Gaya Hidup, Hukum

Garis Panduan Dan Hukum Yang Anda Perlu Tahu Tentang ‘Main Kutu’

Oleh Natirah Azira  •  14 Jul 2019  •  3 min baca

Aktiviti ‘main kutu’ bukanlah hal yang asing di telinga kita. Ia biasanya dilakukan oleh sekelompok orang yang sama-sama bersetuju untuk membayar wang secara berkala dalam suatu tempoh masa. Kemudian hasil pengumpulan wang tersebut akan diberikan kepada individu yang terlibat bermain kutu secara bergilir setiap bulan melalui sistem undian.

Prof Dr. Azman Mohd Noor di dalam tulisan beliau berkata bahawa budaya bermain kutu bukan hanya ada dalam masyarakat Melayu, tetapi ia juga diamalkan oleh bangsa asing. Ia diamalkan oleh sebahagian masyarakat Islam khasnya wanita di Timur Tengah (dipanggil Jumu’iyyah). Di Afrika pula ia dipanggil ‘Adashi’ dan di Malaysia ia dipanggil ‘main kutu’.

Duit yang diperoleh melalui hasil kutu ini sebenarnya bersifat pinjaman dan juga hutang. Seseorang individu akan mendapat sejumlah wang yang banyak secara lebih awal atau ‘in advance’. Ia dilakukan dengan tujuan untuk menabung dengan lebih cepat atau wang yang terkumpul boleh digunakan dahulu untuk keperluan individu.

Hukum Main Kutu Dalam Islam

Hukum bermain kutu pada asasnya adalah harus. Ia mengambil contoh daripada amalan berhutang daripada harta wakaf yang dihukumkan harus menurut Mazhab Maliki.

Mengikut keterangan daripada Pihak Mufti Wilayah Persekutuan, kaedah ‘bermain kutu’ ini dapat difahami seperti berikut:

“Mazhab Maliki membenarkan tindakan mewaqafkan duit dalam tempoh tertentu daripada dana waqaf. Dana waqaf menyediakan khidmat pinjaman hutang kepada ahli atau sesiapa yang memerlukan. Dalam konteks permainan kutu pula, duit yang dikumpul setiap bulan oleh ahli kutu seolah-olah adalah duit simpanan yang diberi pinjam kepada ahli secara bergilir-gilir”

Aktiviti ini juga diharuskan berdasarkan kaedah di bawah:

أسلفني وأسلفك

Maksudnya: “Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak” (Mawahibul Jalil, Al-Hattab, 4/395)

Menurut mazhab Maliki, konsep ini dianggap makruh apabila ia memberikan manfaat kepada pemberi hutang lalu ia haram, tetapi jika manfaat diperolehi oleh peminjam, hukumnya harus. Tetapi dalam hal ini kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata.

Tambahan pula, persepakatan dalam pinjaman berbalas dengan jumlah dan tempoh sama ini tidak terkandung di dalamnya sebarang zalim kepada mana-mana pihak. (Qadhaya Fiqhiyyah Mu’asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 231).

Justeru ia diharuskan. Walaupun begitu, konteks undang-undang juga perlu dipertimbangkan.

Undang-undang negara kita telah memperuntukkan dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang kutu 1971 bahawa perniagaan wang kutu adalah salah di sisi undang-undang. Menurut Akta 28 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, ia ditafsirkan sebagai:

“Kumpulan wang kutu” ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.”

Akta ini melarang mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 (atau dahulunya Akta Syarikat 1965) atau perniagaan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menjalankan aktiviti perniagaan berbentuk skim wang kutu.

Jika didapati bersalah, pihak yang menganjurkan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Adapun aktiviti ‘main kutu’ atau skim kutu tradisional tidak termasuk dalam akta ini kerana ia hanya mengumpul sejumlah wang dan mengembalikannya semula kepada ahli mengikut giliran yang ditetapkan.

Penganjurannya juga lebih bertujuan memudahkan urusan harian serta dekat dengan semangat kemasyarakatan dalam kalangan jiran tetangga, saudara mara, sahabat handai atau rakan sekerja.

Kesimpulannya, aktiviti ‘main kutu’ ini dibenarkan selagi ia dijalankan secara telus tanpa sebarang unsur riba, penipuan atau kezaliman. Melihat juga banyak kes kecurian dan penipuan yang berlaku pada masa sekarang, mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti ini juga sebaiknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengenali dengan betul ahli kumpulan serta membuat perjanjian bertulis untuk sebarang tindakan pada masa hadapan.

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami