Inspirasi

Fitnah Harta Bukan Menimpa Hanya Orang Kaya

Oleh Natirah Azira  •  19 Sep 2019  •  4 min baca

Fitnah membawa maksud cubaan dan ujian terhadap sesuatu. Salah satu fitnah yang banyak menimpa manusia adalah ujian terhadap harta. Fitnah ini bukan hanya dihadapi oleh orang yang berharta, punya rumah besar dan kereta mewah sahaja namun termasuklah orang yang menganggap diri mereka sebagai golongan ‘marhaen’ atau orang yang biasa-biasa.

Jika dilihat dalam drama-drama di kaca TV pula, banyak cerita tentang perebutan harta yang dipaparkan. Ia bukan cerita rekaan yang ada di kaca TV sahaja. Malah cerita tentang perebutan harta, bergaduh sesama ahli keluarga kerana harta yang ditinggalkan oleh ahli keluarga yang telah meninggal dunia pasti pernah meniti gegendang telinga kita. Itu belum masuk kisah tipu menipu, tikam belakang antara rakan kongsi dalam perniagaan dan sebagainya.

Kesemua hal ini adalah ujian dan fitnah harta yang mungkin tidak kita sedari. Allah menyebutkan bahawa beruntunglah orang yang terlepas dari fitnah harta dan sifat tamak haloba. Berhati-hatilah dengan ujian-ujian harta yang akan disebutkan seterusnya:

#1- Menjadi Seorang Yang Sentiasa Tidak Puas Dengan Harta Yang Ada

Diceritakan bahawa Hakim bin Hizam adalah seorang yang suka meminta-minta. Maka pada suatu hari Rasulullah SAW berkata kepada Hakim, setelah tiga kali Hakim datang meminta,

“Wahai Hakim, sesungguhnya harta di dunia ini memang indah dan manis, barangsiapa yang mengambil harta di dunia ini dengan hati yang lapang iaitu tidak bercampur dengan sifat ketamakan, nescaya akan dilimpahkan keberkatan dalam hartanya itu tetapi barang siapa yang mengambil harta dunia dengan ketamakan, pasti tidak ada keberkatan dalam harta yang diperolehi itu.

Orang seperti itu ibarat orang yang makan tetapi tidak pernah kenyang. Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah iaitu orang yang menerima pemberian tersebut” (HR Al-Bukhari)

#2- Menjadi Seorang Yang Kedekut Dan Tidak Suka Bersedekah

Allah menyebutkan bahawa manusia dijadikan dengan tabiat rasa resah dan gelisah serta bakhil dan kedekut. Jika dia diberikan harta dan kesenangan maka dia menjadi sangat bakhil kedekut. (Surah Al-Ma’arij 70:21)

Ada yang pernah berkata, tidak mungkin seseorang itu akan menjadi kedekut jika dia sudah menjadi kaya. Dia boleh menyedekahkan hartanya kepada sesiapa dengan mudah kerana dia telah mempunyai lebihan harta. Namun tanpa benar-benar muhasabah diri, sifat tamak dan kedekut ini akan bermula sedikit demi sedikit sehingga kita langsung tidak menyedarinya.

Ada orang apabila susah, mudah sahaja meminjam wang, namun setelah mempunyai harta sangat liat untuk membayar semula hutang yang telah dipinjam.

#3- Boleh Memutuskan Ikatan Persaudaraan

Ujian ketiga yang menimpa manusia berkenaan harta ialah boleh menimbulkan kekacauan dan permusuhan.

Dari Jabir bin Abdillah, bahawa Nabi SAW bersabda,

وَاتَّقُوا الشُّحَّ فَإِنَّ الشُّحَّ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ حَمَلَهُمْ عَلَى أَنْ سَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ

“Peliharalah dirimu dari sifat kedekut, kerana sifat kedekut telah membinasakan orang-orang sebelum kamu. Sifat itu telah menyuruh mereka memutuskan persaudaraan, maka mereka pun memutuskan persaudaraan. Sifat itu telah menyebabkan mereka saling membunuh dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan (HR Muslim no, no. 6741) (Lihat Majmû Rasâ`il Ibnu Rajab, Syarh Hadîts Mâ Dzi`bâni Jâ`I’âni, Hal. 65 – 69)

#4- Rasa Bakhil Akan Melahirkan Kemarahan Dan Kebencian Sesama Sendiri

“(Tabiat kamu wahai manusia) jika Tuhan meminta kepada kamu harta benda kamu serta mendesak kamu memberikanNya, nescaya kamu akan berlaku bakhil kedekut, dan kebakhilan itu akan melahirkan kemarahan dan kebencian kamu” (Surah Muhammad 47:37)

Sifat alami manusia, kita merasakan bahawa apa yang kita ada adalah milik kita. Dan kita tidak suka apabila sesuatu perkara diambil daripada kita – tidak kiralah harta, ahli keluarga yang kita sayang, haiwan peliharaan, kenderaan, tempat tinggal dan sebagainya.

Justeru, kita perlu sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa kehidupan di dunia hanyalah ujian. Apa yang kita ada hanyalah pinjaman daripada Allah yang berhak Allah ambil pada bila-bila masa. Gunakan harta sekadar kecukupan diri dan keluarga kemudian jika ada lebihan, salurkanlah semula kepada orang lain yang memerlukan. Semoga ia menjadi nilai tambah pahala buat diri kita di akhirat kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami