengan penuh taat setia walaupun dalam keadaan sakit dan cedera, bahkan ada yang sehingga tidak mampu berjalan dengan biasa dan perlu dibantu.

Mereka menjawab: “Kami menurut perintah Rasulullah penuh taat setia!”. Lalu mereka pun keluar berperang.

Orang Quraish pada waktu itu sedang berehat di tempat bernama Hamra’ Asad. Seorang lelaki bernama Ma’bad bin Abu Ma’bad (yang tanpa mereka ketahui telah menemui Rasulullah dan memeluk Islam) bertemu pasukan Quraish lalu memaklumkan tentang kemaraan pasukan Muslimin. Ma’bad menakut-nakutkan kaum Quraish dengan berkata:

“Sebenarnya Muhammad keluar bersama-sama sahabatnya, memburu kamu dalam satu ketumbukan yang belum pernah ku lihat lagi seperti itu, kelihatan perasaan mereka meluap-luap untuk menuntut bela, ketumbukan ini telah disertai nampaknya oleh mereka yang tidak bersamanya di dalam peperangan Uhud kelmarin, seolah-olah mereka ini ingin menampung balik ketidak hadiran mereka kelmarin”

Akhirnya, kaum Quraish berundur ke Mekah.

Ketika pasukan Muslimin tiba di Hamra’ Asad, mereka juga didatangi dengan utusan daripada kaum Quraish yang bertindak menakut-nakutkan mereka. Dikhabarkan bahawa bilangan kaum Quraish lebih banyak daripada mereka iaitu sebanyak 2000 lebih.

Namun apa yang dijawab oleh Rasulullah SAW dan pasukan MUslimin? Mereka menyebut kalimah penyelamat ini.

“Hasbunallah wani’mal wakil”

“Cukuplah Allah sebagai penolong kami, dan Allah lah sebaik-baik pelindung”

Pasukan Muslimin tetap bertegas untuk bermalam di Hamra’ Asad selama tiga hari, sedangkan pasukan Quraish tidak berani untuk menghadapi pasukan Rasulullah SAW.

Menurut Ustaz Khalid Basalamah, terdapat beberapa hikmah yang terkandung di sebalik peristiwa ini.

Pertama, umat Islam baru sahaja kalah dalam Perang Uhud iaitu perang kedua dalam Islam, maka peristiwa Hamra’ Asad ini dapat kembali meneguhkan hati mereka untuk terus berjuang pada masa hadapan. Semangat mereka kembali hidupsemangat untuk mati syahid

Kedua, jika ditakdirkan bahawa mereka tetap akan berperang menghadapi pasukan Quraish, Allah tetap akan membantu dan memberikan kemenangan kepada mereka. Namun, kerana pasukan Quraish tidak berani menghadapi, maka Allah memberikan kegembiraan dan ketenangan jiwa kepada mereka seolah-olah mereka telah menang.

Ketiga, peristiwa ini mengingatkan kaum Muslimin bahawa target mereka adalah mati syahid. Maka mereka tidak boleh berlengah dalam menyahut seruan daripada Allah dan Rasul.

Di akhirnya, ucapan “hasbunallah wa ni’mal wakil” adalah kalimah yang sangat mujarab dalam apa jua situasi. Sedangkan para Rasul sendiri menyebut kalimah ini di saat ditimpa musibah dan kesusahan, maka ia juga seharusnya menjadi amalan kita umat baginda.

Di saat kesakitan, ucaplah ‘hasbunallahu wa ni’mal wakil’.
Di saat hati berat kerana masalah hidup, ucaplah ‘hasbunallahu wa ni’mal wakil’.
Di saat cita-cita masih belum tercapai, ucaplah ‘hasbunallahu wa ni’mal wakil’.
Di saat keinginan masih belum dipenuhi, ucaplah ‘hasbunallahu wa ni’mal wakil’.

Sebutlah ia dalam apa jua keadaan, sesungguhnya ia menjadi kalimah pergantungan dan penyelamat di saat kita benar-benar memerlukan pertolongan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami