Inspirasi

Erti Menghargai Daripada Mata Anak Kecil

Oleh Firdaus Rusni  •  16 Oct 2019  •  4 min baca

Pernah anda cuba beri duit pada budak kecil yang berumur 3 tahun?

Apa hasilnya?

Sama ada dia mengoyak, tidak mengendahkan ataupun ambil sahaja dan tidak hirau berapa pun nilainya. Begitulah perumpamaan manusia dalam menilai ganjaran amalan yang Allah SWT sudah pun sediakan.

Ada satu kisah realiti yang menarik untuk kita renungi bersama.

Seorang ustaz yang merupakan sahabat saya pernah solat di sebuah surau. Dia melihat jemaah dalam surau tersebut cuma seorang sahaja. Menurut beliau orang itu dari Pakistan.

Seusai menunaikan solat berjemaah. Sahabat saya berbual dengan orang Pakistan tadi. Dia bertanya tentang keadaan jemaah solat di surau.

“Kamu seorang sahaja kah jemaah di surau ini?”

“Ya”

Orang Pakistan itu lantas menyambung dengan pesanan yang cukup mengesankan.

“Hari ini manusia tidak pandai menilai kelebihan setiap ganjaran. Sama seperti budak berumur tiga tahun. Kalau diberi duit bernilai RM1 dan RM 100, mungkin akan diambil kedua-duanya. Kemudian direnyuk.”

Kerana mereka tidak mengetahui nilai yang ada di sebalik duit tersebut.

Cerita yang sampai ke telinga ini cukup mengesankan. Cukup mendalam, kerana hal sebegini sering berlaku kepada kita.
Lupakah kita terhadap ganjaran yang Rasulullah SAW ucapkan di dalam hadisnya mengenai solat berjemaah. Tapi tetap sahaja kita mengambil ringan. Bahkan bukan satu, bermacam-macam amalan lain yang ganjarannya besar tapi kita kadang tak terasa nak lakukan.

Yang lebih parah, kita langsung tidak melakukan. Jangan pula begini. Apakah kita betul-betul mahu jadi perangainya sama dengan kanak-kanak tiga tahun yang tidak mengerti? Semestinya tidak.

Kita semua sudah dewasa dan mampu berfikir dengan baik. Maka cubalah berfikir tentang erti kehidupan kita untuk apa sebenarnya?
Tidak lain tidak bukan, pasti untuk menyembah Allah dan beribadah kepadaNya. Usahalah sedaya upaya untuk menunaikannya. Tunaikanlah hak kita sebagai seorang hamba Allah.

Jika kita di dunia mampu menunaikan hak sebagai seorang rakyat kepada rajanya, hak seorang anak kepada ibu bapanya, hak seorang pekerja kepada majikannya, inikan pula dengan Allah SWT, Tuhan yang mencipta kita dan segala yang ada di muka bumi.

Berdoa kepada Allah semoga kita semua mampu meningkatkkan ibadah ke tahap yang lebih baik dan paling penting kita mampu istiqamah dalam melakukannya.

Mari kita renungi sebuah kisah tentang seorang budak yang menangis melihat api. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya. Bagaimana seorang budak mampu menginsafi dirinya padahal dia masih kecil lagi.

Kisah ringkas ini terdapat dalam buku Angguk Geleng tulisan Ustaz Pahrol Md Juoi.

Seorang budak menangis ketika melihat unggun api yang sedang marak menyala.

Khalifah Harun al-Rasyid bertanya kepadanya kenapa dia menangis. Budak itu menjawab, “Aku takutkan api Neraka.”

Khalifah yang adil itu memujuk, “ Anak kecil sepertimu tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.”

Namun apakah jawapan budak itu?

Katanya, “Aku lihat ketika orang menyalakan api, mereka akan masukkan ranting-ranting kecil dahulu. Setelah ranting kecil terbakar, barulah dimasukkan kayu-kayu yang besar. Aku takut hal yang sama berlaku di dalam Neraka kelak. Aku umpama kayu kecil itukah?”

Mendengar jawapan itu, Khalifah turut menangis.

Nah, bayangkan budak kecil yang mungkin dimaksudkan dalam kisah ini adalah seorang yang belum baligh. Akan tetapi pemikiran cukup jauh melangkaui batasan umurnya. Masakan tidak, hanya dengan melihat api sudah berfikir tentang neraka. Apakah perkara ini turut difikirkan oleh orang dewasa?

Biasanya anak kecil hanya berfikir tentang hal-hal yang menyeronokkan – tentang mainan, tentang makanan. Jarang berfikir tentang perkara rumit dan berat lebih-lebih lagi tentang akhirat. Hal ini berlaku apabila hati berasa takut kepada Allah. Tanyalah pada diri sendiri, adakah kita pernah berfikir sepertimana budak kecil itu fikirkan?

Teringat saya kepada satu ayat yang menyentuh jiwa apabila membaca dan mendengarnya, kerana hati kita tidak seperti dalam gambaran cerita di atas.

Firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 2:

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang beriman itu ( yang sempurna imannya) ialah mereka yang disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Firdaus Rusni

Firdaus Rusni

Firdaus bin Rusni merupakan graduan dari Kolej Pengajian Islam Johor dalam bidang Pendidikan Islam. Sekarang sedang membantu perniagaan keluarga , merupakan pembantu imam di masjid dan penulis buku antologi Bercakap Dengan Cermin bersama Bonda Nor. Beliau juga minat membaca pelbagai genre buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami