Gaya Hidup

Erti Sebenar Di Sebalik Sebuah Kemerdekaan!

Oleh Rasyidah Rahmat  •  30 Aug 2018  •  2 min baca

Lagu “Tanggal 31” kedengaran di corong radio. Kebiasaan saban tahun apabila menjelang bulan Ogos sudah pasti negara kita akan meraikan ulang tahun kemerdekaan.

Dari tadi teksi Pak Halim masih tidak bergerak dari tempat letak kereta. Dia mengetuk perlahan stereng dengan jarinya serentak dengan lagu yang membangkitkan jiwa patriotik.

Tahun ini, umur Pak Halim genap 70 tahun. Maknanya sudah lebih 9 tahun umur Pak Halim sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Dia melihat pemandangan yang kurang enak di sekitar kota gergasi itu, manusia yang berpusu-pusu keluar masuk dan kenderaan yang sesak membuatkan jiwanya sedikit lelah dengan rutin hariannya.

Dia melihat pula bendera Malaysia yang berkibar, warnanya sudah pudar, sepudar rasa hati seorang tua seperti Pak Halim.

Dijajah Musuh Allah

Ujar rakan sekerja Pak Halim sambil menghirup secawan kopi;

“Tahun ni dah masuk ke-61 tahun negara kita menyambut kemerdekaan”

Sambung seorang lagi rakannya;

“Sekejap masa berlalu, banyak perubahan yang sudah berlaku di negara kita. Pemerintahan, kepimpinan dan pemodenan.”

Pak Halim hanya diam mendengar dari tadi. Hatinya berbisik perlahan;

“Kita memang sudah bebas dari penjajah. Kalau kita tidak merdeka sudah pasti nikmat yang kita ada sekarang ini kita tidak dapat rasai. Apalah nasib anak cucu kita nanti.”

Pak Halim meletakkan cawan kopi ke piring. Dia berdehem sebelum berkata.

“Tapi negara kita masih dijajah dengan musuh paling bahaya.”

Semua terkejut mendengar kata-kata Pak Halim. Kawannya terus bertanya;

“Kenapa kau kata begitu Halim?”

Pak Halim menjawab;

“Negara kita memang merdeka dari penjajahan British setelah sekian lama. Tapi kita lihatlah makna merdeka dari sudut yang berbeza. Kita masih lagi dijajah dengan musuh paling berbahaya iaitu musuh Allah. Syaitan dan seangkatannya.”

“Setiap hari kita membaca surah Al-Fatihah namun jarang sekali kita menghayati tafsirnya.”

Semua jemaah surau tekun menantikan bicara ustaz itu. Pak Halim tidak pernah terlepas untuk mendengar kuliah subuh pada setiap pagi selepas solat subuh berjemaah. Hatinya benar-benar hajat kepada kebaikan.

“Pada hari ini saya ingin bercakap tentang golongan ‘dhallin’ yakni mereka yang disesatkan seperti yang disebutkan dalam surah Al-Fatihah. Siapakah golongan ini?”

The Way of Life

“Halim, siapa golongan tu?”

Pertanyaan rakannya mematikan lamunannya seketika.

“Golongan Nasrani. Mereka inilah yang tidak akan reda dengan umat Islam dan sentiasa berusaha supaya cara hidup kita mengikut cara hidup mereka.”

“Maksud kau cara hidup kita yang macam mana?”

“Cara hidup yang dimaksudkan adalah cara kita berfikir, makan, minum, cara berekonomi, bersosial, mengatur rumah tangga, keluarga, masyarakat dan seluruhnya. Kita mesti uruskan dengan mengikut cara Islam dan mesti berbeza dengan mereka.”

“Kau lihatlah generasi muda kita sekarang yang bakal menggantikan tampuk kepimpinan negara kita. Bagaimana kita ingin merasai nikmat kemerdekaan yang sebenar sedangkan jiwa mereka masih terpenjara dengan pemikiran barat dan gaya hidup yang semakin lari daripada landasan Islam. Masalah bebas seksual, bertukar jantina, anak luar nikah, dadah, membunuh dan macam-macam lagi masih lagi menjadi pegangan hidup mereka. Apakah ini maksud negara kita bebas? Sekarang seolah-olah semua orang nak hidup bebas dengan ‘pilihan’ masing-masing.”

Keluh Pak Halim, wajah tuanya berkerut seribu menyimpan sejuta kerisauan.

“Jadi, siapa dalang di sebalik semua ini?”

Hati Kita Perlu Takut Dengan Allah

“Syaitan. Di belakang golongan sesat ini adalah syaitan!”

“Bagaimana cara syaitan menyesatkan kita menerusi golongan ini?”

“Multidimensi. Versatil. Ya, syaitan musuh yang kreatif dan inovatif.”

“Kalau begitu kita mestilah menjadi lebih kreatif dan inovatif dari syaitan?”

“Betul, tetapi tidak cukup dengan hanya menjadi orang yang berilmu dan bijak. Lebih penting untuk menjadi orang yang ikhlas dalam beramal dan kuat bermujahadah. Hati kita perlu takut kepada Allah, baru syaitan takut dengan kita. Kita perlu lebih gigih melawan bujukan dan godaannya, barulah kita mampu mengalahkannya.”

Pak Halim melemparkan pandangannya ke arah sekumpulan anak-anak yang berlari-lari di tengah sawah. Hatinya bertanya apakah corak kehidupan yang bakal dilakar dalam lembar kehidupan mereka nanti.

Sentiasa Menyesatkan

“Hebat sangatkah tipu daya syaitan?”

Seorang jemaah surau melontarkan pertanyaan. Ustaz yang mendengar persoalan itu membetulkan sedikit songkoknya sebelum menjawab persoalan. Ustaz menjawab ringkas namun sangat sarat maknanya;

“Hebat tidak hebat, datuk kita Nabi Adam A.S pun berjaya diperdayakannya,”

Dalam kehidupan kita, hanya ada dua pilihan yang sentiasa menjadi persoalan. Sama ada baik atau buruk. Lapang atau sempit. Mahu atau tidak. Itulah hakikat kehidupan yang memimpin perjalanan kehidupan kita.

Dalam hati kita masih berperang antara dua tarikan tersebut iaitu tarikan keimanan dan tarikan kejahilan. Kalau dalam hati kita masih lagi berperang, apakah itu ertinya merdeka?

Dalam tidak sedar kita masih dijajah dengan sikap individualistik yang menjadi salah satu punca konflik dalam masyarakat yang tidak pernah berakhir dengan sebuah solusi.

Jadi, bagaimana jiwa kita diartikan dengan sebuah perpaduan jika perkataan perpaduan hanya tinggal pada perkataan sahaja.

Jika bulan kemerdekaan hanya dirai kerana ia termaktub di dalam kalender maka, di manakah jiwa patriotik dan nasionalisme yang seharusnya wujud dan terus tersemat auranya di dalam hati setiap rakyat di Negara kita?

Ramai umat Islam yang sering bertelingkah hanya tentang soal-soal furuq/cabang yang tidak berkesudahan sedangkan pada masa yang sama anak-anak remaja kita terbiar tanpa dakwah dan tarbiyah yang berterusan.

Kadangkala syaitan menyibukkan diri kita membetulkan hal-hal yang remeh dan meninggalkan kesalahan yang lebih besar.

Oleh itu, erti merdeka sebenar yang dapat dicapai apabila kita dapat melahirkan individu yang merdeka dari penjajahan syaitan terhadap cara hidup kita dan barulah lahirnya sebuah Negara yang benar-benar bebas.

Di Sini Titiknya Bermula

Pak Halim memandu teksinya untuk pulang ke rumah. Hatinya tidak sabar untuk bertemu dengan isterinya.

Pak Halim ingin membuat kejutan buat isterinya sempena hari lahirnya pada hari ini. Sejambak bunga dan sekotak hadiah berbalut cantik membuatkan hatinya riang. Dia pasti isterinya akan tersenyum lebar malah lebih lebar lagi dari biasa.

Pak Halim berfikir sejenak, mungkin dia tidak bisa mengubah tampuk kepimpinan dan ideologi pemikiran masyarakat semuanya tetapi dia yakin usaha kecilnya dalam membentuk kepimpinan seperti Rasulullah S.A.W ajarkan dapat membentuk sebuah kepimpinan yang harmoni di masa akan datang.

Bermula dari diri sendiri dan kepada sebuah keluarga, moga-moga terlahirnya insan yang beramal soleh dan memiliki jiwa yang takutkan Tuhan. Inilah sebuah perjalanan hati yang merdeka! Insya-Allah.

Moga kemerdekaan kali ke-61 menjadi titik pemula untuk semua kembali kepada fitrah dan tujuan penciptaan di muka bumi ini. Amin Ya Rabb!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami