Ibadah

Gunung Atau Lalat?

Oleh Natirah Azira  •  15 Oct 2018  •  3 min baca

Dari Rasulullah SAW baginda bersabda; Sesungguhnya seorang Mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di kaki sebuah gunung, dia khuatir gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orang yang durhaka melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dia mengusirnya dengan tangannya –begini-, maka lalat itu terbang.[HR. Tirmidzi, No: 2497) Status: Hadis Sahih

Orang Mukmin Melihat Dosanya Seperti Berada Di Kaki Gunung

Seorang Mukmin tidak akan memandang remeh kepada dosa yang dilakukan. Mereka sentiasa menghisab diri dan memandang dosa yang dilakukan (walaupun kecil) seolah-olah seperti gunung yang akan menghempapnya pada bila-bila masa.

Mereka bimbang kemurkaan Allah akan menimpa mereka kerana mereka percaya dan yakin bahawa Allah sentiasa melihat dan memerhati apa yang mereka lakukan.

Seorang penyair mengungkapkan makna ini dalam bait syairnya (dinukil oleh Imam Ibnu Hibban al-Busti dalam kitab “Raudhatul ‘uqala’):

“Jika suatu hari kamu sedang sendirian maka janganlah kamu berkata:
Aku sendirian, akan tetapi katakanlah: ada (Allah) yang Maha Mengawasiku

Dan janganlah sekali-kali kamu menyangka bahwa Dia akan lalai sesaatpun
Dan (jangan mengira) sesuatu yang tersembunyi akan luput dari (pengawasan)-Nya”

Orang Yang Durhaka (Pelaku Maksiat) Memandang Dosanya Seperti Lalat

Manakala orang yang durhaka hanya memandang dosanya seperti lalat yang hinggap di atas hidung, bahkan mengusirnya hanya dengan tangan. Mereka tidak berasa bersalah kerana telah terbiasa melakukan dosa.

Syaitan lantas melakukan tipu daya, membisikkan ke hati mereka bahawa segala perbuatan yang mereka lakukan terlihat elok pada pandangan mereka.

“..Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu…”(An-Nahl, 16:63)

Hati Yang Bercahaya Dapat Menilai Dosa Dan Pahala

Daripada an-Nawwas bin Sim‘an al-Ansari RA, beliau berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebaikan dan dosa.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kebaikan adalah akhlak yang baik. Manakala dosa adalah sesuatu yang membuat hati gementar dan bimbang serta kamu tidak suka orang lain mengetahuinya.” (HR Muslim, No: 2553) Status: Hadis Sahih

Hati Mukmin sebenarnya dapat menilai apa yang dilakukan itu dosa atau pahala. Dosa adalah suatu yang dapat membuatkan hati gementar dan tidak tenang. Apabila mendapat ‘signal’ daripada hati, mereka akan terus menjauhkan diri dari dosa.

Ibnu Abi Jamrah rahimahullah berkata, “Rasa bimbang dan takut dengan dosa sebabnya adalah, kerana hati seorang Mukmin itu diberi cahaya. Apabila dia melihat pada dirinya ada sesuatu yang membimbangkan hatinya yang diberi cahaya, maka hal itu menjadi berat baginya [Tuhfatul Ahwadzi, no. 2497]

Namun sebenarnya orang yang durhaka tidak akan selamanya berada dalam dosa. Mereka boleh keluar dari keadaan tersebut jika bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhai Allah. Tidak ada yang lebih pemaaf melainkan Allah SWT.

Sama juga bagi Mukmin yang taat, jika mereka tidak berhati-hati menjaga niat dan amalan, mereka juga boleh terjerumus ke dalam kancah kedurhakaan. Semoga Allah memelihara kita semua.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami