Gaya Hidup

Golongan ‘Aku Lebih Baik Daripadanya’ Dipaparkan Dalam Drama Nur

Oleh Fatin Amira  •  8 Jul 2018  •  4 min baca

Dalam banyak kritikan yang dilemparkan terhadap drama Melayu masa kini kerana menyajikan banyak elemen cintan-cintun, akhirnya ada satu drama berkualiti disiarkan.

Saya kira drama rantaian Melayu, Nur adalah satu pencapaian membanggakan industri hiburan saat ini. Ia adalah perkembangan positif bagi drama Melayu yang selama ini dikecam kerana menampilkan jalan cerita sama.

Bahkan, yang mengejutkan, golongan ustaz-ustazah muda pun layan cerita yang sedang trending ini. Mungkin disebabkan cerita ini sarat dengan pengajaran, baik kepada golongan agama mahupun sebaliknya.

Justeru ia mendapat tempat di hati penonton. Sudah terlalu banyak komentar di media sosial, dari segi pengajaran, watak dan sebagainya mengenai drama Nur.

Namun, saya ingin menyentuh sedikit berkenaan golongan ‘Ana Khairun Minhu’ yang dipaparkan dalam drama ini.

‘Ana Khairun Minhu’ sebenarnya satu penyakit yang tidak sihat timbul dalam diri seseorang. Bukan hanya yang jahil, bahkan yang punya ilmu agama tinggi pun boleh terjebak. ‘Ana Khairun Minhu’ bermaksud ‘Aku Lebih Baik Daripadanya’.

Ingatkah sejarah iblis dihalau keluar daripada syurga? Ya, kerana kalimat itulah iblis yang dulunya taat menjadi derhaka, apabila disuruh Allah SWT supaya menyembah Adam.

Iblis laknatullah menolak untuk menyembah Adam kerana ia beranggapan dirinya lebih baik daripada Adam yang diciptakan daripada tanah.

Itu saya sedari dalam drama Nur, yang memaparkan sisi golongan yang merasakan ‘Ana Khairun Minhu’. Hakikatnya, ini betul-betul terjadi dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Dalam drama Nur, saya dapati penyakit ‘Aku Lebih Baik’ itu ada dalam beberapa watak lakonan. Antaranya watak siak yang ditugaskan menjaga masjid Haji Mukhsin. Sangat jelas tok siak masjid yang bergelar haji itu ada penyakit tersebut dalam dirinya.

Semua penonton boleh melihat bagaimana dia menghalau Nur daripada masjid kerana berasakan seorang pelacur tidak layak ke rumah Allah. Kedatangan Nur ke masjid hanya mengotorkan rumah ibadah Allah katanya.

Selain watak tersebut, peranan Aisyah lakonan Norkhiriah juga ada unsur-unsur seperti itu. Aisyah terlalu bangga dengan keturunan keluarganya yang Islamik.

Bahkan dia terlalu mencari salah Nur yang baginya golongan pendosa, sampaikan tidak nampak salah sendiri. Hanya kerana Nur dan mak nya berasal dari lorong, dia semahunya menghina mereka dengan sumpah seranah. Tenggelam lah peribadinya sebagai wanita muslimah.

Lebih buruk apabila dia memandang sebelah mata perlakuan maksiat suaminya. Baginya reputasi keluarga mereka cukup tinggi, dan perkahwinan Adam dengan Nur tidak boleh diterima.

Tidak hanya itu, mak Adam, Hajah Musalmah juga bersependapat dengan anaknya Aisyah. Dia menentang habis-habisan keputusan Adam untuk mengahwini Nur sehingga sanggup meletakkan anaknya dalam kederhakaan.

Malahan Hajah Musalmah berfikiran tidak sepatutnya keturunan mereka dicemarkan dengan keturunan ahli pendosa. Hatta, Nur hendak berjumpa emaknya terus dihalang, dan diungkit kisah buruk Nur.

Watak paling kontroversi dalam drama ini tentulah watak Hamadi yang ditonjolkan sebagai ustaz walau pada hakikatnya dia bukan ustaz. Walaupun ustaz Hamadi sedar akan perbuatan rakusnya, namun dia tetap menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain.

Apatah lagi dia menjadi menantu ustaz terkenal dan memegang jawatan tinggi di Darul Mukhsin. Warden di Darul Mukhsin juga dipandang rendah olehnya.

Datin Orkid juga ada sisi sebegitu dalam dirinya. Walaupun suami dan anaknya dapat menerima pilihan Adam yang mengahwini Nur, tetapi Datin Orkid tidak. Tarafnya sebagai orang kaya dan terhormat membuatkannya payah untuk menerima tindakan Adam.

Umumnya, terlalu banyak watak parasit di sebalik topeng agama dan kebaikan dalam drama Nur ini. Jelas, taraf kedudukan dan darjat ilmu keagamaan menjadikan mereka berasa lebih baik daripada orang lain.

Betapa bahayanya penyakit ‘Aku Lebih Baik’ ini. Orang yang berasakan dirinya adalah lebih baik daripada orang lain ada sifat kesombongan dan riyak dalam diri.

Apa yang dipaparkan dalam drama Nur juga adalah garis realistik masyarakat. Dalam berjuta kebaikan yang dilakukan ada satu sifat negatif itu terus menghapuskan kebaikan lain.

Tanpa sedar, golongan sebegini telah menjatuhkan martabat mereka sendiri dengan hinaan kepada orang yang mereka anggap hina.

Ada satu dialog dilontarkan oleh oleh Cik Mona emak Nur, yang boleh kita renungkan;

“Bukan tugas orang macam kita nak menghukum dan melabel orang. Tapi diaorang, ya. Melabel dan menghukum orang-orang macam kita ni.”

Nah, rupanya itu anggapan orang yang dipandang jijik dan hina oleh masyarakat terhadap golongan agamawan. Hanya kerana persepsi segelintir golongan agamawan terhadap ahli pendosa, dengan dakwaan ‘Aku Lebih Baik’ telah menjauhkan pendosa terhadap ahli agama.

Malah kerana rasa itulah golongan ahli maksiat tidak punya kekuatan untuk berubah walaupun di sudut hati ada keinginan. Yang jelas, sikap ‘Aku Lebih Baik Daripada Dia’ telah menjadi benteng antara kumpulan maksiat dan ahli ilmu.

Syabas dan tahniah kepada pengarah drama Nur, atas garapan yang padu. Refleksi diri kita apakah ada sifat sebegitu dalam diri.

Semoga apa yang dipaparkan dalam drama ini menjadi renungan buat ahli agama bahawa ‘Lastu Khairun Minhu’ (aku bukanlah lebih baik daripada dia). Dan buat golongan pendosa, tidak semua ahli agama dan masyarakat setempat yang pandang jijik pada mereka.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fatin Amira

Berasal daripada Kelantan. Merupakan graduan Bahasa Arab dan Komunikasi USIM. Berpeluang menimba pengalaman di PTS Media Group di Jabatan Editorial. Pencinta buku dan suka menulis serta sukakan alam sekitar. Menulis dengan gaya versatil, agar lebih ramai golongan mendapat manfaat.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami