Inspirasi

Fenomena El Nino Mengajar Kita 7 Perkara Tentang Kehidupan

Oleh Nur Ismalina Haris  •  12 Apr 2016  •  4 min baca

Petang itu, segerombolan awan berarak maju. Guruh pula berdentum di langit.

“Lamanya tidak kedengaran bunyi itu.”

Desus hatiku.

Semakin lama, langit semakin kelam. Kami terus tetap berdoa, agar sang hujan singgah membasahi bumi ini.

Mula-mula awan agak berat mahu melepaskan titisan hujannya, seperti sekadar memberi ‘salam’ dan hanya menjengah. Akhirnya awan pasrah terhadap kehendak Allah. Sepertimana Allah telah berfirman:

“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia mengkehendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ” Jadilah engkau! “. Maka ia terus menjadi.” Surah Yaa Siin, Ayat 82

Maka turunlah hujan rahmat dengan selebatnya.

“MasyaAllah, wanginya bau hujan.”

Bisik hati tanda kegembiraan.

Allah memakbulkan doa hambaNya, setelah lebih 40 hari bumi ini ketandusan. Hati ini terasa syahdu melihat titisan air hujan berderai di cermin tingkap. Mulut tidak berhenti memanjatkan kesyukuran kepada Allah.

Diri mula berfikir tentang fenomena El Nino ini. Pasti ada sesuatu yang Allah mahu kita ambil tahu dan tidak Dia, Maha Suci Allah menjadikan sesuatu itu hanya sekadar suka-suka.

Hujan

Manusia yang melakukan kerosakkan

Allah memberi peringatan bahawa kitalah penyebab terhadap kerosakkan itu, contohnya melakukan aktiviti yang tidak terkawal seperti pembalakan haram dan pembakaran terbuka.

Begitu juga dengan aktiviti yang melampaui batas Islam di mana kita boleh mengambil contoh dengan melihat budaya hedonisme yang semakin menular di kalangan anak remaja kita.

Sesungguhnya Allah telah berfirman:

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syuura, Ayat 30

Allah Maha Berkuasa melakukan sesuatu atas kehendakNya

Kejadian siang dan malam menunjukkan bukti Kekuasaan Allah. Begitu juga dengan fenomena El Nino mahupun La Nina. Dia Ya Baari yang mengaturkan semua ini di mana ianya menjangkaui tahap pengetahuan kita sebagai manusia yang lemah.

Sabar mengharungi dugaanNya

Tidak dinafikan, fenomena panas melampau ini memang sangat menguji tahap kesabaran kita sebagai ibu, sebagai bapa, sebagai pelajar, sebagai anak juga sebagai pekerja yang terpaksa melakukan aktiviti di luar.

Bagi seorang yang beriman,ujian seperti ini mampu meningkatkan lagi tahap kesabarannya kerana dia pasti dan yakin dengan janji Allah bahawa akan datang pertolongan Allah dan berita gembira buat orang yang sabar.

Bersangka baik kepada Allah

Selama lebih 40 hari kita bergelumang dengan fenomena kepanasan melampau dunia. Selama itu jugalah doa demi doa dan solat istisqa’ kita lakukan khusus untuk memohon hujan rahmat daripada Allah. Tetapi, hujan tetap juga tidak mahu turun dan panas semakin berpanjangan hingga kedengaran terbakar sana sini.

Ingatlah, jangan pernah bersangka buruk kenapa Allah lambat menjawab doa kita kerana setiap kejadian itu pasti ada hikmahnya. Hanya Allah yang Maha Tahu. Kita sebagai manusia, diwajibkan untuk terus bersabar, berdoa, istiqamah dan bertawakal kepada Allah.

Jangan pernah putus beristiqfar

Bencana yang Allah kirimkan ini mengajar kita untuk sentiasa beristiqfar. Kita juga diwajibkan memohon keampunan daripada Allah kerana ujian yang diturunkan adalah melibatkan semua pihak.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri beristiqfar melebihi 70 kali sehari, inikan pula kita manusia yang tidak maksum. Lazimi lidah kita dengan sentiasa beristiqfar.

Jangan letih berdoa

Allah menguji kita dengan melihat kesungguhan kita berdoa. Allah tidak menolak doa hambaNya, tetapi Dia lebih Maha Tahu waktu dan masa yang sesuai untuk mengabulkan doa tersebut.

Allah mahu kita sentiasa mengingatiNya

Hebat setiap perancangan dan kejadian Allah itu. Dia sangat menyayangi hambaNya. Dia tidak mahu hambaNya terlena dalam keseronokkan dunia yang hanya bersifat sementara.

Fenomena El Nino ini membuatkan kita tersentak dan tersedar mengingatiNya. Mohonlah keampunan dan belas kasihan daripada Allah Ya Rahman Ya Rahim.

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” Surah Ali ‘Imraan, Ayat 190-191

Baca lagi: Wahai Allah, Turunkan Hujan Untuk Kami Ketika El Nino Ini


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nur Ismalina Haris

Nur Ismalina Haris merupakan seorang Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Perlis. Beliau seorang yang sangat meminati bidang penulisan dan telah menulis beberapa buah buku dalam bidang akademik. Beliau juga aktif menulis artikel yang telah diterbitkan di majalah berbentuk islamik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami