Gaya Hidup

Fahami Aqad Musaqah – Bayaran Untuk Jaga Tanaman

Oleh Natirah Azira  •  17 Aug 2020  •  3 min baca

Kata orang, berbudi kepada tanah, pasti akan mendapat hasil yang lumayan.

Bermakna, seseorang yang benar-benar mengusahakan tanah serta menjaganya dengan baik, akhirnya ia pasti memberi pulangan semula kepada tuan tanah, dalam bentuk hasil tanaman yang boleh dimakan dan dijual bagi mendapatkan keuntungan.

Berbagai cara dilakukan bagi memastikan tanaman terjaga termasuk mengupah orang untuk mengusahakannya.

Cara begini banyak dilakukan oleh orang yang mempunyai dusun dan kebun tetapi tidak mengusahakannya secara sepenuh masa kerana mempunyai komitmen kerja lain. Kebanyakannya adalah mereka yang bekerja jauh dari kampung dan tidak mampu menguruskannya sendiri.

Ada pula yang bertanya, dalam hal ini, adakah penjaga tanaman mempunyai hak ke atas hasil tanaman atau hanya perlu mengambil wang daripada upah menjaga sahaja.

Apabila dilihat daripada perspektif Islam, tindakan mengupah orang ini dibincang di bawah tajuk Musaqah. Ia bermaksud kontrak antara pemilik tanaman dengan pihak lain yang akan melakukan kerja-kerja pemeliharaan, penjagaan dan segala kerja yang diperlukan. Hasil tanaman yang bakal diperolehi nanti akan dibahagikan sesama mereka.

Akad Musaqah disyariatkan dalam Islam dan hukumnya harus.

Semasa zaman Rasulullah SAW, baginda juga pernah mengupah penduduk Khaibar agar menjaga tanaman.


ﻋَﻦِ ﺍْﺑﻦِ ﻋُﻤَﺮَ ﺭَﺿِﻲَ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻨْﻬُﻤَﺎ، ﺃَﻥَّ ﺭَﺳُﻮْﻝَ ﺍﻟﻠﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻋَﺎﻣَﻞَ ﺃَﻫْﻞْ ﺧَﻴْﺒَﺮَ ﺑِﺸَﻄْﺮِ ﻣَﺎ َﻳﺨْﺮُﺝُ ﻣِﻨْﻬَﺎ ﻣِﻦْ َﺛﻤَﺮٍ ﺃَﻭْ ﺯَﺭْﻉٍ 

Maksudnya: Daripada Ibn Umar R.Anhuma: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengupah penduduk Khaibar dengan bayaran separuh daripada hasil (tanaman) yang diperoleh seperti buah-buahan atau tanaman.” (Riwayat Muslim, no.1551)

Dalam akad Musaqah, penjaga tanaman tidak mengambil wang dalam bentuk upah, tetapi keuntungan akhir yang akan dibahagi secara peratusan seperti yang telah dipersetujui dengan pemilik tanaman, contohnya 50:50 atau 40:60.

Jika pada suatu musim, tanaman tidak menjadi dan keuntungan tidak ada, maka kedua-dua pihak tidak mendapat apa-apa kerana kerugian ditanggung bersama – pemilik rugi kerana kos penjagaan dikeluarkan olehnya manakala penjaga pula rugi kerana sudah mengerahkan keringat dan masanya.

Berlainan jika konsep akad Jualah (upah) digunakan, penjaga hanya akan mendapat upah menjaga dan bukan keuntungan akhir. Terdapat kemungkinan jika tanaman tidak menjadi, upah tetap perlu dibayar dan kerugian ditanggung oleh pemilik sahaja.

Justeru kedua-dua cara ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Walau bagaimanapun, jika akad Musaqah ingin diguna pakai, ia mestilah menepati lima rukun utama iaitu:

  1. Pihak yang melakukan transaksi (pemilik tanah dan pengusaha).
  2. Sighah (Ijab dan Qabul).
  3. Tanaman yang diusahakan.
  4. Hasil tanaman.
  5. Skop pekerjaan.

Bagi memastikan akad ini sah, kedua-dua pihak perlu menepati syarat-syarat yang telah digariskan terutamanya bahagian hasil tanaman dan skop pekerjaan. Hal ini penting bagi memastikan proses ini berjalan dengan telus dan tidak ada unsur manipulasi dan penipuan.

Antara syarat-syarat lain yang terdapat dalam Akad Musaqah ini ialah:

1.Melibatkan Kebun Yang Sudah Ada Tanaman

Akad Musaqah ini hanya melibatkan kebun yang memang sudah mempunyai pokok dan tanaman. Tugas penjaga atau pekerja hanya memastikan ia kekal dipelihara dengan baik contohnya menyiram mengikut jadual, menebas semak samun, memeriksa kesihatan pokok, menjaga daripada dicuri dan sebagainya.

2. Akad Mestilah Mempunyai Tempoh Akhir

Akad juga mestilah mempunyai tempoh akhir berdasarkan tabiat pokok tersebut berbuah contohnya dalam tempoh 6 bulan, setahun dan lain-lain. Akad akan menjadi tidak sah jika dibiarkan tanpa tempoh. Ini kerana, penjaga akan menjadi seperti tuan tanah yang mengusahakannya sendirian.

Kesimpulan

Justeru, sebagai pemilik tanaman, anda perlu mengetahui dahulu konsep aqad yang boleh diguna pakai dalam hal penjagaan tanaman ini – sama ada konsep Akad Jualah (upah) atau Musaqah.

Seterusnya setiap pihak juga perlu jelas dengan bahagian upah atau keuntungan masing-masing agar tidak berlaku sebarang perselisihan yang tidak diingini pada masa hadapan.

Rujukan:

  1. Mufti Wilayah Persekutuan

Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami