Gaya Hidup

Dunia Media Sosial – Influencer Bagaimana Yang Harus Anda Jadi

Oleh Natirah Azira  •  26 Jul 2019  •  4 min baca

Beberapa tahun kebelakangan, kita telah menyaksikan satu fenomena di mana golongan muda mula menjadi ‘bintang media sosial’ atau biasanya kita panggil sebagai ‘influencer’. Golongan ini digelar sedemikian kerana mempunyai pengikut yang ramai di media sosial dan mereka dilihat berupaya mempengaruhi orang ramai dengan apa yang dipertontonkan.

Jika dahulu seseorang itu sukar untuk dikenali secara meluas jika tidak muncul di kaca TV, namun sekarang segalanya mudah dengan kewujudan platform media sosial seperti Youtube, Instagram, Twitter mahupun Facebook.

Sesetengah pengkaji mendefinisikan golongan ini sebagai individu yang menjadi popular menerusi media sosial sekaligus membentuk dan mempengaruhi sikap audiens menerusi blog, vlog, tweets, dan apa sahaja yang dikongsi menerusi media sosial.

Mereka ini terdiri daripada selebriti, ahli politik, ahli perniagaan, atau pun orang kebanyakan. Bahkan ada individu berusia 8 tahun dikenali dengan nama Evan mampu menjana pendapatan menerusi ulasan yang dibuat tentang permainan baru yang terdapat di pasaran. Video beliau telah ditonton oleh 750 juta tontonan dan menjana pendapatan tahunan sebanyak 1.3 juta USD.

Ada pula yang berpendapat bahawa antara ciri penting yang perlu ada pada seorang social media influencer adalah personaliti yang menarik dan juga keupayaan mereka untuk berinteraksi (engage) dengan para pengikut secara konsisten.

Tujuan Seseorang Menjadi Influencer

Seseorang itu menjadi influencer dalam ‘niche’ atau identiti yang pelbagai contohnya dalam bidang akademik, keagamaan, kesihatan, makanan, fesyen, teknologi, gaya hidup terkini, traveling dan bermacam-macam lagi.

Malah ada yang menggunakan khidmat influencer untuk melariskan produk yang diniagakan. Cara ini lebih dikenali sebagai ‘influencer marketing’. Peniaga akan mengupah selebriti atau individu yang dikenali mempunyai pengikut yang ramai untuk mempromosikan produk mereka.

Sesetengah infuencer pula memberi ruang yang lebih kepada para pengikut untuk mengetahui perihal hidup mereka. Maka, apabila konflik peribadi timbul, mudah sahaja orang mengecam dan mengutuk di media sosial. Hal ini terjadi kerana sejak dari awal lagi garis pemisah antara apa yang perlu dan tidak perlu dipertontonkan tidak ditetapkan.

Kata orang, apabila sudah dikenali ramai, hidup seseorang itu akan ‘dibedah siasat’ sehabisnya. Lebih-lebih lagi jika ada yang membenci, pasti segala jenis kesalahan dan kekurangan lampau akan dikorek dan dijadikan ‘peluru’ untuk menembak semula.

Ada pula influencer yang dikatakan memberi pengaruh yang tidak baik kepada orang ramai contohnya dalam soal gaya hidup yang tidak menepati cara Islam yang sebenar, terlalu menunjukkan kekayaan, menipu dalam mempromosikan produk, berpura-pura serta menampilkan respon yang negatif apabila ditegur oleh netizen.

Bacaan Trend Tentang Pengaruh Influencer

Analisa trend yang dibuat oleh pengamal media di negara luar pula melaporkan bahawa dunia berkaitan dengan social media influencer semakin berevolusi.

Jika dahulu orang sanggup membeli pengikut bagi meningkatkan likes di Instagram, namun kini analisa menunukkan bahawa mereka yang mempunyai 10,000 orang pengikut hanya mempunyai 3.6 peratus kadar ‘engagement’, influencer dengan pengikut 5 hingga 10 ribu pengikut mempunyai 6.3 peratus kadar engagement manakala mereka yang hanya mempunyai 1 hingga 5 ribu pengikut mempunyai kadar ‘engagement’ yang paling tinggi iaitu sebanyak 8.8 peratus.

Dalam bahasa mudah – semakin berkurang bilangan pengikut yang dipunyai seseorang, semakin baik kadar ‘engagement’ yang berlaku. Ini kerana mereka telah mempunyai pengikut yang benar-benar setia dengan apa yang ingin dipersembahkan.

The Atticism pula menyatakan bahawa pengaruh influencer di Instagram semakin berkurang dari tahun ke tahun. Pengguna menghadapi kelesuan media sosial dengan terlalu banyak informasi, rasa percaya yang semakin berkurang dengan apa yang dipaparkan ekoran pihak pemasaran yang giat bersaing mendapatkan perhatian mereka.

Influencer Bagaimana Yang Harus Anda Jadi

Tidak ada masalah sebenarnya untuk tampil menjadi seorang influencer, namun apa yang paling penting adalah menjadi seorang influencer yang berprinsip serta mempunyai nilai dalam apa yang diberi. Elinor Cohen ketika menuliskan hal ini, menyebut ia sebagai ‘genuine thought leadership’.

Jika influencer biasa menfokuskan kepada seberapa banyak bilangan pengikut yang diperoleh, influencer dalam kategori yang disebutkan di atas lebih mengutamakan ilmu dalam bidang kepakaran mereka.

Fokus bukan lagi diberikan kepada populariti semata-mata tetapi kepada isi penyampaian, pembangunan masyarakat serta apa yang mampu disumbangkan berkaitan minat dan bidang kepakaran masing-masing.

Jika apa yang anda mahir adalah berkaitan teknologi, maka jadilah orang yang boleh menyampaikan maklumat dan ilmu yang benar. Jika anda pakar dalam bidang perubatan, jadilah orang yang mampu mencerahkan masyarakat tentang kekeliruan yang ada. Jika anda adalah seorang yang meminati bidang rekaan fesyen, jadilah orang yang mampu mengangkat fesyen yang sopan dan menepati gaya hidup muslim yang sebenar.

Platform media sosial dan juga peranan sebagai seorang influencer perlu dilihat sebagai peluang yang besar. Tidak cukup dengan hanya kita menuding jari kepada sekian banyak cerita palsu, negatif dan fitnah yang tersebar di ruang tersebut. Jika anda mempunyai kepakaran, atau sesuatu yang bermanfaat, apa kata mulakan berkongsi dan cipta budaya ilmu dan kebaikan yang mampu dicontohi orang.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami