Inspirasi

Ego Tanpa Sedar, Apa Ubatnya

Oleh Natirah Azira  •  19 Mar 2019  •  4 min baca

Rasa ego atau sombong merupakan penyakit hati yang halus dan kadang-kadang tidak disedari bila ianya menjangkiti hati. Sifat sombong ini boleh berlaku dalam apa jua perkara, melalui pelbagai cara.

Ada orang yang sombong dalam hal harta, dalam hal kesihatan, anak-anak, latar belakang pendidikan, taraf hidup, pekerjaan, gaji dan banyak lagi. Sifat sombong ini boleh terzahir melalui percakapan, tulisan mahupun riak perbuatan.

“Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud RA dari Nabi SAW, beliau bersabda,

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi.” Ada seseorang yang bertanya, “Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus?” Beliau menjawab, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.“ (HR. Muslim no. 91)

An Nawawi rahimahullah berkata, “Hadis ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka, serta menolak kebenaran” (Syarah Shahih Muslim Imam Nawawi, 2/163, Daar Ibnu Haitsam)

Dalam Al-Quran juga, Allah ada menyebut tentang larangan daripada bersikap sombong.

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri” (Surah Luqman 31:18)

Jika diteliti kedua-duanya – hadis dan ayat Al- Quran di atas, kita dapat melihat larangan tersebut merangkumi aspek dalaman dan luaran. Contoh aspek dalam diri seperti dalam ayat Al-Quran (yang di dalam hati terdapat kesombongan seberat biji sawi) dan juga reaksi luaran (memalingkan muka dan juga berjalan dengan sombong) seperti di dalam hadis.

Kesombongan yang terzahir di luar berpunca dari hati. Pendek kata, sifat sombong sama sekali tidak dibenarkan walaupun dalam apa cara.

Persoalan seterusnya, bagaimana untuk mengubatinya?

Untuk memperoleh dua ubat bagi mengekang rasa sombong, kata Ustaz Abdullah Hakim Quick, kita memerlukan dua perkara.

#1- Menilai Hakikat Diri

Renung ke dalam diri, siapa diri kita sebenarnya sehinggakan kita ingin berasa sombong dan ego dengan manusia lain. Tidak lain, kita hanya seorang manusia yang diciptakan oleh Allah. Yang ada ‘tempoh tamatnya’. Suatu hari nanti kita akan meninggalkan dunia ini, dan semoga ketika masa itu tiba, kita tidak membawa kesombongan dalam hati untuk bertemu Allah SWT.

Biasakan juga mengucap istighfar apabila kita mula tersedar, bahawa hati telah menjadi sombong dan ego. Setiap kalimah istighfar yang diucapkan akan menghilangkan titik hitam yang bertapak.

#2- Perbuatan Yang Boleh Membunuh Kesombongan Dalam Jiwa

Jika kita tidak mampu mengawal rasa ego dan sombong, maka lakukanlah perbuatan yang dapat menundukkan keegoan kita. Pada zaman Rasulullah SAW, baginda sendiri yang mengangkat batuan ketika menggali parit bagi perang Khandak, sama seperti orang lain.

Dalam kisah lain, Abdullah bin Mas’ud pernah melaporkan bahawa beliau pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW, dan beliau melihat tanda garisan di belakang Rasulullah SAW, lalu menawarkan alas atau kain. Namun ianya ditolak oleh Rasulullah SAW. Kata Rasulullah SAW, kita ini pengembara di dunia yang akan pergi pada bila-bila masa.

Banyak lagi kisah-kisah yang pernah kita dengar seperti kisah para sahabat yang menjadi pemimpin ummah tetapi masih mengekalkan sifat rendah diri dengan melakukan kerja-kerja seperti rakyat ‘marhaen’ yang lain.

Saidina Umar tetap sahaja keluar dari tempat tinggalnya pada malam hari dan menyamar untuk mengetahui perihal rakyatnya. Dalam peristiwa lain, beliau sendiri memikul gandum untuk dibawa kepada seorang ibu yang mempunyai anak kecil yang kelaparan.

Inilah perbuatan-perbuatan yang dapat membunuh rasa ego dalam hati. Jika sekarang, mungkin kita boleh melakukan hal seperti sesekali berjalan kaki ke masjid, menegur dan berbual dengan makcik tukang sapu, membantu mengutip sampah di jalanan dan sebagainya.

Seperti kotoran yang melekat pada tubuh badan setiap hari, begitulah juga rasa ego dan sombong yang sesekali melekat di hati kita. Kita manusia biasa yang banyak kali lalai dan terlupa. Namun apa yang penting, kita tahu bagaimana untuk ‘membersihkan’ kotoran tersebut semula.

Baca juga:
Kisah Umar Al-Khattab Dengan Gadis Penjual Susu


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami