Keluarga

Hadiah Buat Sarah Yang Setia Bersama Ibrahim

Oleh Abdullah Bukhari  •  2 Dec 2017  •  5 min baca

Sungguh lama! Bukan sehari, bukan setahun, bukan sepuluh tahun, tetapi puluhan tahun sehingga meniti usia tua. Itulah tempoh kesetiaan Sarah bersama nabi Ibrahim AS.

Alhamdulillah, kesetiaan yang seumur hidup ini diganjari anugerah terbesar yang diimpikan semua wanita solehah kepada suaminya iaitu rahim yang mengandungkan zuriat si suami.

Zuriat ini pula bukan sebarangan, anak ini yang bakal menjadi bapa kepada “ratusan nabi Bani Isra’il.” Bagaimana kita tahu beliau setia bersama Ibrahim sehingga usia tua? Allah memuji beliau dalam kisah ini:

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”. (Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: “Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)”. Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan. (Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: “aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?” Mereka berkata: “Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui”Surah al-Dhariyat Ayat 24-30

Frasa “aku sudah tua, lagi mandul” diulang sekali lagi oleh Allah dalam ayat lain. Cuma kali ini ditambah “suamiku juga sangat tua”:

Isterinya berkata: “Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak “padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua?” Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan”. Malaikat-malaikat itu berkata: “Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya” Surah Hud Ayat 72-73

Soalan yang bagus untuk ditanya, mengapa disebut tua? Dalam kisah lain pula disebut ketika nabi Ibrahim A.S berhadapan kaumnya baginda “masih muda.” Lihat firman Allah ini:

Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya. (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: “Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim”. (Setengah dari) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya” Surah al-Anbiya’ Ayat 58-60

Setelah bertindak keras memusnahkan berhala kaumnya ketika masih muda, Nabi Ibrahim A.S dibakar dan diusir keluar dari negerinya:

(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua) mereka berkata: “Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu”. Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). Dan Nabi Ibrahim pula berkata: “aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar) Surah al-Saffat Ayat 97-99

Nabi Ibrahim A.S sangat tabah, baginda sanggup meninggalkan tanah air dan keluarga yang rosak akibat rasukan syaitan berhala. Ketabahan baginda bersama “pengikutnya” diabadikan al-Quran bagi menjadi suri ikutan untuk kita semua:

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan “Nabi Ibrahim A.s dan para pengikutnya – contoh ikutan yang baik”, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata” Surah al-Mumtahanah Ayat 4

Para pengikutnya dalam ayat ini merujuk kepada para nabi yang sezaman baginda atau para nabi dari zuriat baginda yang membawa misi Tawhid yang sama (Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir).

Tapi menurut segelintir para ulama Tafsir, yang bersama Ibrahim ketika baginda diusir keluar hanya isterinya Sarah dan anak saudaranya Lut A.S. Ringkasnya, Sarah adalah wanita yang setia beriman kepada nabi Ibrahim sejak “mereka muda” lagi.

Kesetiaan semenjak muda seperti ini jugalah menjadi sebab dalamnya cinta Rasulullah SAW kepada Khadijah RA. Kasih baginda kepada kesetiaan Khadijah R.A mengundang cemburu sayang Aishah AS:

Aisyah R.A berkata Rasulullah S.A.W selalu memuji Khadijah sehingga mengundang cemburu sayang padaku, lalu aku berkata kepada baginda S.A.W: Alangkah kerapnya engkau menyebut perihal wanita tua itu (Khadijah). Ketahuilah bahawa Allah sudah menggantikan kehilangannya (Khadijah) dengan isteri yang lebih baik darinya. Rasulullah S.A.W berkata: “sungguh dia itu tiada ganti.” Dia beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika semua orang mendustaiku, dia membantuku dengan hartanya ketika manusia menghalangku dan Allah menganugerahkan padaku semua anaknya ketika wanita lain tidak memberikanku anak Musnad Ahmad

Subhanallah! Rupanya Sarah yang menjadi teman setia kepada Datuk kita semua Nabi Ibrahim A.S sebenarnya tidak kurang hebat berbanding Khadijah R.A.

Jangan pula ada yang emosi menyempitkan ”setia bermaksud tidak berpoligami.” Nabi Ibrahim A.S dan Rasulullah S.A.W setia dalam poligami. Pun begitu, poligami mereka tetap dibimbing agama bukan nafsu semata.

Jadilah insan soleh dan setia kepada Allah dan Islam seperti mereka, semoga kesetiaan bersama pasangan menjadi sebab untuk kita semua bersatu bersama keluarga para nabi di akhirat kelak. Insya Allah!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami