Inspirasi

Dr Syahr Musafir, Anak Muda Yang Tak Melupakan Tradisi Walau Terbang Tinggi

Oleh Natirah Azira  •  22 Oct 2018  •  3 min baca

Dr Syahr Musafir ialah anak kampung kelahiran Kota Bharu Kelantan, dibesarkan di Kampung Semut Api, Pantai Cahaya Bulan. Beliau sekarang merupakan seorang pakar dalam bidang Patologi Ortopedik (Patologi Tulang) dan kini bertugas sebagai seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Kubang Kerian.

Perjalanan ilmu yang dilalui oleh beliau bukanlah perjalanan yang sekejap. Untuk sampai ke tahap sekarang banyak usaha yang perlu dilakukan.

Dr Syahr merupakan seorang yang aktif menulis. Dalam blognya, beliau banyak bercerita tentang perjalanannya dalam menuntut ilmu, proses beliau belajar bahasa Inggeris, kehidupan berkeluarga, agama, sosial, politik, kewangan dan banyak lagi.

Cerita beliau, usaha beliau untuk belajar bahasa Inggeris dengan serius bermula ketika masih di bangku sekolah. Segalanya bermula ketika beliau dan rakan-rakan terserempak dengan pelancong ‘mat saleh’ yang datang bercuti ke kawasan Kota Bharu dekat dengan Pantai Cahaya Bulan.

Pelancong tersebut bertanya arah jalan ke pantai. Dr Syahr ketika itu masih di bangku sekolah rendah. Apa yang menyedihkan beliau, walaupun belajar bahasa Inggeris di sekolah, beliau tidak dapat bertutur secara lancar.

Saat itu beliau menangis kerana malu. Peristiwa tersebut memberi impak yang sangat mendalam kepada Dr Syahr. Bermula dari saat itu, beliau mula berusaha dengan gigih mempelajari Bahasa Inggeris.

Kamus Oxford dwibahasa dibawa ke mana-mana. Beliau belajar bertutur bahasa Inggeris, bercakap seorang diri di hadapan cermin serta bermacam-macam cara yang dilakukan sehingga akhirnya beliau cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris tidak kira dalam penulisan atau lisan.

Dr Syahr Musafir membesar dengan memenangi pelbagai pertandingan melibatkan Bahasa Inggeris pada pelbagai peringkat termasuklah antarabangsa. Setelah menamatkan pembelajaran di Sekolah Menengah Sains Machang, beliau menyambung pengajian dalam bidang Sains Bioteknologi di Universiti Adelaide, Australia seterusnya ke peringkat Phd di universiti yang sama. Pengajian beliau ditaja penuh dan menggunakan Bahasa Inggeris 100%.

Beliau pernah tinggal di Australia hampir lapan tahun dan terlibat secara langsung dengan masyarakat Australia semasa berusia 19 hingga 27 tahun. Beliau juga pernah mendapat markah tertinggi iaitu 39 markah pada peperiksaan lisan di universiti Australia (markah penuh ialah 40 markah). Rata-rata pelajar dalam kursus tersebut ialah para pelajar Inggeris, dari Australia, UK, USA, Canada dan pelbagai lagi.

Dr Syahr kerap ditanya mengapa beliau tidak bercakap bahasa Inggeris dengan menggunakan slanga ‘orang putih’. Akui beliau, tujuannya belajar, menulis, bercakap dan melakukan pelbagai aktiviti menggunakan Bahasa Inggeris adalah untuk kehidupan. Contohnya mencari ilmu, meningkatkan kualiti diri dan memudahkan komunikasi.

Ianya tidak bertujuan untuk menjadi orang Inggeris atau orang putih, apatah lagi ingin menceduk budaya sosial mereka ke dalam kehidupan seharian. Dr Syahr kekal dengan identiti Melayu sejak awal ke Australia, sehinggalah kini.

Beliau berkongsi bahawa orang Melayu disanjung oleh ‘orang putih’ bukan disebabkan slanga percakapan atau pakaian yang menyerupai mereka. Tetapi mereka lebih menghormati apabila orang Melayu mampu menyinar di ‘pentas’ dengan slanga Bahasa Inggeris gaya tersendiri. Ini disebabkan Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua namun kita masih lagi mampu bercakap dengan lancar dan difahami.

“Kekalkanlah jati diri Muslim, kekalkanlah jati diri Melayu. Jangan malu, jangan segan, jangan rasa inferior atau rendah diri”

“Hidup kita perlulah ada prinsip dan jati diri. Kita yang lahir sebagai Melayu dan Muslim ini perlu bersyukur dan menghargai ketetapan yang Allah SWT berikan ini. Perlu sedar diri dalam aspek ini.

Prinsip dan jati dirilah yang akan menjadi tunjang dalam kehidupan kita. Anak-anak muda terutamanya, jangan mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Jangan terikut-ikut dengan anasir-anasir di kiri, kanan, depan dan belakang kita. Jangan ubah diri kita mengikut cara mereka tanpa ada keperluan yang jelas”

Semoga cerita hidup beliau serta pesanannya dapat menghidupkan semangat muda mudi di luar sana dalam mencapai cita-cita. Belajarlah setinggi mana pun namun adat dan tradisi usah sesekali dilupa.

Perkongsian dan cerita hidup beliau boleh diikuti di blog SyahrMusafir.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami