Gaya Hidup, Hukum

Fahami Hukum Mendermakan Organ Pada Masa Sekarang

Oleh Natirah Azira  •  12 Dec 2019  •  4 min baca

Laporan daripada Berita Harian, pada Januari 2019 berkait dengan pemindahan organ di Malaysia mencatatkan bahawa tempoh menunggu untuk buah pinggang sahaja adalah 20 tahun. Tempoh menunggu untuk jantung dan paru-paru pula adalah 10 tahun, sedangkan kira-kira 21,000 pesakit dewasa dan kanak-kanak menunggu untuk satu buah pinggang.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa permintaan untuk pemindahan organ di Malaysia berada di tahap yang sangat tinggi.

Sungguhpun laporan mencatatkan sebanyak 424,580 orang daripada pelbagai kaum dan jantina telah berikrar untuk menderma organ setakat tahun ini, namun masih banyak halangan yang timbul disebabkan persepsi dan halangan daripada keluarga seperti tidak mahu menyakitkan mayat dan sebagainya. Daripada 68 negara lain yang menderma organ, Malaysia pula adalah negara terendah di dunia menderma organ.

Fatwa-Fatwa Yang Ada Berkaitan Pemindahan Organ

Para ulama’ terdahulu berbeza pendapat dalam hukum isu pemindahan organ. Terdapat dua pandangan dalam isu ini.

1. Haram

Antara ulama yang berpegang bahawa pemindahan organ adalah haram ialah Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi, Syeikh Ahmad bin Ahmad al-Khalili, Syeikh ‘Abd al-Salam Rahim al-Sukkari, Sayyid Muhammad Qutbuddin dan Syeikh Sharif Muhammad ‘Abd al-Qadir.

Ulama’ yang mengharamkan pemindahan organ berpegang kepada hujah yang mengatakan bahawa haramnya mencampakkan diri ke arah kebinasaan.

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “…dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”(Surah al Baqarah, 2:195)

Selain itu, mereka juga berpendapat bahawa tubuh badan adalah milik Allah, maka diharamkan pangambilannya kerana tidak ada izin daripadaNya.

2. Harus

Inilah hukum yang dipegang oleh majoriti pengkaji-pengkaji dan juga badan-badan fatwa di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ulama’ yang berpegang bahawa pemindahan organ adalah harus pula menyandarkan pendapat mereka kepada hujah di bawah:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Selain itu, mereka juga menyandarkan kepada kaedah fiqh di bawah:

1. Segala Urusan Itu Mengikut Tujuannya

(الأمور بمقاصدها)

Melalui kaedah ini, sesuatu perbuatan itu dinilai berdasarkan niat dan tujuan ia dilakukan. Dalam hal ini, tujuan pemindahan organ dilakukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit dan mampu mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

2. Kemudaratan Perlu Dihilangkan

(الضرر يزال)

Menjaga nyawa manusia adalah salah satu maqasid (matlamat syariah). Justeru, perbuatan memindahkan organ jelas menepati matlamat ini iaitu menyelamatkan nyawa manusia lain yang masih berpeluang untuk hidup.

“…dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…”

3. Kesukaran Membawa Kemudahan

Islam memberikan kelonggaran bagi orang yang berada dalam keadaan darurat dengan membenarkan perkara yang haram bagi menghilangkan kemudaratan yang menimpa.

Dalam konteks ini, pilihan terakhir yang ada untuk menyelamatkan nyawa orang yang mengalami kegagalan organ ialah pemindahan organ, maka ia perlu dilakukan.

(يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ)

Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah, no.185)

Sungguhpun hukum pemindahan organ ini adalah harus, namun ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan oleh orang yang ingin mendermakan anggota badannya:

1. Hendaklah orang yang mengizinkan anggota badannya didermakan adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak paksaan atau telah diizikan oleh walinya sebelum kematiannya.

2. Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.

3. Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu akan berhasil pada umumnya.

4. Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ tersebut.

Kesimpulan

Kesimpulannya, seseorang itu boleh berwasiat untuk mendermakan sebahagian anggota badan atau organnya selepas mati kerana perbuatan tersebut adalah untuk kebaikan untuk orang lain yang masih hidup, tanpa mendatangkan sebarang mudarat terhadapnya.

Selepas mati, anggota badan manusia akan hancur dan kembali menjadi tanah. Jika dia berwasiat untuk mendermakan anggota badannya kepada orang lain, ia juga dikira ibadah kepada Allah SWT, dan merupakan pengorbanan terakhir untuk manfaat orang lain.

Mungkin sesetengah orang mengatakan bahawa perlakuan mendermakan organ akan mencederakan mayat, atau tidak menghormati mayat.

Sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis: “Mematahkan tulang orang yang sudah mati sama seperti mematahkan tulang orang yang masih hidup”.

Tetapi pemindahan organ bukan bermaksud untuk menghina atau menyeksa mayat, sebaliknya dilakukan bagi tujuan menyelamatkan nyawa. Maksud sebenar hadis adalah larangan mengelar mayat, mencacatkannya atau mempermain-mainkannya.

Tambahan pula, proses pemindahan yang dilakukan melibatkan proses pembedahan yang berhati-hati dan teliti seperti mana yang dilakukan bagi orang yang masih hidup.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan – Bayan Linnas Siri 176

Mufti Wilayah Persekutuan – Bayan Linnas Siri 35


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami