Inspirasi

Gambaran Orang Sombong Di Akhirat Seperti Semut Bermuka Manusia

Oleh Natirah Azira  •  18 Sep 2019  •  4 min baca

Apa Itu Kesombongan?

Dalam Bahasa Arab, ia disebut sebagai takabbur yang berasal daripada perkataan Kibr – iaitu melihat diri sendiri lebih daripada orang lain.

Ia boleh berlaku dalam apa jua perkara, sesingkat beberapa saat sahaja. Contohnya apabila lalu di hadapan pengemis di jalanan, tiba-tiba kita merasakan lebih baik daripada mereka kerana kita berusaha dan mereka tidak berusaha mengubah hidup. Ya semudah itu, sesingkat lintasan hati.

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang” (Surah Al-Isra 17:37)

Rasulullah SAW juga menjelaskan hakikat kesombongan dalam hadis baginda:

الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia” (HR. Muslim, no. 2749, dari ‘Abdullah bin Mas’ûd)

Luqman Al-Hakim, seorang lelaki bijaksana yang namanya disebutkan dalam Al-Quran, turut menasihati anaknya supaya tidak berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong dan memandang rendah kepada manusia lain.

Perlakuan takabbur, sombong dan memandang rendah kepada orang lain disebut dengan jelas dalam Al-Quran, bagi menunjukkan betapa pentingnya untuk memelihara akhlak yang baik. Ia bertepatan dengan salah satu tujuan Rasulullah SAW diutuskan iaitu untuk mengajar manusia tentang akhlak dan menyempurnakan akhlak yang baik.

Gambaran Orang Sombong Di Akhirat

Di akhirat kelak, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa orang yang sombong akan dikumpulkan bukan dalam bentuk yang asal namun seperti semut bermuka manusia. Bukan itu sahaja, kehinaan meliputinya dari pelbagai arah, malah diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka.

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya dari nabi SAW bersabda: “Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal.” (HR Tirmidzi, no. 2416 – Status Hadis Hasan)

Ngeri bukan apabila mendengar pembalasan yang disediakan buat mereka yang sombong. Jika tidak berat akibat dari kesombongan, pasti iblis tidak akan dihukum keluar dari syurga hanya kerana tidak mahu tunduk dan sujud kepada Adam AS. Iblis bukan membunuh malaikat yang lain, Iblis bukan melakukan kekacauan, kesalahannya hanyalah ‘sombong’ dan bongkak.

Negeri Akhirat Buat Mereka Yang Tidak Sombong

Bercakap tentang agama Islam, ramai yang keliru dan hanya membicarakan tentang hukuman dan akibat apabila tidak melakukan solat, tidak menunaikan zakat dan hal-hal yang dirasakan besar, sedangkan akhlak dan sikap juga tidak boleh dipandang ringan.

Sekalipun sempurna segala amal, namun jika akhlaknya buruk, tetap ia menjadi pertimbangan dalam amalan dan nasib di akhirat kelak.

Allah mengatakan dengan jelas bahawa nikmat-nikmat yang disediakan di akhirat kelak hanyalah disediakan bagi orang yang baik akhlaknya, orang yang tidak mengejar dunia, orang yang tidak sombong, orang yang tidak melakukan kezaliman dan kerosakan. Kesemua perkara ini merupakan ciri orang yang bertakwa.

“Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan (menyombongkan diri) di muka bumi dan tidak hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa” (Surah Al-Qasas 28:83)

Bagaimana Jika Pernah Sombong

Ada pula yang bertanya, bagaimana jika diri pernah berlaku sombong kepada orang lain. Jawapan yang paling mudah dan ringkas, adalah beristighfar dan memohon ampun kepada Allah. Jika kesombongan yang ada bukan setakat lintasan hati, tetapi hingga kepada perbuatan menghina dan merendahkan orang lain, maka mintalah kemaafan daripada orang tersebut.

Kalimah istighfar ada untuk orang-orang yang silap dan melakukan dosa. Allah tahu bahawa manusia hakikatnya makhluk yang sentiasa lalai, lupa dan kerap melakukan kesilapan. Kita hanya hamba yang turut memerlukan Allah dalam setiap perkara, untuk bernafas, untuk makan, untuk mendapatkan rezeki, maka kesombongan kita tidak ke mana.

Setiap kali terdetik rasa lebih daripada orang lain, ingatkan kembali diri sendiri bahawa kita hanya dilebihkan oleh Allah dalam sebahagian perkara, malah ia pinjaman dan bukan perkara yang berkekalan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami