Tokoh

Haji Abdul Rahman Limbong; Ulama Yang Hidupnya Sentiasa Tawaduk

Oleh Marina  •  20 Sep 2017  •  2 min baca

Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong merupakan salah seorang ulama yang cukup warak.

Beliau yang berasal dari keturunan Patani ini semasa hayatnya berjuang menentang penjajah di bumi Terengganu.

Pada usia remaja, beliau banyak menghabiskan masanya dengan menelaah ilmu daripada alim ulama sekitar Terengganu antaranya Tuan Guru Haji Yaakob Paya Bunga, Haji Wan Musa dan Tokku Paloh.

Dalam pembelajaran, beliau dilihat sebagai murid yang cukup pintar, cekap dan luar biasa ingatannya.

Beliau mampu menguasai ilmu mahupun subjek yang diajar oleh para gurunya dalam tempoh yang cukup singkat.

Walaupun begitu, beliau cukup merendah diri dengan kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t ke atasnya.

Beliau tidak suka menonjolkan dirinya bahkan lebih gemar mengulangkaji pelajarannya secara sendirian.

Keistimewaan yang ada pada diri beliau ini membuatkan dirinya disayangi oleh guru terutama Tokku Paloh.

Tuan gurunya, Tokku Paloh amat berharap agar muridnya ini menyambung kepimpinan serta perjuangan yang dilakukannya apabila beliau meninggal dunia kelak.

Ternyata hal tersebut benar-benar berlaku. Haji Abdul Rahman Limbong menjadi pemimpin masyarakat dan rujukan orang ramai setelah Tokku Paloh di sekitar Terengganu dan lain-lain.

Walaupun darjatnya tinggi di mata manusia, namun hal tersebut langsung tidak membuatkan dirinya berbangga apatah lagi untuk riak dengan apa yang dimilikinya.

Bahkan, beliau tetap menjalani kehidupannya dengan penuh sederhana, tawaduk dan merendah diri dengan semua orang tidak mengira usia.

Beliau amat mengasihi anak-anak kecil, anak-anak yatim serta orang miskin. Sebagai pemimpin masyarakat, beliau akan memastikan nasib golongan yang susah akan terbela.

Sekalipun pada siang harinya, beliau sibuk berurusan dengan masyarakat sekeliling, ibadahnya kepada Allah s.w.t di tengah-tengah malam juga tidak ditinggalkan.

Menjadi pemimpin tertinggi dalam kalangan masyarakat sudah pasti keinginan untuk bermewah dan bersenang lenang ada.

Namun, hal tersebut tidak berlaku kepada Haji Abdul Rahman Limbong. Kebendaan bukanlah menjadi matlamat dalam hidupnya.

Kehidupan yang mewah dengan sendirinya akan menyebabkan penghuninya menjadi leka dan lalai dengan dunia jika tidak dikawal dengan landasan iman.

Begitulah serba sedikit gambaran keperibadian dan kehidupan yang dijalani oleh Haji Abdul Rahman Limbong yang cukup terkenal sekitar tahun 1920-an.

Beliau adalah penentang penjajah Inggeris di bumi Terengganu suatu ketika dahulu. Mudah-mudahan, ada sesuatu yang boleh kita contohi daripada ulama tersohor ini. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami