Inspirasi, Keluarga

Filem Crawl – Peranan Ibu Bapa Dalam Pembentukan Minda Anak-Anak

Oleh Fieyzah Lee  •  22 Jul 2019  •  5 min baca

Sedari kecil, kita diajar untuk tidak mudah putus asa dan menyerah kalah dengan setiap ujian kecil mahupun besar yang melanda.

Kita ambil satu contoh – semasa kita diajar untuk bertatih, kita tidak kenal erti putus asa. Itulah ujian terawal yang melanda diri kita. Tanpa putus asa, akhirnya kita berjaya melangkah sehingga ke hari ini.

Ujian demi ujian yang melanda mengakibatkan kita semakin hari semakin kuat. Pemikiran semakin matang dan ia mengakibatkan kita mampu belajar dari pengalaman.

Itulah yang dimaksudkan dengan pengalaman sebagai ibu kepada kehidupan. Tanpa ujian, warna hidup kita tidak akan lengkap. Bayangkan, pelangi yang hanya ada satu warna pasti kelihatan sunyi dan tidak menarik untuk dipandang.

Begitu juga kehidupan. Jika yang ada hanyalah kegembiraan, kejayaan dan senyuman, manusia pasti tidak belajar erti bangkit dari kegagalan, erti mengharap dan bergantung kepada pencipta serta tidak mudah mengalah.

Melalui filem ini, kita dapat melihat watak utamanya yang tidak terdetik erti mengalah walau sedikit pun demi meneruskan kelangsungan hidupnya dan meneyelamatkan ayahnya.

Sinopsis filem ini mengisahkan mengenai seorang gadis yang memegang watak sebagai Haley telah terperangkap bersama bapanya, Dave di bawah rumah semasa dia berusaha untuk menyelamatkan ayahnya apabila ribut taufan ketegori kelima telah melanda kawasan perumahan itu.

Jalan cerita semakin mencemaskan apabila buaya-buaya besar telah terlepas dari kawasan jagaan rumah mereka dan telah menjadi ancaman kepada mereka berdua.

Penulis melihat watak utamanya yang telah dilakonkan oleh Kaya Scodelario mempunyai perwatakan yang sangat kental dan tidak mudah mengalah serta pandai menyembunyikan emosinya yang tersendiri.

#1 – Sokonglah Anak Anda

Babak paling menarik ialah apabila kita dapat melihat kedua-dua beranak ini mempunyai ikatan yang sangat kuat dan saling menyokong antara satu sama lain.

Untuk menjadikan diri anda sebagai seorang ibu dan bapa yang bertanggungjawab dan tidak mengabaikan anak-anak, anda perlu sentiasa menunjukkan kasih sayang dan mengambil tahu setiap perkembangan mereka.

Tunjukkan keprihatinan anda agar mereka tidak berasa keseorangan, baik dalam situasi gembira, meraikan kejayaan mahupun dalam setiap kesedihan yang dialami.

Saya pernah mendengar kata-kata yang diujarkan oleh seorang pakar motivasi melalui ceramahnya yang berbunyi – “Anak-anak yang mendapat perhatian dan kasih sayang yang cukup daripada ibu bapa serta keluarga mempunyai kecenderungan yang rendah untuk menghadapi tekanan berbanding dengan mereka yang diabaikan terutamanya mereka yang masih remaja.”

Mereka diibaratkan sebagai kain putih. Ibu bapa yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya sama ada dengan satu, dua atau banyak warna dan corak.

Dengan sokongan dan kasih sayang itulah sebenarnya yang menjadikan siapa mereka di masa hadapan. Penulis melihat watak Haley merupakan seorang yang keras kepala dan tahu untuk mencapai matlamatnya yang ada.

Ia adalah berbalik kepada ajaran yang telah diberikan oleh ayahnya sejak kecil dengan menanamkan sikap tersebut ke dalam mindanya.

Di sini, kita dapat lihat pentingnya peranan ibu bapa dalam pendidikan dari segi mental dan fizikal mereka. Besar rupanya peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak terutamanya dari sudut mental ditambah pula dengan cabaran pada masa kini yang sangat mencabar dan memerlukan mereka mempunyai ketahanan minda yang sangat kuat.

Didikan yang paling penting terhadap mereka adalah dengan memasukkan elemen islam dalam pembentukan rohani. Apabila aspek Islam diabaikan, mereka akan membesar tanpa kecintaan dan keimanan yang kukuh terhadap agama.

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Mafhum: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, 17:31)

Belajarlah cara untuk mendidik dan menjadi ibu bapa yang baik dengan melihat teladan dan contoh yang ditunjukkan melalui kisah Luqman dan anaknya. Justeru, anda akan berjaya memahami apa itu tugas menjadi ibu bapa dan pendidik yang sebenar.

#2 – Larangan Berputus Asa

Penulis tertarik untuk menghuraikan sedikit mengenai salah satu tema yang dibawakan melalui jalan cerita ini, iaitu pantang menyerah sebelum kalah.

Bayangkan jika kita berada dalam situasi bahaya dan genting ibarat telur di hujung tanduk, apa yang akan kita lakukan? – Adakah kita akan meneruskan kehidupan dengan biasa atau menyerah sahaja dengan takdir tuhan tanpa memikirkan solusi atau berusaha membaiki kehidupan?

Semangat kental yang ditonjolkan oleh kedua-dua watak utama dalam filem ini bagi meloloskan diri daripada segerombolan buaya membuatkan penonton terpaku dengan usaha mereka sehingga ke akhirnya.

Walaupun pada awalnya dilihat sudah tiada harapan buat watak-watak dalam filem tersebut, namun kita dapat lihat pengakhiran yang dibawa cukup berbeza.

Ia sekali gus mampu memberi harapan buat sesiapa sahaja yang menonton agar tidak mudah menyerah dengan apa jua ujian yang melanda, sama ada kecil atau besar, ia adalah sesuatu yang ditakdirkan tuhan untuk melihat sejauh mana usaha kita menanganinya.

Penulis tertarik melihat beberapa kisah di sekeliling kita yang mampu memberikan seribu satu inspirasi dalam menangani kehidupan yang penuh liku dan cabaran.

Ada yang diberi ujian dengan menghidap penyakit barah tahap 4 tetapi masih mampu mencari rezeki untuk ahli keluarganya, ada yang dilahirkan dengan cacat anggota badan namun masih mampu menjadi pakar motivasi, ada yang mempunyai anak yang menghidap autisme tetapi masih kuat dan tabah untuk mengukir senyum serta berbagai lagi kisah yang dikongsikan dan mampu memberi kesan yang mendalam kepada diri.

Hidup ini, jika kita reda dan yakin dengan takdir yang tuhan berikan serta tidak larut dalam kesedihan dan pemikiran yang negatif, pasti ia akan-baik-baik sahaja.

Allah tidak akan membebani sesuatu di luar kemampuan hambaNya. Allah Maha Mengetahui setiap yang ada di hati dan jiwa hamba-hambaNya. Disebabkan itulah Allah memberi ujian berdasarkan batas dan kemampuan diri sendiri.

Yang paling penting, jangan menganggap ujian itu tanda Allah benci atau marah, tapi anggaplah ia sebagai rahmat. Ia merupakan bungkusan dan hadiah dariNya sebagai tanda Dia masih ingat pada setiap jiwa yang diciptaNya.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengamoun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar, 39:53)

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami